Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
DOLLAH (tengah) digantung
selama 18 bulan oleh FAM dan tugas beliau diambil alih oleh Shaharuddin.
KETIADAAN ketua jurulatih,
Dollah Salleh yang digantung 18 bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
berkuatkuasa Jumaat lalu tidak menjejaskan rentak permainan Pahang apabila
mudah menundukkan Melaka United 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur,
Kuantan malam kelmarin.
Advertisement
Dollah dikenakan hukuman
tersebut selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca
bersama Artikel 88 statut FAM kerana membuat kenyataan akhbar melibatkan badan
induk bola sepak negara itu tanpa kebenaran.
Dollah turut dihukum kerana
mengecam urusan pentadbiran FAM melibatkan mutu pengadilan sejurus Pahang tewas
1-2 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 1 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, Dollah
dikenakan penggantungan bagi tempoh pertama selama sembilan bulan berkuat kuasa
21 Julai 2017 hingga 20 April 2018 manakala baki sembilan bulan untuk tempoh
kedua bermula 21 April 2018 hingga 20 Januari 2019 pula ditangguhkan.
Tugas melatih skuad Pahang kini
diambil alih penolongnya, Ahmad Shaharuddin Rosdi.
Berota mengenai penggantungan
Dollah itu ternyata mengejutkan barisan pemain Pahang, namun ia tidak
menjejaskan misi mereka memburu tiga mata pada aksi menentang Melaka United.
Menurut Shaharuddin, tekanan
yang dialami oleh barisan pemain skuad Tok Gajah itu bagaimanapun berjaya di
atasi menerusi kejayaan ke atas Melaka United.
“Pagi tadi (kelmarin), beberapa
jam sebelum perlawanan, kami dikejutkan dengan berita tergempar mengenai apa
yang terjadi ke atas ketua jurulatih, Dollah.
“Keputusan FAM itu memang tidak
dijangka sama sekali, tetapi tekanan itu berjaya diatasi oleh para pemain
apabila mereka berjaya meraih tiga mata ke atas Melaka United walaupun corak
permainan tidak lancar seperti diinginkan,” kata Shaharuddin.
Shaharuddin berkata demikian
pada sidang akhbar selepas tamat aksi Pahang menewaskan Melaka United 2-0
menerusi jaringan penyerang import Argentina, Yamil Romero seawal keempat
disusuli gol kedua menerusi Mohamadou Sumareh pada minit ke-52.
Mengulas lanjut berhubung
perancangan pasukan Pahang sepanjang ketiadaan Dollah, Shaharuddin memberitahu,
mereka akan terus memberikan yang terbaik untuk meraih kemenangan.
“Pihak Persatuan Bola Sepak
Negeri Pahang (PBNP) juga belum memaklumkan sebarang langkah yang akan diambil.
Buat masa ini, kami masih belum mengetahui apa tindakan selanjutnya,” tambah
Shaharuddin.
Sementara itu, Dollah ketika
ditemui enggan mengulas berhubung tindakan penggantungan yang dikenakan FAM ke
atasnya.
“Saya tiada komen dan
menyerahkan perkara ini kepada persatuan (PBNP),” ujar Dollah
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4nlI0Sq00
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan