Jumaat, 3 Mac 2017

Dollah bayangkan Perlis laluan berliku

14 JANUARI 2016
 Dollah Salleh
Dollah Salleh
KETUA Jurulatih Perlis, Dollah Salleh membayangkan pasukannya bakal menghadapi rintangan berliku dalam saingan Liga Perdana bermula pertengahan bulan depan.

Katanya, kebimbangannya kerana tahap kecergasan dan kekuatan fizikal pemain belum memuaskan selepas seminggu berlatih kerana aspek ini sangat penting untuk memastikan Perlis mara lebih jauh.

"Justeru, saya terpaksa memperkenalkan corak agak keras untuk memantapkan pasukan ini walaupun beberapa pemain didapati tidak dapat mengikutinya dengan memuaskan.


"Saya yakin corak yang diperkenalkan ini berupaya meningkatkan ketahanan pemain. Pada masa sama saya berusaha membina keserasian dan kemantapan mereka," kata Dollah kepada Bernama, di sini hari ini.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata beliau bagaimanapun gembira kerana semua pemain turun menjalani latihan mengikut jadual kecuali penyerang import, Gregory Junior Nwokolo yang dijangka tiba esok.

Dollah berkata, Nwokolo, akan bergandingan dengan Edward Junior Wilson manakala Obinna Nwaneri akan memperkuatkan pertahanan dan Mohamadou Sumareh diletakan di sayap kanan.

Beliau yang ditanya mengenai cabaran yang pernah dibuat untuk mengembalikan kegemilangan 'Singa Utara' berkata ia tetap menjadi cabaran dirinya.

"Mana-mana pasukanpun ada cabarannya tetapi kami bermula dengan kosong tanpa dan pemain bintang. Sebab itu saya berazam memberikan yang terbaik dalam mengemudi Perlis dalam kancah Liga Perdana ini," katanya.

Dollah berkata, beliau akan menguji pemainnya melalui perlawanan persahabatan menentang Kedah pada 1 Februari ini di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) jam 8.45 malam.

Sementara itu pengurus pasukan, Afifi Osman berkata perlawanan dengan Kedah, yang diibaratkan abang-adik tetap menjanjikan aksi hebat kerana masing-masing akan menurunkan kesebelasan utama.

"Saya berharap penyokong-penyokong Perlis turun memenuhkan stadium untuk memberikan sokongan. Penyokong adalah nadi utama pasukan ini. Tanpa mereka stadium tidak akan berseri," katanya. – Bernama

Sumber-sinar harian online 14 JANUARI 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan