Selasa, 28 November 2017

Dollah pertahan anak buah

ARKIB : 17/07/2008
Oleh sayed hesham idris
KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, pasukannya layak ke suku akhir dalam saingan bola sepak Piala Malaysia bukan disebabkan tiga mata percuma yang diterima pasukan itu gara-gara Negeri Sembilan melanggar peraturan perlawanan.

Menurut Dollah, Selangor layak ke suku akhir kerana keupayaan pemain mencatatkan kemenangan demi kemenangan dengan yang terbaru menewaskan Kelantan 4-1 kelmarin.

Katanya, dia telah memberitahu pemain supaya tidak memikirkan soal tiga mata yang diberikan kepada Selangor, sebaliknya layak ke suku akhir di atas keupayaan sendiri.

''Saya tidak mahu bercakap kejayaan kita ini (ke suku akhir) atas dasar tiga mata yang diberikan kepada kami.

''Sebaliknya saya melihat keupayaan kami melangkah ke suku akhir adalah kerana usaha kami.

''Kami pernah bergelut dengan masalah prestasi di peringkat awal saingan, namun kini kami bangkit dengan kemenangan.

''Kami menyandarkan peluang kami ke suku akhir menerusi kemenangan dan bukannya tiga mata tersebut,'' katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Isnin lepas jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memotong tiga mata daripada Negeri Sembilan akibat menukar seorang pemain bawah 21 tahun dengan seorang pemain import ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 27 Jun lalu.

Peraturan FAM menetapkan seorang pemain Bawah 21 tahun mesti diturunkan sepanjang tempoh permainan 90 minit.

Dengan keputusan itu, Selangor diberi tiga mata dan naik ke tangga teratas dengan 19 mata, diikuti Kelantan (15) dan Terengganu (14).

Kedudukan itu sudah cukup untuk menjamin Selangor ke suku akhir tanpa perlu menunggu berakhirnya perlawanan pusingan kedua.

''Kita sudah layak ke suku akhir cuma sekarang ialah penentuan juara kumpulan.

''Saya menganggap kedudukan itu sebagai kejayaan para pemain yang memberikan aksi bersungguh-sungguh untuk menang di setiap perlawanan.

''Kita sudah kembali ke landasan kemenangan dan berharap prestasi ini akan diteruskan sehingga ke hujungan saingan,'' katanya.

Sementara itu, juara bertahan, Kedah yang kehilangan tokoh bola sepak Datuk Ahmad Basri Akil yang kembali ke Rahmatullah, kelmarin semakin mencerahkan peluang ke suku akhir selepas menang besar 5-1 ke atas Sabah kelmarin.

Kemenangan tersebut meneruskan kejayaan menewaskan Kuala Lumpur 4-1 sebelum ini walaupun kehilangan beberapa tonggak utama yang menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Terengganu pula berpeluang mengiringi Selangor ke suku akhir tetapi terpaksa menunggu sekurang-kurang satu perlawanan lagi selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Melaka di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, kelmarin.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4zlfaCyv4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan