Rabu, 29 November 2017

Dollah arah tingkat prestasi

ARKIB : 12/08/2008
KUALA LUMPUR - Selangor tidak akan melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia jika para pemainnya tidak meningkatkan prestasi ketika menentang Johor FC dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok, kata jurulatih mereka, Dollah Salleh.
Beliau meramalkan Selangor gagal ke final jika masih bermain pada tahap yang sama ketika menentang PDRM pada saingan suku akhir Sabtu lepas.
"Saya sudah menasihatkan semua pemain supaya meningkatkan prestasi permainan dari segi semua aspek kerana pada perlawanan itu (menentang PDRM) mereka bermain di luar kemampuan sebenar," katanya semalam.
Dollah yang pernah membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2005 berkata, anak didiknya boleh memberi corak permainan yang lebih menarik seterusnya mara ke final dan mungkin muncul juara.
"Ketika menentang Singapura dalam Piala Sultan Selangor Julai lepas, prestasi mereka di tahap terbaik tapi selepas rehat dua minggu, nampaknya menurun," katanya.
Dollah berkata, peluang Selangor dan Johor FC, yang berstatus kelab, adalah seimbang kerana kedua-dua pasukan mempunyai pemain kebangsaan.
"Kami akan memberikan yang terbaik, dan waspada ketika berkunjung ke tempat lawan nanti kerana pada perlawanan suku akhir Johor FC mengalahkan UPB-MyTEAM 5-1 di gelanggang sendiri walaupun tewas 1-3 di tempat lawan," katanya.
Dollah berkata, skuad Selangor kini bebas dari sebarang kecederaan serius kecuali Amirulhadi Zainal yang mengalami kecederaan buku lali, namun jika perlu, posisinya boleh diisi beberapa pemain lain.
Selangor yang juga merupakan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali mara ke separuh akhir walaupun seri 3-3 Sabtu lepas dengan PDRM.
- Bernama



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan