SETELAH 'dilepaskan' dengan hati yang berat oleh skuad Liga Perdana Melaka, nasib bekas pemain tengah kebangsaan, Dollah Salleh terus tidak ketentuan, REDY JEFFRY MOHAMAD RAMLI melaporkan.
Dollah, 33, yang dihubungi semalam, enggan mengulas
mengenai masa depannya menjelang Liga Perdana musim baru yang bermula Mac
depan.
Keenggannya memberikan apa-apa perkembangan mengenai
masa depannya itu, seolah-olah menggambarkan rasa kecewa dan terkilannya
terhadap senario yang dihadapinya sekarang.
Walaupun pernah menyarung jersi kebangsaan dan
kepakarannya diiktiraf, serta pernah membantu skuad Johor, Selangor dan Pahang
bersama-sama Zainal Abidin Hassan, dia kini seperti dilupakan.
Selepas kontraknya tidak disambung oleh pasukan
Melaka, Dollah dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk skuad Bujang Senang,
yang dikatakan ada berunding dengan pemain tersebut untuk ditawarkan bermain
untuk mereka.
Namun kenyataan jurulatih merangkap pengurus pasukan
itu, Alan Vest yang menafikan 'berminat' untuk mendapatkan khidmat pemain
tersebut ternyata mengecewakan Dollah.
Selepas itu, Dollah seperti menyepikan diri, membawa
diri tanpa sebarang khabar mengenai nasibnya menjelang Liga Perdana 'wajah
baru', Mac ini.
Ketika ditanya mengenai pasukan mana yang akan
diwakilinya musim depan, Dollah sekadar berseloroh akan mewakili pasukan
'Sungai Buloh F.C.'.
Ditanya juga, sama ada pasukan lain menawarkan tempat
dalam pasukan mereka untuk musim depan, Dollah hanya mengatakan bahawa buat
masa ini belum ada apa-apa perkembangan mengenainya.
Jelas sekali, Dollah yang menjadi wira pasukan Melaka
musim lalu, seperti dipersenda banyak pihak walaupun terbukti pada usia begitu,
dia masih bertenaga untuk beraksi cemerlang.
Musim lalu, Dollah muncul penjaring terbanyak pasukan
Melaka dan sering menjadi penyelamat pasukan yang dibimbing oleh Tajuddin Nor
itu dalam kancah persaingan liga.
Namun Melaka terpaksa melepaskan pemain berharga itu
atas alasan tidak mampu untuk membayar gaji yang dituntut oleh pemain
berkenaan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk
Mohamad Jais yang dihubungi di Melaka, semalam berkata, pasukan itu terpaksa
melepaskan Dollah kerana tidak mampu membayar gajinya mengikut tangga gaji
musim lalu.
''Kita akui musim ini kita mengalami masalah kewangan,
sebab itu kita terpaksa lepaskan Dollah kerana gajinya terlalu tinggi,''
katanya.
''Jika pasukan lain tidak berhasrat mengambilnya untuk
musim depan, saya berhasrat untuk mengambilnya semula, itu pun jika kewangan
mengizinkan,'' katanya lagi.
Untuk musim depan, skuad Melaka telah diswastakan dan
akan dikendalikan oleh Flashtasia Sdn. Bhd., yang antara lain akan menaja
perbelanjaan pasukan itu yang dianggarkan sebanyak RM2 juta.
Malah ketika ini, syaikat berkenaan sedang meneliti
butiran tunggakan gaji penuh pemain untuk bulan September dan Oktober manakala
separuh gaji bulan November dan Disember, yang masih belum dibayar.
Semalam, Sukan
Utusan melaporkan, syarikat
berkenaan dijangka membayar tunggakan gaji tersebut selewat-lewatnya sebelum
Hari Raya Aidilfitri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan