Khamis, 27 Julai 2017

Pemain import susahkan Harimau Malaya: Dollah

Oleh Wan Fakhrul Bakar
wanfakhrul@bh.com.my
 
REAKSI Dollah salleh (kiri) selepas pasukkannya tumpas pada perlawanan Akhir kedua Piala Suzuki AFF 2014.
KUALA LUMPUR: Carta penjaring terbanyak yang kini dikuasai peledak import dalam Liga Malaysia mula mencetus rasa gelisah jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh.

Melihat perkembangan itu membuatkan Dollah sedikit sukar dalam menentukan siapa penyerang yang bakal dipertaruhkan di pentas antarabangsa sekali gus menjadi penjaring berbisa buat pasukan kebangsaan kelak.

Kepincangan itu mungkin bermula menjelang aksi persahabatan sulung skuad negara tahun ini bertemu pasukan ranking ke-91 dunia, Oman, di Stadium Al-Seeb, Muscat, 26 Mac ini.

Dilema dialami pengendali berusia 52 tahun itu berikutan kegagalan penyerang tempatan untuk menyerlah setakat empat perlawanan awal Liga Super musim ini.

Lantas keadaan ini menyaksikan carta senarai penjaring terbanyak kini didominasi penyerang import yang nyata lebih menyelerakan pilihan jurulatih pasukan negeri dan kelab untuk diturunkan.


KETUA Jurulatih , Dollah salleh. - Foto Osman Adnan
Namun, bagi Dollah, itu tidak membuat beliau 'pening kepala', sebaliknya menganggap ia bukan masalah besar apabila bersedia memanggil mana-mana penyerang tempatan yang dirasakan sesuai biarpun mereka mungkin masih belum menemui sentuhan gol.

Bagaimanapun siapakah pemain berkenaan masih menjadi persoalan menjelang kem latihan pusat bermula 18 Mac ini apabila Dollah belum mengeluarkan senarai rasmi nama pelatihnya.

"Tidak memeningkan. Saya akan panggil saja pemain yang saya rasakan sesuai. Tapi saya akan lihat aksi pemain dalam perlawanan keempat Liga Super (malam kelmarin).

"Saya pun tak tahu nak cakap lagi siapa yang akan saya senaraikan tapi saya dan staf kejurulatihan masih lagi cuba menilai pemain yang ada. Tapi memang saya akui, kita sedikit bermasalah di posisi penyerang," kata Dollah dihubungi BH Online.


PEMAIN Harimau Malaya, Safiq Rahim (kanan). - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Ketika muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014, Disember lalu, Dollah mempertaruhkan empat penyerang dalam skuad Harimau Malaya - Norshahrul Idlan Talaha, Amri Yahyah, Safee Sali dan Abdul Manaf Mamat.

Norshahrul baru meledak satu gol bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Super, Safee satu gol bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala AFC, Manaf satu gol dalam saingan Piala FA ketika Terengganu menewaskan Melaka United 3-1, minggu lalu manakala Amri baru saja kembali beraksi, malam kelmarin selepas pulih daripada kecederaan.

Senarai penjaring terbanyak Liga Super kini dikuasai penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dramane Traore dan penyerang import Terengganu, Paulo Rangel yang juga penjaring terbanyak musim lalu, masing-masing sudah meledak lima gol.

Ia diikuti penyerang import Sarawak, Billy Mehmet dengan tiga gol.

Dua gol pula dibarisi awang import, termasuk Mohamadou Sumareh dan Ashfaq Ali (PDRM), Luciano Figueroa (JDT), Andik Vermansah (Selangor), Edward Junior Wilson dan Ndumba Makeche (FELDA United) serta Namkung Woong (Perak).

Hanya tiga anak tempatan berjaya menyelitkan diri dalam senarai penjaring dua gol itu iaitu pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, pemain sayap Perak, Nurridzuan Abu Hassan serta pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim yang beraksi untuk JDT.

Ditanya adakah beliau risau dengan situasi semasa itu, Dollah berkata: "Sama ada penyerang itu jaringkan gol atau tidak, saya terpaksa panggil kerana itu saja penyerang yang kita ada. Saya pun tak tahu lagi nak panggil siapa. Saya tak tahu kenapa, mungkin mereka belum mencapai prestasi terbaik."

Namun, Dollah mungkin membuat sedikit kejutan apabila dia menyatakan tertarik dengan kelibat penyerang skuad Liga Perdana, JDT II berusia 21 tahun, Shafiq Shaharuddin.

Anak kepada bekas pemain kebangsaan era 1970-an, Shaharuddin Abdullah itu kini sudah meledak lima gol selepas empat perlawanan, tangga kedua senarai penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang penyerang import Negeri Sembilan, Francis Forkey Doe dengan enam gol.

"Yang saya nampak sedikit menyerlah ialah Shafiq. Tapi tak berani nak cakap kerana baru empat perlawanan dan dia beraksi di Liga Perdana. Apa pun belum ada kata putus dan saya akan terus memantau prestasinya," jelas Dollah.

Shafiq baru-baru ini dipanggil menyertai latihan pusat fasa pertama selama empat hari di Wisma FAM, Kelana Jaya untuk persiapan skuad B-23 negara ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.


PRESIDEN FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemain Harimau Malaya pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Khairull Azry Bidin
INFO

Senarai penjaring terbanyak Liga Super selepas empat perlawanan:
5 gol: Dramane Traore (PDRM), Paulo Rangel (Terengganu)
3 gol: Billy Mehmet (Sarawak)
2 gol: Ahmad Syamim Yahya, Edward Junior Wilson, Ndumba Makeche (FELDA United), Luciano Figueroa, Safiq Rahim (JDT), Ashfaq Ali, Mohamadou Sumareh (PDRM), Namkung Woong, Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Andik Vermansah (Selangor)

Senarai penjaring terbanyak Liga Perdana selepas empat perlawanan:
6 gol: Francis Forkey Doe (NS Matrix)
5 gol: Shafiq Shaharudin (JDT II)
4 gol: Leandro Velazquez (JDT II)
3 gol: Shahril Ishak (JDT II), Keith Nah (Kedah), El Hadji Diouf (Sabah), Michael Chukwubunna (KL SPA)
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 9 March 2015 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan