Jumaat, 6 Disember 2019

Dollah selamat


MyMetroNode

Kelana Jaya: Sehingga kini kedudukan Dollah Salleh (gambar) sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya masih kekal dengan kontraknya berakhir hujung tahun depan.

Namun ia dilihat bukan jaminan kepada pengendali yang membawa skuad negara muncul naib johan Piala AFF 2014 kerana situasi itu boleh berubah.

“Setakat ini Dollah kekal dengan kontraknya tamat hujung tahun depan. Manakala KPI dia adalah membawa skuad negara mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

“Bagaimanapun Presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan barisan exco FAM mempunyai budi bicara untuk membuat keputusan sebaliknya mengikut peraturan dan sebagainya,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tengku Abdullah kelmarin mahu punca sebenar kekalahan memalukan Harimau Malaya dikenal pasti dan menegaskan Dollah perlu bertanggungjawab atas kekalahan 0-6 kepada Palestin.

“(Tengku Abdullah) sudah bertitah kepada saya, Dollah akan menyiapkan laporan untuk dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal (dipengerusikan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad) sebelum dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan dan exco (dipengerusikan Tengku Abdullah).

“Bukan saja Harimau Malaya namun laporan skuad Sukan SEA kendalian Datuk Ong Kim Swee dan Bawah 22 Tahun bimbingan Razip Ismail akan dibincangkan,” tambahnya.

Hamidin turut mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pihak pengurusan Harimau Malaya tidak lagi menggunakan khidmat pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada masa depan.

“Saya rasakan beliau merujuk kepada kenyataan peminat di media sosial yang menyalahkan pemain Johor DT. FAM dan jurulatih sentiasa memilih pemain terbaik yang mempunyai keinginan mewakili negara.

“Setiap pemain yang dipanggil perlu hadir mewakili negara kecuali mengalami kecederaan,” katanya yang turut menjelaskan FAM tidak melihat kekalahan kepada Palestin sehingga ke tahap mengatur perlawanan.

Ditanya mengenai rombakan Harimau Malaya, Hamidin menyerahkannya kepada Dollah dan staf kejurulatihan menilai pemain dengan tidak menolak kemungkinan ia mungkin berlaku.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 8:19 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan