Isnin, 22 Mei 2017

Dollah tidak salahkan Kiko



 Fransisco INSA BOHIGUES (kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil,
FRANSISCO INSA BOHIGUES (kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed dalam perlawanan Akhir Piala FA di Stadium Shah Alam semalam. UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

Rozaidi Zulkifli

22 Mei 2017 3:00 AM
KUALA LUMPUR 21 Mei - Dollah Salleh tetap berbangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya meskipun beraksi dalam tempoh sejam dengan 10 pemain dan tidak menyalahkan Francisco Insa Bohigues atas kekalahan pasukannya kepada Kedah di Stadium Shah Alam malam tadi.

Lebih dikenali sebagai Kiko, pemain tengah kelahiran Sepanyol itu dibuang padang pada minit ke-33 setelah mengutip kad kuning kedua dan peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Kedah untuk mengasak dan memperoleh gol menerusi Baddrol Bakhtiar tidak lama kemudian untuk Lang Merah mendahului 2-0 selepas Ken Larsen membuka tirai jaringan.

Tanpa Kiko, Pahang masih berupaya merapatkan jurang menerusi Heo Jae-won sebelum rehat dan walaupun Baddrol menambah gol ketiga pada minit ke-76 untuk juara Piala Malaysia itu namun Mohamadou Sumareh menyemarakkan semangat melawan Tok Gajah dengan jaringan hanya empat minit kemudian.

Walaupun tumpas namun Dollah tidak menyalahkan Kiko sebagai punca sebaliknya menyifatkan perkara itu sebagai lumrah dalam bola sepak.

Pengendali Tok Gajah itu turut mengakui faktor kelekaan pasukannya pada awal permainan menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.

“Yang penting, dengan 10 orang kita tetap melawan dan saya berbangga dengan pemain yang sudah melakukan yang terbaik, terutamanya pada babak kedua.

“Kesilapan pada awal permainan (Kiko dilayang kad merah). Kita sudah tidak boleh buat apa dan harus segera lupakan apa yang terjadi.

“Kami merancang untuk sekat Liridon Krasniqi. Ini bola sepak... benda nak jadi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas tamat permainan malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut memberi pujian kepada semua pemainnya kerana cukup berdisiplin mengikut arahan ketika bertahan dan menyerang, serta berterima kasih kepada penyokong yang tidak putus memberi sokongan hingga tiupan wisel penamat.

“Memang kecewa kerana terpaksa bermain 10 orang tetapi kita lihat seperti kita main 11 orang. Saya tidak ada rasa menyesal, sebaliknya bangga dengan pemain.

“Penyokong juga tidak balik (keluar stadium), itu yang membuatkan saya gembira dengan perlawanan ini,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah merangkul trofi kedua musim ini dan akan mewakili Malaysia ke persaingan Piala AFC musim depan.

Dollah berkata, jika pasukannya meneruskan prestasi seperti malam tadi dan konsisten dengan corak permainan mereka maka tidak mustahil Pahang mampu mencabar kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super.

“Persaingan dalam liga memang sengit. (Persaingan antara) tiga pasukan (JDT, Pahang dan Kedah). Kalau kita kekal dengan prestasi ini, kita mampu merapatkan jurang mata,” katanya.

Pahang kini berada di tempat kedua liga dengan 21 mata bersama-sama Kedah, enam mata di belakang juara tiga kali berturut-turut JDT selepas 12 perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-tidak-salahkan-kiko-1.484464#ixzz4hnznEEYo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan