MyMetroNode
Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Titus James Palani
yang kini berada di Perancis sudah boleh mula mengemas beg pakaiannya apabila
pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh bersedia untuk menguji tahap
permainannya sebelum boleh menyenaraikannya ke dalam skuad kebangsaan.
Dengan tugasan paling hampir
kelayakan Piala Dunia 2018 dan Asia 2019 yang akan bersambung pada awal bulan
depan, Dollah mahu melihat kelibat anak tempatan itu terlebih dahulu dalam
latihan pusat skuad negara yang dijangka bermula 23 Ogos ini di Wisma Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya.
Katanya, beliau sama sekali tidak
mengetahui kemampuan dan kebolehan pemain berusia 28 tahun itu dan berharap
dapat menilainya pada sesi latihan yang akan dijalankan kelak.
“Kita tiada halangan untuk
membenarkannya mencuba bersama skuad negara, tetapi dia (Titus) kena buktikan
dulu persembahannya kepada saya dan barisan kejurulatihan nanti.
“Saya sendiri tidak tahu dia bermain
macam mana serta statusnya dengan kelab diwakili sama ada beraksi di liga utama
atau bawahan, saya memang tidak tahu.
“Jadi, baik rasanya kita uji dia
dulu dan saya boleh beri dia peluang untuk buktikan kepada kami (barisan
kejurulatihan). Kita tidak boleh senang-senang ambil kerana sejujurnya kita tak
tahu mengenai kemampuannya.
“Macam saya katakan tadi, saya
pun ingin melihat aksinya sendiri di depan mata selepas itu baru kita akan buat
keputusan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, Arena Metro
mendedahkan tentang hasrat pemain tengah kelab Normandy FC di Ligue-3, Perancis
itu yang bersedia untuk diuji sekiranya khidmatnya ditagih skuad negara.
Dia yang pernah menggemparkan
peminat bola sepak tempatan apabila memecah rekod menimang bola paling banyak
pada usia muda, dihantar berkelana di luar negara dan menjadikan Perancis
sebagai destinasinya walaupun ketika itu usianya baru mencecah 13 tahun.
Berdasarkan pengalaman luasnya
selama 15 tahun di saingan Eropah, dia dilihat antara prospek terbaik buat
Dollah bagi menguatkan barisan pasukannya terutama sebagai persediaan sebelum
turun berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September depan.
“Kelayakan Piala Dunia dan Asia
akan bersambung bulan depan, walaupun namanya tiada dalam senarai, tetapi dia
boleh hadir untuk jalani latihan.
“Ingin saya tegaskan, biarpun dia
sudah lama beraksi di luar itu bukan jaminan tempatnya sudah ada, tetapi perlu
tunjukkan kepada kami yang dia lebih baik daripada pemain tempatan kerana itu
kita mahu mengujinya,” katanya.
Malaysia yang tewas 0-6 kepada
Palestin dan seri 1-1 bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan Jun lalu, akan
meneruskan saingan peringkat kumpulan A bertemu UAE sebelum diikuti pertemuan
menentang Arab Saudi (8 September).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:07 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan