Rabu, 29 November 2017

Mungkin mereka hanya penjual jam - Dollah Salleh

ARKIB : 06/08/2008
KUALA LUMPUR - Pengalaman pernah bermain dengan pemain import yang hebat seperti Ervin Boban, Jan Janostak, Abbas Saad, David Mitchell dan ramai lagi pada era 90-an menyebabkan para pemain veteran mempunyai pendapat tersendiri tentang keputusan pembatalan penggunaan pemain import oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), lapor FERZALFIE FAUZI.

Dollah Salleh yang pernah mencipta nama dengan pasukan Pahang pada era 90-an berkata, pemain import yang beraksi sekarang ini sama sahaja dengan zaman 90-an tetapi apa yang bezanya negeri atau kelab tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk mendapatkan yang terbaik.

''Apabila sesebuah pasukan tidak mampu untuk membeli pemain import berkualiti mereka akan mengambil pemain sekadar tangkap muat, mana tahu mungkin penjual jam di sekitar Lembah Klang.

''Ini berbalik kepada tahap kewangan mereka (kelab/negeri), pasukan seperti Kedah, Selangor dan MyTeam mempunyai kewangan yang kukuh dan mengambil pemain import yang berkualiti,'' kata Dollah yang pernah beraksi bersama pemain import seperti Alan Davidson dan Abduraimov Azamat.

Nada yang sama turut diutarakan oleh bekas pemain Selangor, Shahril Arsat, yang mengatakan pemain import perlu dibenarkan beraksi dalam liga tempatan kerana mereka berjaya membawa kelainan dari segi corak permainan, kepantasan dan semangat tinggi.

''Pada era 90-an dahulu semua pemain import yang dibawa berkualiti berbanding sekarang dan mereka menjadi contoh terbaik kepada kami untuk terus beraksi seperti mereka atau lebih hebat dari itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, sekarang ini hanya sebahagian sahaja pemain import yang hebat manakala selebihnya masih boleh diragui kualiti dan corak permainan.

''Keputusan yang dibuat oleh FAM ada baik dan buruknya tetapi semua ini terletak kepada pihak pengurusan negeri dan kelab tersebut, jika mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh tidak mustahil pemain yang berkualiti mampu untuk dibawa masuk.

''Manakala pasukan yang agak goyah dari segi sumber kewangan pula perlu berfikir mendalam sama ada perlu atau tidak perlu mengambil pemain import bukan sahaja ambil sekadar tangkap muat,'' katanya.

Bagi bekas pemain Perlis dan Kedah, Manja Man pula berkata, keputusan tersebut mempunyai pro dan kontra yang perlu difahami oleh semua peminat bola sepak.

''Tanpa pemain import ia akan sedikit sebanyak memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menonjol tetapi dalam masa yang sama ia tidak mampu untuk menarik minat penonton datang ke stadium.

''Jika pemain tempatan tidak beraksi dengan baik tanpa pemain import perlawanan akan menjadi suram dan akan memberi masalah kepada persatuan dari segi jumlah kutipan tiket,'' kata Manja.

Ujarnya, mungkin FAM sudah melihat potensi pemain penyerang seperti Farderin Kadir, Zaquan Adha Abd. Razak dan Safee Sali semakin menonjol dan memberi ruang sepenuhnya untuk mereka beraksi dengan bebas tanpa dibayangi pemain import.

"Apabila mempunyai peluang seperti ini penyerang tempatan perlu menunjukkan kemampuan mereka yang sebenar dan inilah masa terbaik untuk semua pasukan menggilap penyerang muda mereka,'' kata Manja yang sekarang ini menjadi pembantu jurulatih pasukan Perlis.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan pemain tempatan akan mula meletakkan harga tinggi selepas ketiadaan pemain import.

Bekas penyerang Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, pula berpendapat pembatalan penggunaan pemain import musim depan memberi kesan positif dan negatif kepada bola sepak tempatan.

''Dari segi positif ia memberi peluang untuk pemain tempatan bersaing sesama sendiri dan dari segi negatifnya liga tempatan mungkin akan suram.

''Pada zaman 90-an pemain import yang dibawa masuk memang hebat dan dalam masa yang sama pemain tempatan yang ada juga berjaya memberi saingan yang hebat seperti Faridzuan Che Hamid (Kedah), Ariffin Osman (Terengganu), Azman Adnan (Selangor) dan Matlan Marjan (Sabah),'' kata Nidzam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zriOrg5R

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan