Sumber-sinar harian online 14
JANUARI 2016
Perlis belum sempurna – Dollah
Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
PARA pemain Perlis meraikan
kejayaan mereka membelasah ATM 6-1 pada aksi pembuka tirai Liga Premier di
Kangar malam kelmarin.
“MASIH terlalu awal untuk
memperkatakan kemampuan Perlis, lagipun masih banyak kelemahan yang perlu
diperbaiki.”
Demikian tegas ketua jurulatih
Perlis, Dollah Salleh yang enggan mendabik dada dengan kemenangan bergaya pada
perlawanan pembukaan Liga Premier musim 2016 selepas menewaskan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) 6-1, di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar kelmarin.
Mengulas mengenai perlawanan
tersebut, Dollah berpendapat bahawa anak-anak buahnya bernasib baik kerana
pasukan lawan masih lagi memikirkan beberapa ‘masalah dalaman’ yang dihadapi
mereka ketika ini, namun menegaskan masih banyak lagi kelemahan yang perlu
diperbaiki dalam misi menjuarai liga musim ini.
“Secara peribadi, saya terkejut
dengan persembahan menarik yang ditonjolkan oleh anak-anak buahnya terutama
pada babak pertama. Namun, saya anggap kami sekadar bernasib baik atas faktor
pasukan lawan mempunyai masalah dalaman selain beraksi di gelanggang sendiri.
“Bagaimanapun, saya ingin
menjelaskan aksi yang kami pamerkan pada perlawanan itu masih banyak kelemahan
dan belum sempurna lagi,” kata Dollah ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada perlawanan tersebut, skuad
yang mendapat jolokan Singa Utara itu mudah meledak enam gol pada separuh masa
pertama menerusi Obinna Nwaneri, Mohd. Alafi Mahmud, Kayne Vincent (dua gol),
Mohd. Afif Amiruddin dan Sadam Hashim sebelum pasukan The Gladiators mendapat
gol saguhati pada babak kedua menerusi Mohd. Zaironi Yusof.
Dalam pada itu, Dollah memuji
persembahan yang dipersembahkan oleh Vincent dan menjelaskan aksi seperti
itulah yang diharapkan olehnya dan para penyokong dari bekas penyerang kelab
Thailand, Buriram United itu.
“Dia beraksi dengan baik ketika
sesi latihan pra-musim sebelum ini dan kini dia berjaya membuktikan yang mana
dia tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan liga ini,” jelasnya
lagi.
Dalam perkembangan sama,
pengendali berusia 53 tahun itu mahu anak buahnya kekal fokus kerana perjalanan
liga baru sahaja bermula dan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya
menentang UiTM FC, malam esok.
“Saya harap keputusan yang
dicatatkan pada malam kelmarin bakal memberi ‘batu loncatan’ kepada para
pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada perlawanan kedua menentang
UiTM FC.
“Meskipun beraksi di laman
sendiri, saya tidak mahu anak buah memandang rendah kepada pasukan itu
berdasarkan mereka turut mencatatkan keputusan yang memberangsangkan pada
perlawanan pertama lalu,” katanya.
Sebagai rekod, skuad bimbingan
Raja Isa Raja Akram Shah berjaya menundukkan salah sebuah pasukan pilihan,
Sabah 4-1, pada perlawanan pembuka tirai Liga Premier di Stadium UiTM, Shah
Alam kelmarin.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4aJngcIcJ
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan