Ahad, 20 Oktober 2019

Dollah ucap selamat tinggal


MyMetroNode
 
Oleh Aziman Rosdi & Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my

Sepang: Ketua jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh mengesahkan peletakan jawatannya berkuatkuasa semalam selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jelasnya, tindakan berkenaan dilakukan demi rasa tanggungjawab tanpa mendapat tekanan mana-mana pihak.

“Ini keputusan muktamad dan saya sudah mengadakan perbincangan dengan (Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia) Datuk Hamidin Mohd Amin. Mereka menerimanya.

“Memang terkilan dengan pengakhiran begini namun mana-mana jurulatih tidak dapat menerima keputusan seperti ini. Peminat juga tidak boleh terima, jadi saya dengan hati terbuka melepaskan jawatan,” katanya sebaik tiba di KLIA malam tadi.

Dollah dilantik menggantikan Datuk K Rajagobal pada Jun tahun lalu namun persembahan longlai sepanjang tahun ini terutamanya berdepan lawan dari Timur Tengah mencetuskan persoalan walaupun berjaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Dollah berkata, beliau tidak menyalahkan pemain kerana ia asam garam bola sepak dan perlu menerimanya.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya sudah menjangka (kekalahan) namun tidak sehingga kekalahan besar. Saya jangka kita akan tewas dengan satu atau dua gol,” jelasnya.

Ditanya mengenai kesungguhan dan komitmen pemain, Dollah berkata, soalan itu sepatutnya dijawab oleh pemain sendiri.

Skuad negara akan meneruskan saingan dalam Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa nanti.

Prestasi Dollah, 51, bersama skuad kebangsaan tahun ini hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan antarabangsa selepas muncul naib juara Piala AFF tahun lalu.

Bekas pemain kebangsaan itu masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung tahun depan.

Dalam aksi di Stadium Mohammed Zayed itu, Dollah hanya melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Nasir Basharudin dalam kesebelasan utama berbanding ketika seri dengan Bangladesh 0-0 pada aksi persahabatan minggu lalu.

Harimau Malaya gagal membendung kelincahan pemain perancang Omar Abdulrahman serta penyerang Ahmed Khalil yang menyumbat empat gol dan gandingannya Ali Mabkhout melakukan hatrik untuk skuad kendalian Mahdi Ali menjadi peneraju kumpulan dengan enam mata.

Dollah pada sidang media di Abu Dhabi kelmarin berkata, pemainnya beraksi buruk sehinggakan gawang mereka tetap akan bolos jika menggunakan dua penjaga gol.

“Kami beri tiga, empat gol mudah kepada pasukan lawan. Saya tahu tak mudah untuk berdepan UAE tapi tak jangka kami kalah dengan 10 gol.

“Kalau saya letak dua penjaga gol sekalipun kami tidak boleh berbuat apa-apa, pemain pertahanan saya melakukan kesilapan mudah,” jelasnya.

Biarpun peluang Malaysia untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 masih terbuka, namun mereka mungkin terpaksa melalui jalan sukar dengan aksi play-off.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:21 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan