ARKIB : 05/07/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
SHAH ALAM - Kemenangan Selangor
ke atas Melaka kelmarin seolah-olah menyangkal dakwaan kononnya wujud masalah
dalaman antara pemain dan pihak pengurusan dan meletakkan mereka kembali ke
landasan sebenar meraih kejuaraan Piala Malaysia.
Jurulatihnya Dollah Salleh
berkata, tidak wujud sebarang masalah dalaman seperti yang digembar-gemburkan,
terutamanya ketika mereka tewas dalam dua perlawanan kepada kepada Negeri
Sembilan dan Kelantan.
''Semuanya berjalan lancar dan
tiada sebarang masalah antara pemain bersama pihak pengurusan, kekalahan kami
sebelum ini adalah disebabkan faktor keletihan sahaja, selepas bermain empat
perlawanan dalam 10 hari," katanya kepada media selepas perlawanan selepas
mengalahkan Melaka 5-2 dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A.
Jelasnya, pemain, jurulatih dan
pihak pengurusan tidak pernah bercakaran atau bermasam muka antara satu sama
lain malah mereka sentiasa duduk berbincang bersama untuk meningkatkan
persembahan pasukan Selangor dari masa ke semasa.
''Sebelum perlawanan, Timbalan
Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad, Pengurus
Pasukan, Zakaria Ab. Rahim dan saya makan tengah hari bersama sambil
membincangkan mengenai permainan Selangor, ia menunjukkan tiada masalah besar
yang berlaku antara kami.
''Pemain pula gembira selepas
perlawanan malam ini (kelmarin), saya lihat mereka penuh bersemangat dan ketika
di dalam bilik persalinan selepas rehat separuh masa pertama saya hanya memberi
kata-kata semangat selama dua minit dengan menyuruh mereka menikmati baki
perlawanan tanpa sebarang tekanan," kata Dollah.
Ditanya mengenai kain rentang
yang menunjukkan rasa protes di kalangan segelintir penyokong Selangor, Dollah
berkata itu adalah hak penyokong dan menjadi lumrah di dalam bola sepak.
''Ini adalah perkara biasa di
dalam bola sepak peminat berhak menunjukkan rasa tidak puas hati mereka,"
kata Dollah.
Dalam pada itu Dollah amat
berpuas hati dengan corak yang dipamerkan Selangor tetapi apa yang merisaukannya
ialah kehilangan pemain yang akan menjalani latihan bersama pasukan Malaysia
dan tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan pemain dari Piala Presiden.
''Jika pemain saya dipanggil
menjalani latihan pasukan kebangsaan, saya terpaksa memanggil pemain dari Piala
Presiden, bagaimanapun saya amat berpuas hati dengan permainan pasukan saya
pada malam ini.
''Ini juga adalah kali pertama
saya meletakkan Amirul Hadi Zainal sebagai pemain penyerang dan dia mampu
menjalankan tugas sebagai penjaring gol selepas meledakkan dua gol malam
ini," katanya.
Sementara itu Zakaria berkata,
pemain sudah membuktikan kepada peminat bahawa mereka masih lagi layak
digelarkan pasukan terkuat dalam saingan Piala Malaysia.
''Saya berpuas hati dengan
permainan pemain Selangor malam ini, mereka menunjukkan kesungguhan dan
kesepakatan bagi menebus kekecewaan sebelum ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdUbiIU9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan