Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
DOLLAH tetap bangga dengan gaya
persembahan Pahang walaupun tewas 2-3 kepada Kedah pada final Piala FA di
Stadium Shah Alam malam kelmarin.
PENGENDALI Pahang, Dollah
Salleh tidak menyesal mengarahkan Francisco Insa merantai tonggak import Kedah,
Liridon Krasniqi sehingga dilihat menjadi punca kekalahan pasukannya selepas
pemain naturalisasi itu dilayangkan kad merah pada perlawanan akhir Piala FA
2017 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Sebagai rekod, Insa telah
dilayangkan dua kad kuning pada 30 minit pertama oleh pengadil perlawanan,
Nagor Amir Noor Mohamed, sekali gus menyebabkan Pahang terpaksa beraksi dengan
10 pemain sebelum tewas 2-3 kepada Kedah pada aksi penuh dramatik itu.
Jelas Dollah, layangan kad
merah adalah lumrah dalam bola sepak kerana apa yang lebih penting, 10 pemain
yang berada di atas padang telah bermati-matian untuk bangkit pada babak kedua
tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan.
“Saya sangat berbangga dengan
pemain-pemain kami kerana mempamerkan sikap melawan terutama pada babak kedua.
Mungkin faktor kelekaan dan lambat panas pada awal permainan menjadi perbezaan
buat kedua-dua pasukan.
“Kita merancang untuk sekat
Liridon dan Insa ditugaskan untuk melakukan tanggungjawab tersebut. Saya tidak
menyesal meskipun beraksi dengan 10 orang, tetapi kita dapat lihat Pahang tetap
bermain seperti biasa.
“Saya berharap pasukan bangkit
pada aksi Liga Super menentang Selangor nanti dan segera lupakan apa yang telah
terjadi pada final Piala FA kali,” kata Dollah pada sidang akhbar selepas tamat
perlawanan malam kelmarin.
Kekalahan tersebut telah
menyaksikan Pahang terlepas tiket ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) musim depan dan kini terpaksa mengharapkan kejuaraan Liga Super walaupun
dibezakan enam mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saingan liga lebih sukar
kerana ada tiga pasukan (JDT), Pahang dan Kedah) bersaing hebat merebut trofi
musim ini. Kalau kita teruskan momentum cemerlang, kita mampu atasi jurang mata
dengan pendahulu,” katanya.
Sementara Itu, bekas pengendali
skuad kebangsaan itu percaya kehadiran pemain import baharu, Yamil Jorge Romero
bakal memberi sinar buat pasukannya selepas mempamerkan aksi positif pada
pentas final kelmarin.
“Dia (Romero) bermain dengan
baik meskipun masih belum seratus peratus cergas. Pada babak pertama dia
mungkin nampak sedikit perlahan tetapi peranan dan pengaruhnya semakin besar
pada separuh masa kedua,” jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4hoOKev00
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan