Ahad, 29 Disember 2019

Dollah belum lega Selangor menang


ARKIB : 23/03/2006

KUALA LUMPUR - Dua kemenangan berturut-turut Selangor menewaskan Telekom Melaka 5-2 pada saingan Liga Super Sabtu lalu dan terbaru menang selesa 3-1 ke atas kelab dari Maldives, Hurriya SC dalam perlawanan Kumpulan F, Piala AFC kelmarin, belum menceriakan jurulatih Dollah Salleh.

Malah Dollah tidak berani meramalkan prestasi sebenar Selangor yang masih berada di tangga terbawah liga ketika baki lapan perlawanan liga bakal menentukan kedudukan sebenar skuad Merah Kuning.

Walau apapun buat jurulatih itu tiga gol menerusi Bambang Pamungkas, Ellie Aiboy dan Brian Fuentes sedikit melegakan kebangkitan semula jentera serangan yang akan menjadi sandaran pertemuan dengan Perlis, Sabtu ini.

``Masih terlalu awal untuk mengatakan Selangor sudah mula bangkit tetapi apa yang melegakan tiga import Bambang, Aiboy dan Fuentes sudah kembali menemui sentuhan jaringan.

``Begitu juga dengan kelibat ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan dan K. Sanbagamaran turut menampilkan corak permainan yang cukup meyakinkan,'' ujar Dollah ketika dihubungi di Maldives semalam.

Buat Dollah, pertemuan dengan Perlis di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, Selangor perlu menang untuk terus memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan faktor keletihan selepas mengharungi perlawanan di Maldives ketika pemain Selangor dijangka tiba di Kuala Lumpur lewat pagi ini, sedikit menjejaskan rentak.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4kpTOzAd9
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan