26 JULAI 2016
Dollah Salleh Dollah Salleh
BIARPUN berjaya mengutip tiga
mata penuh dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT), 1-0, Perlis nyata
kecewa dengan mutu pengadilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed
Putra di Kangar, petang semalam.
Pengendali Skuad Singa Utara,
Dollah Salleh mendakwa tindakan pengadil, Mohd Nazmi Nasaruddin melayangkan kad
merah kepada pemain import Perlis, Mohamadou Sumareh selepas menjatuhkan pemain
JDT, Muhd Shahrul Mohd Adnan pada minit ke-82 adalah tidak wajar sama sekali.
Kata Dollah, Mohd Nazmi
sepatutnya memberi amaran keras atau kad kuning pertama kerana itu merupakan
kesalahan pertama Mohamadou.
"Saya kecewa dan tak faham
dengan keputusannya melayangkan kad merah kepada Sumareh (Mohamadou).
Dari pengamatan saya, tindakan
beliau memang keterlaluan kerana Sumareh tidak bersikap melampaui batas,"
katanya.
Meskipun kecewa dengan keputusan kontroversi
itu, Dollah tetap memuji aksi anak buahnya yang memberi komitmen jitu pada
perlawanan menentang pelawat.
Dollah berkata Mohamadou
terpaksa direhatkan dua perlawanan namun masih belum memikirkan siapa yang
bakal mengisi kekosongan penyerang berkenaan kerana ingin menumpukan persediaan
perlawanan seterusnya.
Perlis bakal bertemu Melaka
untuk perlawanan seterusnya di Stadium Hang Jebat pada Selasa depan. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 26
JULAI 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan