JULAI 2017

PEMAIN Pahang Matheus Alves
(kanan) mengasak penjaga gol Johor DT, Mohd Izham Tarmizi (tengah).
Kuantan: Jurulatih Pahang
Dollah Salleh mengaku peluang Tok Gajah untuk muncul juara Liga Super musim ini
sudah tertutup berikutan kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT),
kelmarin.
Dollah yang juga bekas
jurulatih kebangsaan berkata, jurang 12 mata tidak lagi memberi harapan buat
Pahang untuk mengucup piala berkenaan musim ini.
Bagaimanapun, beliau percaya
Tok Gajah akan terus berusaha untuk menamatkan musim di kedudukan kedua liga.
“Bagi saya, ketinggalan 12 mata
menutup peluang kami untuk mengejar (Johor DT) tetapi kami tidak akan putus asa
untuk beri saingan dengan menamatkan liga di tempat kedua,” katanya dalam
sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, satu gol
pada setiap babak memastikan Johor DT mengukuhkan kedudukan di persada liga
ketika Pahang jauh ketinggalan untuk memberikan tekanan.
Kekalahan itu turut meletakkan
Pahang di tangga ketiga selepas Kedah menewaskan Melaka United 4-2 untuk berada
di kedudukan kedua liga.
Mengulas gol seawal minit
pertama, Dollah berkata, jaringan itu tidak menjejaskan tumpuan pemain tetapi
skuadnya gagal memberikan tekanan kepada Johor DT.
“Namun, saya tetap gembira
dengan komitmen semua pemain yang berusaha untuk kembali mendapatkan prestasi
terbaik seperti dipersembahkan sebelum liga berehat,” katanya.
Sementara itu, kapten Saiful
Nizam Miswan mengaku kecewa kerana Tok Gajah gagal mencatat kemenangan di laman
sendiri.
“Pada masa sama, kami masih
lagi bergelut untuk kembali membentuk persefahaman dan berharap prestasi
terbaik dapat dipersembahkan seperti dipamerkan pada awal musim,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 10:41 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan