Sabtu, 18 November 2017

Mesti menang untuk juara - Dollah



ARKIB : 03/04/2008

KUALA LUMPUR - Pasukan Selangor hanya mengharapkan kemenangan dalam pertembungan dengan pasukan pendahulu liga, Kedah Sabtu ini, untuk mencapai cita-cita muncul juara Liga Super musim ini.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, walau apa cara sekali pun pasukan Selangor harus mengutip mata penuh pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam nanti bagi merapatkan jurang seterusnya memintas pasukan 'Kenari' itu.

''Hanya dengan mengutip mata penuh pada perlawanan Sabtu ini dapat memberi peluang kepada pasukan Selangor untuk mengurangkan perbezaan mata dan biarlah perlawanan terakhir Liga Super yang menentukan siapa yang bakal bergelar juara,'' kata Dollah ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, pasukan Kedah memang sukar untuk ditewaskan kerana memiliki ramai pemain yang berpengalaman dan berkualiti seperti Marlon Alex James, Hasmawi Hassan dan Muhd. Khyril Muhymeen tetapi anak didiknya perlu berfikiran positif dengan mengimbangi kehebatan pemain-pemain tersebut.

''Saya akur dengan kehebatan pasukan Kedah terutama pemain mereka yang berada di puncak prestasi tetapi pemain Selangor juga tidak kurang hebatnya apabila para pemain saya sekarang ini juga berada di puncak prestasi.

''Kehebatan ketiga-tiga pemain itu mungkin akan membawa masalah besar kepada pasukan Selangor pada perlawanan Sabtu ini tetapi saya tidak mahu meletakkan pemain khusus untuk mengawal mereka, sebaliknya pemain yang berada berdekatan dengan pemain itu perlu sentiasa bersedia,'' ujar Dollah.

Sementara itu, Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor yang berada di Hong Kong bagi menghadapi perlawanan Piala AFC enggan mengulas lanjut mengenai persediaan pasukannya yang akan berkunjung ke Shah Alam Sabtu ini.

''Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai peluang dan harapan bertemu dengan pasukan Selangor nanti kerana tumpuan sekarang terarah kepada perlawanan Piala AFC dan selepas itu barulah kita boleh melihat siapa yang akan diturunkan dan siapa yang cedera,'' kata Azraai ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pertembungan dua pasukan gergasi itu dijangkakan berlangsung dengan sengit seperti mana pertembungan Liverpool dan Arsenal yang beraksi pada minggu ini.

Jurang perbezaan lima mata antara kedua-dua pasukan gergasi itu bakal terjawab Sabtu ini sama ada 'Sang Kenari' akan terus terbang tinggi atau sebaliknya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4yr699boS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan