Serbegeth Singh
‘Laws of the game’ atau
undang-undang perlawanan menjadi topik utama bola sepak minggu lalu dan perkara
ini amat menarik perhatian. Dua legenda bola sepak Malaysia yang berpengalaman
luas dalam bidang masing-masing terbabit dalam isu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh serta ketua jurulatih
Pahang Dollah Salleh adalah dua individu yang dihormati dengan pencapaian
masing-masing dalam arena bola sepak. Selepas kontroversi ketika FELDA United
menewaskan Pahang pada aksi Liga Super, timbul persoalan mutu pengadil.
Dollah meluahkan perasaan tidak
puas hati serta kecewa dengan persembahan pengadil Mohamed Zamzaidi Katimin.
Sebagai jurulatih dan dalam keadaan emosi tinggi, Dollah menyuarakan isi
hatinya pada waktu itu. Ini kali pertama Dollah begitu berang dan reaksinya
sesuatu yang di luar dugaan kerana selalunya beliau seorang yang penyabar.
Beberapa hari kemudian,
Subkhiddin mempersoalkan pula pemahaman ‘Laws of the Game’. Beliau menyatakan
pengadil sudah lebih lama belajar undang-undang perlawanan daripada Dollah.
Kenyataan itu boleh dianggap
penghinaan terhadap seorang jurulatih serta bekas pemain bola sepak yang
dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan Malaysia.
Sebagai pemain, kita dididik
dan diajar undang-undang perlawanan dari peringkat awal. Dalam proses
pembesaran serta kemajuan dalam bidang bola sepak, kita memahami undang-undang
perlawanan sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan.
Sebagai pemain, kita bijak
mencuba nasib supaya undang-undang perlawanan memberi kelebihan kepada pasukan
diwakili.
Sebagai jurulatih,
tanggungjawab lebih berat kerana lebih susah untuk mengajar serta mengawal
emosi pemain supaya mematuhi undang-undang perlawanan.
Seterusnya, untuk menyatakan
pengadil perlawanan antara FELDA menentang Pahang ‘sudah lebih lama belajar’
undang-undang perlawanan ibarat memercik air di dulang. Ada kalanya, menjadi
lebih penting untuk memahami undang-undang perlawanan daripada sekadar belajar.
Baru-baru ini, pada final Piala
Konfederasi 2017 di Russia, satu insiden berlaku pada minit ke-65 dengan pemain
pertahanan Chile menyiku penyerang Jerman Timo Werner. Kekasaran ini pada
mulanya tidak dihiraukan, tetapi apabila dipujuk pemain Jerman maka pengadil
setuju menonton insiden itu melalui Video Assistant Referee (VAR).
Kita sedia maklum selepas
sekian lama FIFA kini bangkit daripada koma dan ingin membawa perubahan moden
kepada bola sepak.
Dengan adanya VAR, maka
perjalanan perlawanan serta pengadilan boleh membawa keikhlasan dengan
keputusan lebih tepat apabila dibantu untuk melihat semula tayangan insiden
tertentu.
Seterusnya, selepas melihat
bukti yang begitu jelas berlaku kekasaran berulang kali, pengadil Milorad Mazic
hanya berani melayangkan kad kuning kepada Gonzalo Jara. Kita sedia maklum
pengadil dari Serbia ini sudah lama belajar undang-undang perlawanan dan kini
dibantu dengan teknologi video, akhirnya menyedari berlaku kekasaran ke atas
pemain Jerman itu.
Yang menyebabkan penonton serta
peminat sesebuah pasukan menjadi marah bukannya reaksi atau emosi jurulatih,
tetapi tindakan serta keangkuhan pengadil. Setiap jurulatih sudah peka dengan
undang-undang perlawanan, tetapi bukan setiap pengadil mentafsirkan serta
menguatkuasakan undang-undang perlawanan dengan ikhlas.
‘Laws of the Game’ walaupun
sudah dipelajari, namun masih belum difahami pengadil di merata dunia. Diharap
pengadil tidak keterlaluan dalam melaksanakan undang-undang itu.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 4:29 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan