Jumaat, 3 Mac 2017

Dollah lega Tok Gajah tidak bolos

Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
 
Kuantan: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh (gambar) gembira kerana skuad bimbingannya tidak melepaskan gol ketika menewaskan PKNS FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Beliau berkata, kemenangan ke atas PKNS itu bukan mudah jika pemainnya tidak mengamalkan disiplin dan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan terutama aksi separuh masa pertama.


“Bagi saya, kemenangan ini bukan senang kerana perlawanan itu memerlukan komitmen tinggi pemain untuk mengekalkan prestasi walaupun mereka nampak keletihan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dollah berkata, disiplin tinggi membantu Pahang untuk mempamerkan prestasi terbaik selepas mendapat gol kedua dan hasilnya tiga mata menjadi milik pasukan.

“Pada perlawanan ini (kelmarin) Wan Azraie Wan Teh selaku penjaga gol memainkan peranan penting kerana menyelamatkan keadaan pada separuh masa pertama hasil daripada percubaan lawan,” katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC, E Elavarasan akur dengan kekalahan skuadnya terutama kegagalan meraih sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.

“Apabila Pahang menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti, pemain masih lagi berusaha mengasak kubu lawan tetapi semangat semakin menurun apabila gol ketiga dihasilkan Pahang.

“Kita kena akui Pahang bermain dengan baik terutama bahagian serangan mereka bijak menyempurnakan segala peluang yang ada dan mereka meraih tiga mata,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:53 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan