Khamis, 31 Oktober 2019

Dollah, Zainal terajui Shahzan Muda

ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Mereka yang turut pernah mewakili Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap tirainya pada Januari tahun depan.

Zainal yang sebelum ini pernah melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, semalam.

“Menerajui sebuah pasukan bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.

Teka-teki pasukan kendalian Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat tawaran Johor-Pasir Gudang.

Bagaimanapun kata Zainal: “Pada dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.”

Shahzan Muda sebelum ini dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala Malaysia.

Pencapaian Selangor di bawah Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 Oktober 2019

Dollah dilamar skuad Rusa

ARKIB : 26/02/1998
'JODOH' bekas ketua pasukan bola sepak Liga Perdana Melaka musim lalu, Dollah Salleh mungkin tidak berpanjangan apabila Negeri Sembilan bersedia melamar bekas pemain kebangsaan itu, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) apabila menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan yang difakskan ke pejabat MAFA petang semalam.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, dalam surat tersebut, persatuan dari negeri jiran itu bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Dollah.

''Pasukan Rusa itu mungkin berminat untuk mengambil bekas pemain kebangsaan itu untuk menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan musim ini,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.

Dollah dijangka bermain untuk pasukan Melaka pada musim ini apabila ia mengikat kontrak dengan Syarikat Flashtasia Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan Liga Perdana Melaka musim ini.

Bagaimanapun, MAFA terpaksa menggugurkan Syarikat Flashtasia apabila timbul pelbagai masalah antara kedua-dua pihak, sekali gus menyebabkan nasib Dollah terumbang-ambing sehingga kini.

Sementara itu, skuad Liga Perdana Melaka sudah menguji tiga pemain dari Afrika pada perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab dari Kuala Lumpur di Bangi, petang semalam.

Hahi berkata, ketiga-tiga pemain itu adalah Tebowei Edwards Dipreye, 29, dan John Onwudegwu, 24 (Nigeria) serta Belle Belle Yves, 29 dari Cameroon.

Menurutnya, mereka akan diuji kesesuaian serta kebolehan beraksi bersama pemain tempatan bagi merebut peluang menyertai skuad Kancil.

''Ketiga-tiga pemain itu mungkin diserapkan dalam pasukan Liga Perdana Melaka sekiranya dapat memuaskan hati pihak pengurusan,'' katanya.

Beliau turut menjelaskan yang MAFA akan mengadakan majlis menandatangani kontrak pemain Liga Perdana Melaka 1998, petang ini.

Sebelum ini hampir semua pemain yang mengikuti latihan intensif termasuk Dollah Salleh dan bekas ketua pasukan Selangor, Ismail Ibrahim hadir dalam temu duga.

Pemilihan pemain terpaksa dijalankan sendiri oleh MAFA berikutan kegagalan untuk menswastakan skuad berkenaan dengan sebuah syarikat dari Johor Bahru.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbfdSwN9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 Oktober 2019

Tok Gajah bangga rekod bersih

MyMetroArena
 
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
BIARPUN bukan penamat yang baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Dollah Salleh tetap berbangga kerana skuad Pahang mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Darul Makmur.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, rekod bersih itu diharap menjadikan skuad Pahang lebih bagus dan padu untuk menghadapi saingan Liga M musim depan.

"Ia bukan penamat yang baik dalam saingan Liga M khususnya Piala Malaysia tapi Pahang tidak tewas sepanjang perlawanan di Kuantan.

"Musim ini, rekod kita bersih iaitu tanpa kalah sekali gus ia sebagai bekalan semangat untuk menghadapi saingan Liga M musim depan.

"Memang Pahang gagal ke final Piala Malaysia tetapi kita seri 5-5 berdepan Kedah pada aksi separuh akhir kedua," katanya.

Pada aksi separuh akhir Piala Malaysia, misi Pahang ke pentas final Piala Malaysia berakhir selepas seri 8-8 menerusi agregat berdepan Kedah.

Biarpun seri 5-5 pada separuh akhir kedua, kelebihan jaringan mengesahkan skuad Helang Merah mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) ke pentas final.

Untuk rekod saingan Liga M musim ini, skuad Tok Gajah muncul selaku naib juara Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala FA.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 1:01 PM


Isnin, 28 Oktober 2019

Bukan rezeki Pahang: Dollah

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 27 Oktober 2019
 
Pergerakan pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh dikawal rapi benteng pertahanan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - Foto Pahang FA

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui sedikit kecewa apabila skuad kendaliannya itu gagal mengesahkan slot ke pentas final Piala Malaysia musim ini setelah terikat 5-5 ke atas Kedah dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Keputusan seri dengan agregat 8-8 itu menyaksikan Kedah berjaya meneruskan saingan ke pentas final Piala Malaysia selepas berjaya memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan sekali gus memadamkan bekalan tiga gol yang dibawa Pahang pada perlawanan itu.

Dollah mengakui para pemainnya telah memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu cuma mereka masih gagal mengatasi kelemahan dalam mengatasi jaringan yang di lakukan oleh lawan menerusi 'set piece'.

"Inilah sebenarnya bola sepak, walaupun kita telah memberikan tumpuan terhadap 'set piece' tetapi benda yang sama juga berlaku dan kita juga gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Mungkin aksi kedua ini bukan rezeki Pahang. Saya tengok pemain berjaya mencipta kebangkitan setelah ketinggalan dan mampu mendahului kedudukan, namun kita terpaksa menerima pada apabila banyak memberi peluang kepada Kedah untuk menjaringkan gol menerusi set piece," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu turut berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan para pemainnya dan menyifatkan mereka tidak tewas pada pertemuan itu cuma mereka terpaksa akur dengan kelebihan jaringan yang dimiliki Kedah di gelanggang lawan.

"Apa pun tahniah buat Kedah, dan saya juga bangga apabila kita juga masih mengekalkan rekod terbaik di gelanggang sendiri tanpa sebarang kekalahan musim ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/54269/BERITA/Sukan/Bukan-rezeki-Pahang-Dollah
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ahad, 27 Oktober 2019

Pahang serba tak menjadi


MyMetroArena
 
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KEKECEWAAN tidak dapat disembunyikan oleh pengendali Pahang, Dollah Salleh selepas skuadnya gagal melangkah ke final Piala Malaysia musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, biarpun skuad Tok Gajah seri 8-8 menerusi agregat, faktor kelebihan jaringan di tempat lawan menyaksikan Kedah mengisi slot berkenaan.

"Inilah bola sepak, sepatutnya kita ambil peluang apabila bermain di tempat sendiri tetapi segalanya tidak menjadi dan ia kerugian yang besar buat pasukan.

"Aksi separuh akhir kedua bukan rezeki Pahang dan kesilapan berulang iaitu membenarkan lawan menjaringkan gol menerusi ‘set-piece’ menyebabkan kita menerima padah.

"Sudah banyak kali saya nasihatkan kepada pemain terutama sepanjang latihan untuk lebih fokus menerusi ‘set-piece’ oleh lawan tetapi ia tetap berlaku," katanya.

Begitupun, Dollah tetap berbangga dengan komitmen anak buahnya yang berusaha dan bangkit selepas ketinggalan menerusi gol pendahuluan Kedah.

"Bagi saya, pemain sudah memberikan yang terbaik dan kegagalan meraih kejuaraan musim ini memang mengecewakan," katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 11:29 AM

Sabtu, 26 Oktober 2019

'Tunggu FAM, PDRM bincang'


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
DOLLAH Salleh mengakui beliau masih menunggu keputusan rasmi mengenai status sebenarnya selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat.

Bekas jurulatih Pahang dan Selangor itu memberitahu, beliau dipilih oleh FAM sebagai pengganti kepada Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak pada Disember lalu, telah bersedia untuk memberikan fokus kepada tugasannya terbaharunya.

Begitupun, Dollah tidak dapat memberikan jawapan terperinci sebagaimana beliau sendiri mengakui pening menyaksikan situasinya biarpun telah bersedia untuk membimbing skuad kebangsaan.

“Ikut kiri salah. Ikut kanan pun salah. Mungkin itulah nasib saya buat masa ini.

“Saya tidak boleh berikan jawapan lebih tepat kerana saya sendiri masih menunggu kata putus dari FAM dan PDRM.

“FAM tengah berusaha bersama PDRM dan FAM kena buat sesuatu kerana mereka telah menarik saya pada waktu ini.

“Ini kerana saya masih ada baki kontrak bersama PDRM dan seperti yang saya katakan, FAM akan mencari jalan yang terbaik untuk mencari penyelesaian positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sabtu lalu, Dollah telah dipilih sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya selepas FAM mempertaruhkan kredibiliti Dollah sebagai salah seorang jurulatih tempatan yang berjaya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah mengubah pendirian untuk melantik jurulatih tempat sebagai pengendali baharu Harimau Malaya.

Pemilihan Dollah berjaya mengetepikan calon-calon import yang turut dikatakan berminat dengan jurulatih kebangsaan, antaranya, Gert Engels, lan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy.

Dalam perkembangan sama, Dollah menyifatkan beliau telah bersedia untuk memberikan perhatian kepada skuad kebangsaan dengan melepaskan skuad Sang Saka Biru yang bakal beraksi dalam Piala Malaysia bermula 12 Ogos depan.

“Saya tidak boleh memimpin dua pasukan dalam satu masa yang sama. Saya percaya FAM dan PDRM akan membuat satu keputusan yang lebih baik.

“Jika saya dah mendapat pengesahan secara rasmi, saya hanya fokus satu pasukan sahaja,” katanya.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 2.7.2014


Khamis, 24 Oktober 2019

Dilema Dollah pilih kesebelasan Tok Gajah


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

DOLLAH Salleh berada dalam dilema untuk menyenaraikan kesebelasan utama skuad Pahang berdepan Kedah menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, kembalinya empat tonggak yang sebelum ini tersisih akibat kecederaan menyukarkannya membuat pilihan.

"Di sebalik berita gembira sebaik empat pemain sudah kembali berlatih bersama pasukan, ia turut memerlukan saya membuat keputusan tepat dalam menentukan kesebelasan pemain Sabtu ini.

"Ketika ini semua pemain begitu bersemangat dan mempamerkan komitmen tinggi untuk bermain dan membantu Pahang melangkah ke final.

"Kita dapat lihat persembahan cemerlang seperti dipamerkan Wan Zaharulnizan Wan Zakaria, Saddil Ramdani dan beberapa pemain lain berada pada prestasi terbaik.

"Dalam situasi ini, ia membuatkan saya berada dalam dilema memastikan pilihan dibuat adalah tepat untuk menafikan Kedah daripada beroleh kemenangan," katanya.

Empat tonggak pasukan sebelum ini dihimpit masalah kecederaan adalah Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Faisal Halim dan Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Tanpa mereka pada separuh akhir pertama di Alor Setar 19 Oktober lalu, skuad Tok Gajah mencatat keputusan seri 3-3 berdepan Helang Merah.

Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, pemain yang bakal menggalas tugas itu diharap mampu memikul tanggungjawab diberikan.

Katanya, mereka yang disenaraikan nanti perlu memberikan komitmen tinggi untuk kembali membawa Pahang ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya pada 2014.

"Saya percaya dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan dibantu sokongan padu peminat, misi ke final akan menjadi kenyataan," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:39 PM

Rabu, 23 Oktober 2019

Hanya yang terbaik dipilih - Dollah


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

JURULATIH skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh (gambar) akan pastikan skuad kendaliannya betul-betul berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi cabaran pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadualkan berlangsung di Singapura dan Vietnam pada November depan.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 29 pelatih yang bakal menjalani latihan pusat bermula 4 September sehingga 12 Oktober depan.

Selain itu, FAM juga telah mengumumkan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa buat skuad Harimau Malaya iaitu menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 14 September depan.

Baki dua perlawanan melibatkan aksi menentang Kemboja pada 20 September dan Jordan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober depan.

Mengulas mengenai senarai tersebut, Dollah mengakui berdepan tugasan sukar dalam misi membentuk satu skuad yang mantap untuk mengharungi Piala AFF Suzuki 2014 nanti.

“Kami memanggil 29 pemain dalam usaha memilih pemain-pemain yang terbaik.

“Saya tidak boleh buat keputusan drastik untuk mendaftar 22 pemain yang akan beraksi di Piala AFF Suzuki nanti dan sebab itulah saya memanggil ramai pemain untuk menyertai latihan pusat kali ini.

“Saya mahu tengok persembahan mereka. Saya akan pemain yang betul-betul bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad negara nanti.

“Pemain yang dipilih menyertai latihan pusat ini adalah kelompok pemain terbaik buat masa kini. Kita mahu menentukan pemain-pemain ini betul-betul bersedia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan lain, Dollah menganggap skuad negara mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lawan dalam aksi Piala AFF Suzuki nanti.

“Sejujurnya, bagi saya keupayaan Thailand, Singapura mahupun Indonesia hampir sama dengan pasukan kebangsaan.

“Pada pendapat saya, persiapan pasukan memainkan peranan penting. Jadi, saya mahu fokus kepada persiapan skuad negara sebelum memikirkan Piala AFF Suzuki 2014,” katanya
Kosmo online-30.8.14


Ahad, 20 Oktober 2019

Dollah tak kisah


MyMetroNode
 
Daripada Aziman Rosdi di Singapura
aziman@hmetro.com.my

Kontroversi luar padang terus menghimpit skuad Harimau Malaya namun pengendali Dollah Salleh mahu anak buahnya kekal fokus menghadapi misi hidup mati dalam kempen Piala AFF 2014 menentang musuh tradisi Singapura di Stadium Nasional Kallang hari ini.

Selepas penyerang Safee Sali 'berperang' dengan penyokong sendiri di media sosial kerana tidak tahan dengan kritikan penyokong selepas tewas 2-3 kepada Thailand, kini disiplin pemain negara pula menjadi perbualan.

Semuanya gara-gara gambar tersebar luas di media sosial yang memperlihatkan Safee sedang menghisap rokok ketika makan malam di sebuah restoran bersama beberapa rakan sepasukan kelmarin.

Namun Dollah tidak mahu mengulas lanjut mengenai insiden itu sebaliknya hanya mahu menumpukan misi menewaskan pasukan tuan rumah Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B untuk mara ke separuh akhir.

"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan mengenai hal ini. Saya hanya mahu fokus kepada persiapan pasukan saja," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Bishan, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:03 AM

Psikologi Singa


MyMetroNode
 
Daripada Aziman Rosdi di Singapura
aziman@hmetro.com.my

Perlawanan belum bermula namun Singapura sudah mula 'mengasak' Harimau Malaya apabila tidak membenarkan skuad kendalian Dollah Salleh menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Kallang menjelang aksi Kumpulan B Piala AFF esok.

Selepas dua perlawanan awal di atas padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar, Dollah amat berharap anak buahnya diberikan peluang menguji padang rumput asli di Stadium Nasional bagi sesi latihan rasmi.

Namun beliau terkilan apabila permintaan mereka tidak dipenuhi pihak tuan rumah yang hanya menyediakan Stadium Bishan sebagai lokasi latihan bermula semalam.

"Saya terkilan kerana sepatutnya kita diberi peluang berlatih di sana (Stadium Nasional). Berdasarkan maklumat saya terima daripada FAS (Persatuan Bolasepak Singapura) pihak Sports Hub tidak membenarkan kami menggunakan padang itu.

"Bagi saya ini tidak adil kerana Singapura ada kelebihan kerana sudah dua kali bermain di sana," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Bishan semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:03 AM


Dollah tagih anak buah gegar Syria


MyMetroNode
Kluang: Jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh berharap anak buahnya dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Syria pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan itu mampu menguji persediaan pasukan dalam menghadapi saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Singapura bermula hujung bulan ini.

“Saya amat berharap pada perlawanan persahabatan dengan Syria, kami akan dapat memberikan saingan walaupun kami tahu kedudukan pasukan Timur Tengah itu mencapai tahap Eropah,” katanya semalam.

Beliau berkata, persiapan dilakukan pasukan kebangsaan selama seminggu di Johor membuatkan pasukannya lebih berkemampuan untuk bersaing dengan Syria.

Mengenai latihan skuad Harimau Malaya di padang tiruan di Stadium Kluang, beliau berkata, ia sedikit sebanyak mampu menyediakan pemainnya untuk menyesuaikan diri dengan padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Menurutnya, kualiti padang tiruan di Stadium Kluang jauh lebih baik daripada Stadium Jalan Besar, namun pemain kebangsaan lebih berminat bermain di padang rumput asli. - BERNAMA
SUMBER=Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:13 AM

Dollah ucap selamat tinggal


MyMetroNode
 
Oleh Aziman Rosdi & Azlan Muhammad Zain
sukan@hmetro.com.my

Sepang: Ketua jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh mengesahkan peletakan jawatannya berkuatkuasa semalam selepas kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jelasnya, tindakan berkenaan dilakukan demi rasa tanggungjawab tanpa mendapat tekanan mana-mana pihak.

“Ini keputusan muktamad dan saya sudah mengadakan perbincangan dengan (Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia) Datuk Hamidin Mohd Amin. Mereka menerimanya.

“Memang terkilan dengan pengakhiran begini namun mana-mana jurulatih tidak dapat menerima keputusan seperti ini. Peminat juga tidak boleh terima, jadi saya dengan hati terbuka melepaskan jawatan,” katanya sebaik tiba di KLIA malam tadi.

Dollah dilantik menggantikan Datuk K Rajagobal pada Jun tahun lalu namun persembahan longlai sepanjang tahun ini terutamanya berdepan lawan dari Timur Tengah mencetuskan persoalan walaupun berjaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Dollah berkata, beliau tidak menyalahkan pemain kerana ia asam garam bola sepak dan perlu menerimanya.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya sudah menjangka (kekalahan) namun tidak sehingga kekalahan besar. Saya jangka kita akan tewas dengan satu atau dua gol,” jelasnya.

Ditanya mengenai kesungguhan dan komitmen pemain, Dollah berkata, soalan itu sepatutnya dijawab oleh pemain sendiri.

Skuad negara akan meneruskan saingan dalam Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 dengan bertemu Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa nanti.

Prestasi Dollah, 51, bersama skuad kebangsaan tahun ini hambar apabila gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan antarabangsa selepas muncul naib juara Piala AFF tahun lalu.

Bekas pemain kebangsaan itu masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung tahun depan.

Dalam aksi di Stadium Mohammed Zayed itu, Dollah hanya melakukan dua pertukaran pemain dengan memasukkan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Nasir Basharudin dalam kesebelasan utama berbanding ketika seri dengan Bangladesh 0-0 pada aksi persahabatan minggu lalu.

Harimau Malaya gagal membendung kelincahan pemain perancang Omar Abdulrahman serta penyerang Ahmed Khalil yang menyumbat empat gol dan gandingannya Ali Mabkhout melakukan hatrik untuk skuad kendalian Mahdi Ali menjadi peneraju kumpulan dengan enam mata.

Dollah pada sidang media di Abu Dhabi kelmarin berkata, pemainnya beraksi buruk sehinggakan gawang mereka tetap akan bolos jika menggunakan dua penjaga gol.

“Kami beri tiga, empat gol mudah kepada pasukan lawan. Saya tahu tak mudah untuk berdepan UAE tapi tak jangka kami kalah dengan 10 gol.

“Kalau saya letak dua penjaga gol sekalipun kami tidak boleh berbuat apa-apa, pemain pertahanan saya melakukan kesilapan mudah,” jelasnya.

Biarpun peluang Malaysia untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 masih terbuka, namun mereka mungkin terpaksa melalui jalan sukar dengan aksi play-off.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:21 AM

Khamis, 17 Oktober 2019

N. Sembilan puas hati dengan seri

SEKALIPUN hanya mampu seri 1-1 dengan Perak, Negeri Sembilan tetap berpuas hati dengan keputusan itu memandangkan lawan mereka adalah sebuah pasukan yang kuat dan kental, lapor SHAZALI HUSSAIN.
Walaupun beberapa kali berpeluang menjaringkan gol terutama pada separuh masa kedua, tetapi kehebatan pertahanan dan kecemerlangan penjaga gol Perak mengecewakan setiap percubaan penyerang skuad Rusa.
Namun begitu jurulatih M. Karathu berkata, faktor nasib turut tidak menyebelahi Negeri Sembilan walaupun mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
Katanya, pada separuh masa kedua Negeri Sembilan mendapat peluang, tetapi Scott Ollerenshaw, Effendi Julaihi, Dollah Salleh dan Gus Cerro gagal menyudahkan peluang itu dengan sempurna.
''Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain yang nyata mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan,'' ujarnya.
Menurut Karathu, beliau mengakui kekuatan barisan pertahanan Perak yang bermain dengan baik sehingga menyukarkan asakan-asakan pemain serangan Negeri Sembilan.
Mengulas tindakannya menggantikan Faizal Zainal dengan Dollah Salleh pada separuh masa kedua, Karathu berkata, beliau terpaksa mengeluarkan pemain itu untuk menguatkan barisan serangan.
''Selain itu Faizal masih belum dapat bermain dengan baik dan sering melakukan kesalahan serta mudah kehilangan bola,'' jelasnya

Dollah Salleh belum ada pasukan


SETELAH 'dilepaskan' dengan hati yang berat oleh skuad Liga Perdana Melaka, nasib bekas pemain tengah kebangsaan, Dollah Salleh terus tidak ketentuan, REDY JEFFRY MOHAMAD RAMLI melaporkan.

Dollah, 33, yang dihubungi semalam, enggan mengulas mengenai masa depannya menjelang Liga Perdana musim baru yang bermula Mac depan.
Keenggannya memberikan apa-apa perkembangan mengenai masa depannya itu, seolah-olah menggambarkan rasa kecewa dan terkilannya terhadap senario yang dihadapinya sekarang.
Walaupun pernah menyarung jersi kebangsaan dan kepakarannya diiktiraf, serta pernah membantu skuad Johor, Selangor dan Pahang bersama-sama Zainal Abidin Hassan, dia kini seperti dilupakan.
Selepas kontraknya tidak disambung oleh pasukan Melaka, Dollah dikaitkan dengan beberapa pasukan termasuk skuad Bujang Senang, yang dikatakan ada berunding dengan pemain tersebut untuk ditawarkan bermain untuk mereka.
Namun kenyataan jurulatih merangkap pengurus pasukan itu, Alan Vest yang menafikan 'berminat' untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut ternyata mengecewakan Dollah.
Selepas itu, Dollah seperti menyepikan diri, membawa diri tanpa sebarang khabar mengenai nasibnya menjelang Liga Perdana 'wajah baru', Mac ini.
Ketika ditanya mengenai pasukan mana yang akan diwakilinya musim depan, Dollah sekadar berseloroh akan mewakili pasukan 'Sungai Buloh F.C.'.
Ditanya juga, sama ada pasukan lain menawarkan tempat dalam pasukan mereka untuk musim depan, Dollah hanya mengatakan bahawa buat masa ini belum ada apa-apa perkembangan mengenainya.
Jelas sekali, Dollah yang menjadi wira pasukan Melaka musim lalu, seperti dipersenda banyak pihak walaupun terbukti pada usia begitu, dia masih bertenaga untuk beraksi cemerlang.
Musim lalu, Dollah muncul penjaring terbanyak pasukan Melaka dan sering menjadi penyelamat pasukan yang dibimbing oleh Tajuddin Nor itu dalam kancah persaingan liga.
Namun Melaka terpaksa melepaskan pemain berharga itu atas alasan tidak mampu untuk membayar gaji yang dituntut oleh pemain berkenaan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Mohamad Jais yang dihubungi di Melaka, semalam berkata, pasukan itu terpaksa melepaskan Dollah kerana tidak mampu membayar gajinya mengikut tangga gaji musim lalu.
''Kita akui musim ini kita mengalami masalah kewangan, sebab itu kita terpaksa lepaskan Dollah kerana gajinya terlalu tinggi,'' katanya.
''Jika pasukan lain tidak berhasrat mengambilnya untuk musim depan, saya berhasrat untuk mengambilnya semula, itu pun jika kewangan mengizinkan,'' katanya lagi.
Untuk musim depan, skuad Melaka telah diswastakan dan akan dikendalikan oleh Flashtasia Sdn. Bhd., yang antara lain akan menaja perbelanjaan pasukan itu yang dianggarkan sebanyak RM2 juta.
Malah ketika ini, syaikat berkenaan sedang meneliti butiran tunggakan gaji penuh pemain untuk bulan September dan Oktober manakala separuh gaji bulan November dan Disember, yang masih belum dibayar.
Semalam, Sukan Utusan melaporkan, syarikat berkenaan dijangka membayar tunggakan gaji tersebut selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Rabu, 16 Oktober 2019

Rekod lalu bukan jaminan - Dollah


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
BIARPUN rekod pertemuan lebih memihak kepada Pahang musim ini, ia bukan jaminan skuad itu mudah untuk menewaskan Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu ini.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, kejayaan menewaskan Kedah 1-0 di Kuantan dan seri 0-0 di Alor Setar dalam aksi Liga Super musim ini tidak boleh dijadikan ukuran.

"Memang Pahang memiliki kelebihan berdasarkan dua perlawanan itu tetapi saingan Piala Malaysia terutama di separuh akhir adalah pentas berbeza.

"Sebab itu saya mahu pemain mengekalkan prestasi seperti dipersembahkan pada peringkat kumpulan dan suku akhir jika mahu ke final.

"Saya harap pemain disenaraikan nanti dapat bermain dengan cemerlang dan membawa bekalan selesa apabila bertemu sekali lagi di Kuantan pada 26 Oktober ini," katanya.

Ditanya perkembangan dua pemain import, Safuwan Baharudin dan Saddil Ramdani, masing-masing mewakili negara Singapura dan Indonesia pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Dollah mengesahkan Safuwan akan kembali menyertai skuad itu, esok.

Bagaimanapun, katanya, sama ada Saddil sempat bersama Pahang hanya akan diketahui esok, bergantung kepada jadual penerbangan pemain tengah itu.

"Saya difahamkan penerbangan Saddil esok atau Jumaat ini memandangkan kali ini skuad Indonesia bermain di Bali.

Tapi, Safuwan sah bersama skuad Tok Gajah, esok.

"Tapi, saya percaya jika Saddil tidak dapat bersama pasukan di Alor Setar Sabtu ini, pemain lain boleh memikul tugas diberikan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 3:25 PM