Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
DOLLAH (kiri) bercakap kepada
pemberita pada sidang akhbar menjelang final Piala FA 2017 di Stadium Shah Alam
semalam yang turut dihadiri kapten Pahang, Matther Davies.
STATUS jurulatih pengalaman
tidak memberikan sebarang kelebihan buat mana-mana pasukan terutama apabila
melibatkan perlawanan akhir.
Demikian jelas pengendali
Pahang, Dollah Salleh yang enggan dilabel sebagai skuad pilihan menjelang aksi
final Piala FA 2017 menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor malam ini.
Sebagai rekod, Dollah merupakan
antara nama besar dalam arena bola sepak negara selain mempunyai profil
cemerlang setelah berjaya meraih beberapa kejayaan bersama pasukan terdahulu
termasuk Selangor dan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain pernah bergelar
ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Bagaimanapun Dollah tidak mahu
perkara tersebut dijadikan perbandingan meskipun Kedah kini dibimbing oleh
pemangku jurulatih, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff setelah pengendali asal, Tan
Cheng Hoe mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan bulan lalu.
“Saya akui pengalaman yang ada
pada setiap jurulatih adalah berbeza. Meskipun Mohd. Nidzam baru dilantik
sebagai pemangku jurulatih, saya lihat ia tidak akan menjadi isu memandangkan
pemain-pemain mereka memiliki pengalaman keserasian tersendiri.
“Mereka (termasuk Mohd. Nidzam)
telah berada lama dalam skuad Kedah hampir tiga tahun. Justeru, saya tidak mahu
menjadikan perkara tersebut sebagai kelebihan dan saya yakin apa sahaja boleh
berlaku di pentas final,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Stadium
Shah Alam semalam.
Sementara itu, pengendali
berusia 54 tahun itu percaya pasukannya memiliki keupayaan untuk ‘melunaskan
dendam’ malam ini selepas dihampakan oleh Kedah 1-4 pada aksi Liga Super di
Stadium Darul Aman, Alor Setar, Februari lepas.
“Kenapa kami tidak boleh
bergelar juara? Mungkin pasukan kami dibarisi oleh pemain-pemain muda tetapi
dari segi individu, saya lihat mereka memiliki kualiti untuk beraksi di
peringkat tertinggi.
“Saya akui sebilangan besar
daripada pemain agak cetek pengalaman beraksi di final jika hendak dibandingkan
dengan Kedah. Namun, saya optimis persediaan mental dan fizikal yang kami
lakukan sepanjang musim ini akan membuahkan hasil.
“Mengenai kekalahan (1-4) dalam
saingan Liga Super. Saya tidak mahu ia dijadikan sebagai kayu ukur keupayaan
anak-anak buah saya kerana saingan baru sahaja bermula ketika itu dan pasukan
masih belum serasi sepenuhnya,” tambah Dollah.
Skuad Tok Gajah bakal meraih
gelaran ketiga Piala FA sekiranya berjaya menumpaskan sang Helang Merah dalam
aksi yang bakal menarik tumpuan hampir 80,000 penyokong nanti.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4hacLVnlv
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan