ARKIB : 31/10/2013
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
Pasukan Pahang yang bakal
beraksi dalam perlawanan final Piala Malaysia menentang Kelantan, Ahad ini.
KUANTAN 30 Okt. - Jika diingat
kembali, kali terakhir Pahang mendakap Piala Malaysia adalah pada 1992 dan kini
skuad Tok Gajah pimpinan jurulatih, Dollah Salleh semakin hampir untuk
mengulangi kejayaan memenangi piala berprestij itu.
Sememangnya Pahang sudah lama
mengimpikan untuk mengulangi misi 1992 itu dan kini mereka telah layak ke
perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam,
Ahad ini.
Kali pertama Pahang menjulang
piala paling berprestij dalam arena bola sepak tanah air itu adalah pada 1983
apabila mereka memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor.
Tetapi era yang paling berjaya
adalah pada 90-an apabila mereka layak ke final Piala Malaysia sebanyak empat
kali, namun nasib tidak menyebelahi apabila hanya sekali bergelar juara pada
1992.
Tahun 1992 boleh dikatakan
tahun yang terbaik bagi Pahang apabila skuad itu berjaya memenangi dua
kejuaraan iaitu Piala Malaysia dan liga.
Pasukan tersebut pada ketika itu
dibarisi oleh pemain hebat seperti Dollah, Zainal Abidin Hassan, Khairul Azman
Mohamed, Abdul Mubin Mokhtar, Ahmad Yusuf, Alan Davidson dan Fandi Ahmad.
Pahang juga merupakan pemenang
pertama bagi format baharu liga Malaysia yang dikenali sebagai Liga Super pada
2004 dan berjaya memenangi Piala FA pada 2006.
Sebagai salah satu pasukan bola
sepak yang berjaya di Malaysia dari 1980-2007, Pahang berjaya melahirkan ramai
pemain tempatan yang berbakat dari akademi tersendiri.
Antaranya seperti Khairul Azman
Mohamed, Azizul Kamaluddin, Mohd. Fadzli Saari, Muhammad Juzaili Samion dan
pemain paling lama berkhidmat bersama Pahang dan sehingga kini masih bermain
ialah Jalaluddin Jaafar.
Bagaimanapun bermula pada 2008
skuad Pahang sedikit terumbang-ambing dengan ramai pemain bintang pasukan itu
berhijrah ke pasukan lain, meninggalkan pasukan yang dibarisi oleh pemain muda
dan baharu.
Akibatnya, dengan pasukan yang
sedikit terumbang ambing itu, pada 2012, skuad Tok Gajah buat pertama kalinya
terhumban ke Liga Perdana.
Beraksi di Liga Perdana, Pahang
menunjukkan peningkatan yang besar dalam musim 2012 apabila mereka layak ke
peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Pahang juga menjadi naib juara
Liga Perdana 2012 sekali gus layak beraksi ke saingan play-off untuk ke Liga
Super, pasukan itu akhirnya berjaya bermain di Liga Super 2013 apabila
menewaskan Kedah.
Beraksi dalam Liga Perdana pastinya
sesuatu yang berbeza dengan saingan dalam Liga Super, tetapi Tok Gajah
mempunyai pemain berbisa seperti Azamuddin Akil, R. Gopinathan dan juga Hafiz
Kamal.
Antara pemain lain yang
membarisi skuad itu adalah Fauzi Rozlan, R. Surendran, Faizol Hussein selain
turut dikukuhkan dengan kehadiran tiga pemain dari Selangor iaitu Mohd. Amirul
Hadi Zainal, Mohd. Razman Roslan dan Azidan Sarudin.
Di sebalik kecemerlangan Pahang
pada awal saingan Liga Super 2013, prestasi dua penyerang import skuad itu,
Nikolce Kleckarovski dan Mohamed Borji agak mengecewakan.
Pada April 2013, Pahang
menamatkan kontrak dua pemain import tersebut dan menggantikan dengan pemain
baharu iaitu Matias Conti dari Argentina yang bermain di bahagian serangan dan
Damion Stewart dari Jamaica (pertahanan).
Kedua-dua pemain import ini
ternyata bukan tersalah pilih apabila menunjukkan prestasi yang boleh
dibanggakan terutama Stewart yang berjaya menyebabkan penyerang pasukan lawan
gerun apabila berhadapan dengannya.
Skuad Pahang 2013 tidaklah
dibarisi oleh pemain bintang namun berbekalkan semangat bermain secara
berpasukan dan aksi tidak mengenal lelah hingga ke wisel penamat, skuad ini
berjaya menunjukkan permainan bertenaga sehingga layak ke perlawanan akhir
Piala Malaysia 2013.
Berdasarkan rekod bertemu
Kelantan bukan suatu yang mudah untuk Tok Gajah menewaskan The Red Warriors,
namun berkat kesungguhan dan komitmen seluruh pemain skuad itu, Pahang pasti
memberikan saingan sengit.
Misi 1992 Pahang kini semakin
hampir dan skuad Tok Gajah yang sebelum ini tidak diberikan harapan tinggi
untuk layak sehingga ke tahap ini telah pun membuktikan mereka mampu biarpun
tidak dibarisi oleh pemain bintang.
Di atas kertas mungkin Kelantan
pasukan pilihan, namun penyokong Tok Gajah tetap meletakkan harapan tinggi
kepada pasukan kesayangan mereka.
Sokongan padu penyokong Tok
Gajah atau lebih dikenali dengan jolokan Elephant Army musim ini juga ibarat
pemain ke-12 buat skuad Pahang apabila tanpa jemu menghadirkan sokongan padu
buat skuad kendalian Dollah.
Dan minggu lalu mereka turut
sama membanjiri Stadium Darul Makmur menyaksikan perlawanan persahabatan antara
Mahkota United yang rata-ratanya dibarisi pemain daripada skuad yang menjulang
Piala Malaysia 1992 termasuk bintang import, Alan Davidson dengan pasukan KP
Pahang.
Nyata, kesemua penyokong Tok
Gajah cukup dahagakan untuk melihat skuad yang diketuai Jalaluddin mampu
mengulangi memori manis 1992.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20131031/wp_01/Misi-92-Pahang-semakin-hampir#ixzz4aHjgThS5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan