Sabtu, 13 Mei 2017

Dollah risau benteng Selangor rapuh



 ARKIB : 15/02/2005

Oleh AMRAN MULUP

SHAH ALAM - Dua kemenangan dicapai oleh Selangor belum melegakan jurulatihnya, Dollah Salleh yang kini kian resah memikirkan benteng pertahanan tidak mantap dan ampuh.

Walaupun menang 4-1 ke atas Melaka dan membenam TNB Kelantan 6-1, Sabtu lalu, buat Selangor menduduki tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A, kelemahan benteng pertahanan jelas lebih membimbangkan.

Kelemahan tersebut jelas dilihat pada babak kedua sewaktu pertemuan Selangor dengan TNB melihat betapa benteng pertahanan kucar-kacir hingga membolehkan penyerang lawan, Mohd. Armi Shariff menjaringkan satu gol buat wakil kelab dari Kelantan itu.

Dollah tidak mahu menyembunyikan rasa bimbangnya dan mengakui benteng yang menggandingkan P. Gunalan, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor dan Mohd. Saifu Nizam Husin goyah berdepan serangan TNB.

Kata jurulatih itu, aksi menarik dipamerkan kesebelasan utama pada babak pertama tetapi pada babak kedua jelas kelam kabut terutama di benteng pertahanan.

``Inilah sebenarnya yang meresahkan saya, masalah pertahanan yang masih kucar-kacir.

``Saya dah banyak kali beritahu dengan mereka (pemain) supaya mengawal permainan tetapi lihat pada babak kedua dengan TNB, jelas membuktikan kelemahan ketara,'' ujar Dollah mengulas mengenai pertemuan dengan TNB di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Dollah berkata, keadaan yang serupa berlaku sewaktu Selangor menewaskan Melaka 4-1 di tempat lawan dua minggu lalu.

Jurulatih itu mengakui jika masalah kemantapan benteng tidak diatasi, Selangor bakal berdepan dengan masalah untuk menang apabila berdepan dengan pasukan yang lebih kuat seperti Kuala Lumpur dan Kedah.

Dalam situasi genting menjelang pertemuan dengan jiran setempat Kuala Lumpur Ahad ini, Dollah membayangkan khidmat pemain import dari Australia, Badui Farah atau lebih dikenali dengan panggilan `Buddy' akan diturunkan bagi mengemudi benteng pertahanan.

Dollah menambah, jika Buddy diturunkan, maka akan berlaku rombakan di bahagian serangan yang mana salah seorang pemain import direhatkan.

``Sukar untuk saya buat keputusan antara Brian Fuentes, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy akan direhatkan minggu ini,'' ujarnya.

Dengan kelibat Fuentes sudah mencipta dua jaringan hatrik bertemu Melaka dan TNB, Dollah membayangkan betapa sukar untuk mengetepikan pemain dari Argentina itu.

Begitu juga dengan kelincahan Aiboy di sayap kiri menjadi nadi gerakan serangan Selangor manakala rakan sepasukannya Bambang pula lincah dan bijak menggunakan peluang dengan sepakan deras atau tandukan kencangnya.

Buat Dollah, tempoh lima hari yang ada akan digunakan untuk mengadunkan semula benteng pertahanan ketika gandingan serangan yang mencipta 10 gol akan cuba dikekalkan bertemu Kuala Lumpur nanti

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gy3aMm7N
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan