Sabtu, 18 November 2017

Jangan salahkan pemain – Dollah

ARKIB : 28/03/2008

SHAH ALAM – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh semalam mahu empat pemainnya tidak dipersalahkan gara-gara meninggalkan klinik yang dikendalikan oleh legenda bola sepak Liverpool, Ian Rush anjuran Liga Super Malaysia sehari lebih awal.

Empat pemain Selangor – Mohd. Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal dan Akmal Rizal Rakhli dilaporkan meninggalkan klinik tiga hari itu untuk berlatih bersama pasukan Selangor di Shah Alam menjelang aksi penting pusingan kedua Piala FA.

‘‘Saya tidak salahkan pemain. Mereka juga terkeliru tentang siapa yang harus dipatuhi. Saya memang memerlukan mereka tetapi ia tidak bermakna kami menentang peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

‘‘Selama ini pun, kami memang patuh kepada FAM. Tahun lepas, empat pemain saya tidak dapat beraksi pada suku akhir Piala Malaysia kerana terlibat bersama pasukan kebangsaan di Australia.

‘‘Bezanya, kali ini saya terpaksa memanggil mereka menyertai latihan kerana menganggap ia hanya satu sesi klinik dan bukannya latihan pasukan kebangsaan,” kata Dollah.

Menurut Dollah, beliau bersama Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin merangkap pemangku pengurus pasukan akan memberi penjelasan kepada FAM berhubung perkara itu.

Ketika memberikan reaksi kelmarin, Setiausaha Agong FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata, beliau telah meminta laporan penuh daripada jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan.

Malah Azzudin mahukan keempat-empat pemain itu memberikan penjelasan bertulis mengapa mereka meninggalkan klinik berkenaan.

‘‘Tiga hari adalah satu tempoh yang panjang bagi pemain jika tidak berlatih. Saya hanya minta mereka dilepaskan sehari awal. ‘Saya melatih mereka. Membuat latihan set-piece, sudah tentu ia menyukarkan untuk merancang permainan. Mungkin saya tersilap kerana menganggap ia cuma satu klinik dan bukannya latihan,” kata Dollah.

Sementara itu, Dollah menyambut baik kenyataan presiden baru FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahukan pasukan itu mengambil pendekatan yang lebih profesional.

‘‘Ini merupakan satu berita baik bagi peminat bola sepak Selangor sendiri. Kita amat mengharapkan orang yang berminat untuk memajukan bola sepak Selangor,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4yq9NwvwD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan