Isnin, 3 Julai 2017

Sathia ceria Dollah kecewa

BERNAMA
 
KETUA jurulatih Felda United, B Sathianathan memuji aksi mantap dipamer anak buahnya sehingga berjaya menumpaskan Pahang 2-1 dalam saingan Liga Super.

Satiananthan berkata meskipun pasukan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama semalam, senario sebaliknya berlaku di babak kedua menyaksikan kebangkitan skuad ‘The Fighters’.

"Saya puji pemain saya berupaya bangkit mencatat kemenangan.

Pada separuh masa pertama, Pahang menguasai permainan tetapi pada babak kedua kita pula yang mengawal rentak permainan sebelum berjaya mengubah keputusan seri 1-1 kepada kemenangan 2-1.

"Pemain dilihat banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan itulah yang kita mahu dalam setiap perlawanan," katanya selepas perlawanan.

Satiananthan bangga kerana pasukan kendaliannya tidak mengamalkan corak permainan bertahan atau ‘berkampung’ di bahagian bawah dalam usaha meraih kemenangan.

"Kalau bermain secara bertahan, kita mungkin hanya catat keputusan seri 0-0 tetapi ia tidak begitu.

Saya mengarahkan semua pemain untuk bertahan dan menyerang. Namun walaupun menang, saya rasa Felda United belum bermain pada tahap sebenar dan ia masih boleh ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata tiga pemain import baharu dalam pasukan turut memainkan peranan penting untuk melakar kemenangan, sekali gus membuktikan mereka memiliki kualiti sebagaimana diharapkan.

Mengulas mengenai insiden kekecohan sehingga kapten The Fighters, Zah Rahan Krangar dilayangkan kad merah meskipun perlawanan berakhir dan mengakui tidak begitu jelas mengenainya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan dan beranggapan ia boleh menghancurkan bola sepak negara jika terus dibiarkan.

"Saya tidak kisah jika kalah tetapi mutu pengadilan malam ini menghampakan, seolah-olah perlawanan ini sudah diatur. Bukan disebabkan sepakan penalti sahaja tetapi banyak keputusan pengadil memihak kepada Felda United yang tidak sepatutnya diberikan.

"Dari segi sepakan penalti, ia tidak patut diberikan kepada Felda United manakala situasi di mana kita sepatutnya mendapat sepakan penalti, tidak pula diberi.

"Pahang banyak kali menghadapinya sebelum ini tetapi kita bersabar dan mendiamkan diri. Kali ini saya mahu luahkan demi bola sepak negara," katanya tidak gentar jika dikenakan tindakan susulan mengkritik mutu pengadilan.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 1:20 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan