Isnin, 3 Julai 2017

Dollah berang, kritik mutu pengadilan

Ahad, 2 Julai 2017 @ 10:55 AM
Dollah berang, kritik mutu pengadilan
Oleh Nik Sukry Ramli niksukry@bh.com.my
 
PENYERANG Pahang, Matheus Alves Leandro (dua dari kanan) tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya selepas pasukannya tewas pada minit akhir kepada Felda United ketika perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tun Razak. - Foto BERNAMA

     MARAN: Pengendali skuad Pahang, Dollah Salleh mengkritik mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah ketika pasukannya tewas 2-1 di tangan FELDA United dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi. Dollah berkata, dia merasakan pengadil bertugas Mohammad Zamzaidi Katimin sebagai tidak tahu undang-undang perlawanan selepas menghadiahkan sepakan penalti kepada The Fighters pada minit ke-88.

      Katanya, beliau kecewa apabila kekasaran terhadap pemain import mereka, Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti yang jelas melayakkan Pahang memperoleh sepakan penalti tidak dilayan pengadil berkenaan.

      "Saya memang kecewa dan sangat tidak puas hati dengan apa yang berlaku ... mereka (pemain) sudah memberikan persembahan terbaik, tapi pengadil yang membunuh semangat kami. "Banyak keputusan dibuatnya sepanjang perlawanan sangat menghampakan saya dan pemain... saya sudah lama berdiam diri, kami (Pahang) seolah-olah menjadi mangsa dalam banyak perlawanan sebelum ini pun... adakah semua (keputusan) sudah diatur?

       "Banyak kali kami dilayan seperti ini, " katanya pada sidang media selepas perlawanan itu. Mengenai keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada FELDA United, Dollah berkata, pengadil jelas tidak faham posisi 'ball to the hand' yang dilakukan pemain The Fighters ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Tok Gajah pada minit ke-88. "Itulah yang saya katakan tadi... dia (pengadil) ini faham atau tidak (undang-undang)... kita boleh nampak ia adalah situasi 'ball to the hand'... bukan pemain pertahanan kami sengaja memegang bola.

      "Kenapa apabila pemain kami meminta sepakan penalti ketika Sumareh dikasari dengan jelas dalam kotak penalti mereka (FELDA United), dia buat tidak tahu... semua orang nampak (kekasaran)," katanya. Ketika ditanya mengenai kemungkinan dia bakal berdepan tindakan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik keputusan pengadil perlawanan, Dollah berkata, dia hanya mahu melihat mutu bola sepak dan pengadilan yang lebih baik.

      "Saya hanya mahu lihat sukan (bola sepak) ini terus diminati kerana kualiti permainan dan pengadilan yang terbaik... ini untuk masa depan bola sepak negara. "Kasihan kepada penonton yang sanggup datang ke stadium, membayar tiket dan berharap menonton perlawanan yang menghiburkan... tapi, jika beginilah mutu (pengadilan), saya pasti mereka (penonton) juga kecewa.

"Saya tahu peluang kita untuk mengejar pendahulu (Liga Super) ketika ini (Johor Darul Ta'zim) sangat berat... tapi, kami akan cuba bangkit dalam aksi seterusnya," katanya

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/298090

Tiada ulasan:

Catat Ulasan