ARKIB : 11/10/1998
NEGERI Sembilan mengukir kemenangan pertama dengan ledakan jaringan penyerang veteran, Dollah Salleh membantu menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dalam perlawanan Piala Malaysia kumpulan A di Stadium KLFA malam tadi.
Selepas mengharungi aksi membosankan, Dollah yang masuk menggantikan Affendi Julaihi tidak mensia-siakan peluang keemasan pada minit ke-68 untuk menolak masuk gol kemenangan Negeri Sembilan.
Ini adalah kemenangan pertama anak buah Karathu selepas tewas 1-4 kepada Pulau Pinang dan seri 0-0 dengan Kedah di Paroi, Selasa lepas.
Bagi Kuala Lumpur kemenangan mengejutkan 1-0 ke atas juara Perdana Satu, Pulau Pinang Selasa lepas tidak mampu memecah benteng pertahanan lawan biarpun memiliki beberapa peluang di depan gol.
Dalam tempoh 10 minit babak berlangsung tiada sebarang gerakan menarik daripada kedua-dua pasukan yang bermain terlalu berhati-hati.
Hanya Kuala Lumpur banyak mengatur gerakan cantik namun tindakan penyudah S. Paidiya Rau dan Mior Nor Shamsul kurang berkesan memecah kebuntuan jaringan gol.
Pelawat hanya mencemaskan pertahanan Kuala Lumpur menerusi rembatan liar Halim Jantan dari luar kotak penalti pada minit ke-28.
Pada minit ke-68, Negeri Sembilan menemui sentuhan jaringan apabila pemain veteran Dollah Salleh tidak mensia- siakan bola lantunan Zami Mohd Noor untuk melakukan sepakan gunting menerjah jaring.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4P64CZuPi © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan