ARKIB : 04/10/2003
ADA nada keyakinan pada Dollah
Salleh bahawa pasukan bimbingannya, MPPJ Selangor mampu mengatasi Sabah pada
perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia malam ini tetapi jurulatih itu tetap
menganggap peluang mereka adalah 50-50.
Katanya, bukan mudah untuk mengatasi
Sabah kerana skuad itu memiliki barisan pemain berpengalaman dan pernah dua
kali bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia berbanding MPPJ.
Begitupun, bekas penyerang
kebangsaan itu seperti tidak mahu memandang kepada rekod dan statistik kerana
kegagahan sebenar masing-masing adalah di atas padang.
``Memang mengikut rekod, Sabah
masih mengatasi kami. Mereka juga sebuah pasukan yang berpengalaman dengan
barisan pemain yang baik.
``Tetapi apa yang dapat saya
katakan di sini ialah perlawanan akhir Piala Malaysia sesuatu yang jelas
berbeza.
``Cuma kami akan bermain
seperti biasa sebagaimana perlawanan peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh
akhir,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Dalam aksi peringkat kumpulan,
MPPJ dan Sabah diletakkan dalam satu kumpulan. Kedua-dua pasukan seri 1-1 di
Petaling Jaya tetapi Sabah menang 1-0 di Likas untuk skuad itu muncul juara
kumpulan dan MPPJ di tangga kedua.
Dollah berkata, MPPJ turun
selaku pasukan underdog berbanding Sabah sebagai pasukan pilihan.
``Tetapi kita hanya akan tahu
keputusannya sehingga wisel penamat,'' kata Dollah.
Jurulatih itu menganggap pemain
import Keith Gumbs, Robert Gaspar dan K. Sanbagamaran antara pemain paling
berbahaya dalam skuad Sabah.
``Saya telah aturkan strategi
terbaik untuk mengekang mereka dan saya berharap pemain bermain seperti
biasa,'' ujarnya.
Ditanya mengenai suasana
perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Dollah percaya barisan
anak buahnya mampu menyesuaikan diri.
``Kami tidak pernah menganggap
kami bermain di tempat lawan. Semua gelanggang bagaikan tempat sendiri dan
pemain tiada tekanan bermain di mana-mana.
``Kami ada penyokong sendiri
dan kelebihan itulah yang membuat kami mampu mara sehingga ke peringkat ini
(akhir),'' katanya
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4aLUgnFSt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan