ARKIB : 26/02/2005
KUALA LUMPUR - Jurulatih
Selangor, Dollah Salleh tidak akan membuat percaturan yang boleh membawa padah
apabila berdepan dengan NTFA Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana di Stadium
Shah Alam, malam esok.
Menurut beliau, walaupun NTFA
tidak setanding saingan lain seperti Kedah, MK Land dan Kuala Lumpur tetapi
jika mengambil sikap mudah ia boleh membawa mala petaka buat Selangor.
``Saya tidak memandang rendah
setiap lawan sama ada mereka daripada pasukan negeri atau kelab kerana pasukan
yang tidak diberikan harapan boleh membuat kejutan.
``Kerana itu berdepan dengan
NTFA saya akan tetap mengadunkan kesebelasan terbaik untuk mengukir
kemenangan,'' ujarnya di sini, semalam.
Selangor kini menduduki tangga
teratas Liga Perdana Kumpulan A selepas memenangi kesemua tiga perlawanan awal
untuk mengutip sembilan mata.
Skuad Merah Kuning menewaskan
Melaka (4-1), TNB Kelantan (6-1) dan Kuala Lumpur (4-1).
Terbaru skuad yang dibarisi
ramai pemain bergelar bintang membenam kehebatan Pahang 4-1 dalam saingan
pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.
Mengulas lanjut Dollah berkata,
beliau akan tetap mempertaruhkan gandingan serangan paling ampuh diterajui oleh
Bambang Pamungkas, Muhammad Khalid Jamlus, Brian Fuentes dan Ellie Aiboy.
Ujarnya, kemenangan NTFA
menewaskan Sabah 3-1 Rabu lalu membuktikan kemampuan pasukan itu tidak boleh
dipandang remeh.
Pertemuan
Khabar kurang gembira buat
Dollah sejurus pertemuan dengan Pahang, empat pemain utamanya terhenjut-henjut
sewaktu menuju bilik persalinan.
Empat pemain yang kini
mengalami kecederaan ialah Mohd. Shukor Adan, K. Sanbagamaran, Aiboy dan D.
Surendran.
Menurut Dollah, beliau tidak
pasti keadaan kecederaan keempat-empat pemain tersebut.
``Kedudukan mereka hanya akan
diketahui pada sesi latihan terakhir esok dan saya akan lihat jika serius, saya
tidak akan memperjudikan kecederaan mereka untuk berada dalam kesebelasan
utama,'' ujarnya.
Ketika ditanya mengenai
kedudukan pemain import keempatnya Badui Farah dari Australia yang masih belum
diturunkan Dollah berkata, sukar untuk beliau membuat keputusan.
Ujarnya, ketika ini ketiga-tiga
pemain importnya Bambang, Fuentes dan Aiboy telah menunjukkan peningkatan
mendadak memastikan Selangor menjaringkan 14 gol setakat ini.
``Situasi sulit buat saya untuk
membuat keputusan, Fuentes dan Bambang berterusan menjaringkan gol manakala
Aiboy pula adalah perancang membuka ruang mencipta gol.
``Tidak mungkin saya mesti
merehatkan salah seorang daripada mereka semata-mata untuk membolehkan Badui
beraksi,'' ujarnya.
Beliau mengakui Badui kian
resah mengenai peluangnya yang masih samar-samar untuk berada dalam kesebelasan
utama.
Ujarnya, masih terlalu awal
untuk menentukan kedudukan Badui dengan perjalanan perlawanan masih awal dan
ada kemungkinan pemain itu akan diturunkan apabila berdepan dengan Kedah nanti.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iAE2hU9b
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan