Sabtu, 4 Mac 2017

Hodak dan Dollah punya rahsia tersendiri

WARTAWAN SINAR HARIAN3 November 2013

Hodak dan Dollah punya rahsia tersendiri
Dari kiri: Dollah Salleh dan Bojan Hodak
DEBARAN pentas akhir bukan sahaja dirasai pemain dan penyokong malah jurulatih tidak ketinggalan.

Perlu bijak merangka strategi bertahan serta menyerang semua ini perlu ada pada Bojan Hodak dan Dollah Salleh dalam pertembungan pentas akhir malam ini.

Memberi arahan dari luar padang, sebarang kesilapan percaturan pastinya membawa padah kepada pasukan. Hodak dan Dollah mereka sememangnya telah membuktikan kewibawaan dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Membawa pasukan ke pentas akhir sesuatu yang perlu dibanggakan malah lebih manis jika dapat menjulang piala tersebut.


DOLLAH Salleh memegang rekod cemerlang sebagai jurulatih dan pemain, ini terbukti dengan pencapaian diraih.

Sebagai bekas pemain Pahang dan membarisi skuad kegemilangan,1992, Dollah semestinya mempunyai misi tersendiri untuk membantu dan memastikan gelaran juara Piala Malaysia musim ini menjadi milik Pahang.


CURAH ILMU

Pernah membantu MPPJ muncul juara Piala Malaysia 2003 dan Selangor (2005) sentuhan dan pengalaman jurulatih berasal dari Melaka itu memberikan kelebihan buat Pahang khususnya dalam saingan musim ini.

Pengalaman Dollah beraksi di final Piala Malaysia semestinya dapat diturunkan kepada anak-anak buahnya dan kejayaan Dollah selaku jurulatih serta pemain pastinya ingin dicontohi anak didiknya.


PASANG STRATEGI

Kelebihan Dollah dapat menghidu kemampuan anak-anak buahnya dan ini terbukti apabila meletakkan Amirulhadi di bahagian tengah dan menyerlahkan kembali potensi membuatkan pemain itu juga dilihat bangkit pada musim ini selepas dilihat sedikit tenggelam.

Dollah yang juga sering kali menggunakan formasi 4-4-2 sememangnya menyedari penyerangnya, Matis Conti tidak boleh dibiarkan berseorangan dan digandingkan bersama Alex bagi memantapkan lagi jentera serangan pasukan itu.


PROFIL

Nama: Dollah Salleh
Tarikh Lahir: 23 Oktober 1963 (50 tahun)
Asal: Melaka
Karier sebagai pemain-Posisi : Penyerang
1985-86 (Johor)
1987-90(Selangor)
1991-96 (Pahang)
1997-(Melaka)
1998-(Negeri Sembilan)
Karier sebagai jurulatih -2003-2004-(Selangor MPPJ)
2005-2008 (Selangor)
2009-(Shahzan Muda)
Mei 2009- kini (Pahang)
Pencapaian:

Sebagai pemain, pernah membantu Pahang menjuarai piala liga pada 1992

Meraih pingat emas dalam temasya Sukan Asia Tenggara 1989 di Kuala Lumpur dan Pesta Bola Merdeka pada 1993 dan penampilan dalam edisi pertama Kejohanan Bola Sepak Asean 1996.

Sebagai jurulatih, membawa MPPJ muncul juara Piala Malaysia pada 2003 dan membawa MPPJ ke Liga Super selepas pasukan itu mengungguli Liga Perdana pada 2004.

Pada 2005, membantu Selangor menjulang tiga piala, Liga Perdana, Piala FA dan dan Piala Malaysia.


BOJAN Hodak adalah satu nama yang dilihat menjadi penyebab turun dan naik prestasi The Red Warriors musim ini namun beliau akan tetap dikenang selaku jurulatih pertama yang membawa pasukan itu merangkul kejuaraan tiga piala musim lalu.

Tentunya, penampilan pada musim ini cukup perbezaan dan jika Kelantan mampu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia malam ini, ia menjadi ukuran kepada kemampuan Hodak secara keseluruhan, sekali gus penutup gemilang kepada jurulatih yang akan berhijrah meninggalkan Kelantan selepas pertandingan piala paling berprestij itu.


SERING WASPADA

Pengendali kelahiran Croatia itu merupakan seorang yang sangat berhati-hati dalam menjana taktikal pasukan, mempunyai kepakaran dalam mengekalkan kecergasan pemain semasa latihan dan perlawanan sebenar namun dilanda badai pertengahan musim angkara meredah jadual perlawanan yang padat dalam empat siri kejuaraan.

Mengharungi musim 2013, Hodak berdepan kekurangan rencah selepas pemergian Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Nurul Azwan Roya malah kemasukan Zairo Anuar Zalani dan Mohd Faiz Subri juga dikatakan tidak berjaya menutup kepincangan pasukannya.


TIDAK PANIK

Kehilangan Mohamed Ghaddar juga dilihat sebagai punca kegagalan untuk membentuk serangan yang lebih tajam apabila lebih suku musim dihabiskan dengan menajamkan semula Keita Mandjou, menyebabkan pasukannya‘lambat panas’ beraksi dalam liga domestik.


SUDAH TERBUKTI

Hodak dilihat seorang jurulatih yang sangat statik, susah untuk menekan butang panik apabila berdepan situasi sukar dan sangat berdisiplin dan mempercayai pemain sedia ada.

Apa pun, Hodak tetap dianggap jurulatih paling berjaya pernah membimbing Kelantan sejak berdekad-dekad lalu. Bukan mudah merangkul kejuaraan tiga piala dalam satu musim, tetapi beliau berjaya membuktikannya dalam tempoh kurang 10 bulan sejak menerajui Kelantan, 28 Februari tahun lalu.


PROFIL

Nama: Bojan Hodak
Tarikh lahir : 4 Mei 1971
Umur: 42 tahun
Asal: Belgrade, Croatia
Status: Berkahwin
Nama Isteri: Junie Hodak Nee Tan
Anak: Seorang (Luka)

KARIER SELAKU PEMAIN
1987 – 1990 – NK Trnje
1990 – 1994 – NK Vrapce
1995 – NK Hrvatski Dragovoljac
1996 – NK Ponikve
1997 – Balestier Central FC
1998 – 1999 – Jurong FC
1999 – Hong Kong Rangers FC
2000 – 2001 – Jurong FC
2002 – NK Trnje

KELAYAKAN SELAKU JURULATIH
2004 – Lesen Kejurulatihan Bola Sepak Kelas A (UEFA)

KARIER SELAKU JURULATIH
2006 – 2009 – Ketua Jurulatih Perak UPB-MyTeam FC
2010 – 2011 – Ketua Jurulatih Phnom Penh Crown FC (Kemboja) (enam bulan)
2011 – 2012 – Penolong Jurulatih Shandong Luneng Taishan FC (China)
2012 – sekarang – Ketua Jurulatih Kelantan

PENCAPAIAN SELAKU JURULATIH
2007 – Naib Juara Liga Perdana Malaysia
2010 – 2011 – Naib Juara Piala Presiden AFC
2011 – 2012 – Juara Liga Simpanan CSL
                   – Naib Juara Piala FA China
                   – Kelima keseluruhan Liga Super China
2012 – Juara Liga Super Malaysia
        – Juara Piala FA
        – Juara Piala Malaysia
2013 – Juara Piala FA

Sumber-sinar HARIAN ONLINE 3 November 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan