Sabtu, 29 Julai 2017 | 7:45pm
B Sathianathan. - Foto Osman
Adnan
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan
Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) akan mengusulkan cadangan kepada
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengubah undang-undang sedia ada
supaya tiada lagi jurulatih digantung terlalu lama kerana kesalahan tertentu.
Presiden PJBSM, B Sathianathan,
berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk membincangkan
cadangan itu sebelum diusulkan kepada badan induk terbabit.
Katanya, usul itu turut
merangkumi cadangan supaya jurulatih yang didapati bersalah hanya dikenakan
denda dan bukan penggantungan sehingga boleh menjejaskan masa depan mereka.
"Kita hanya mahu minta FAM
ubah undang-undang mengikut perspektif seorang jurulatih. Memang jurulatih
bertanggungjawab dengan kenyataan mereka, tapi sepatutnya mereka hanya
dikenakan denda.
"Kalau di Eropah,
jurulatih tidak digantung sampai satu atau dua tahun kerana penggantungan itu
akan memberi kesan kepada kontrak, sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh
bekerja dan hilang mata pencarian.
"Bila kontrak batal, mana
mereka nak dapat mata pencarian untuk tanggung keluarga? Kita kena lihat
perkara ini dan cadangan yang kita akan buat ini juga melalui FAM serta
mengikut prosedur," katanya kepada BH Sukan.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh
menjadi jurulatih terbaharu dihukum FAM dengan penggantungan selama 18 bulan
berserta denda RM30,000 kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang tidak
dibenarkan badan induk itu.
Menerusi cadangan sama,
Sathianathan juga menjelaskan, pihaknya akan mengusulkan supaya denda yang
dikenakan berdasarkan gaji jurulatih itu dan bukannya menerusi kadar yang
ditetapkan FAM.
"Denda juga tidak boleh
dengan kadar tertentu contohnya RM30,000 atau RM60,000. Mungkin denda itu boleh
dikenakan untuk dua atau tiga bulan gaji.
"Ia disebabkan sesetengah
jurulatih bergaji rendah dan ada yang bergaji tinggi. Apapun, ini semua
cadangan saja dan kita tak tahu sama ada akan diterima atau tidak,"
katanya.
Sumber BERITA HARIAN
ONLINE Sabtu, 29 Julai 2017 | 7:45pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan