Ahad, 3 November 2019

NS ikat 4 pemain KL, Johor dan Kelantan


ARKIB : 26/12/1998
KESUNGGUHAN semi finalis Piala Malaysia, Negeri Sembilan mahu memburu gelaran nampak ghairah apabila berjaya menambat empat pemain bakal memperkuatkan cabaran musim 1999, lapor AMRAN MULUP.
Empat pemain yang sudah ditambat oleh Negeri Sembilan terdiri daripada tonggak pertahanan Perak, Khairul Anuar Baharom, penjaga gol Kuala Lumpur, Azmin Azram, penyerang Johor, Azmi Mohamad dan pemain tengah Kelantan, Tuan Kamree Tuan Yahya.
Di samping itu juga, Negeri Sembilan juga turut menyambar pemain Selangor, Mohd. Rizal Hassan dan bekas pelatih skuad bola sepak kebangsaan yang digugurkan, Affandy Lokman.
Menurut pegawai atasan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), kelima-lima pemain sudah memberikan persetujuan menyertai Negeri Sembilan.
''Pada pertemuan singkat sebelum ini, mereka sudah memberikan persetujuan dan rasanya tiada masalah yang akan timbul selepas ini, tidak seperti mana yang berlaku ketika cuba mengikat Azman Adnan awal tahun ini,'' kata sumber itu semalam.
Kata sumber itu lagi, beberapa pemain dari negeri lain yang pernah mendapat tunjuk ajar Irfan ketika di bawah bekas jurulatih kebangsaan dan Olimpik, Claude Le Roy turut melahirkan hasrat untuk menyertai skuad Rusa.
Perak yang sebelum ini memberi jaminan Khairul akan terus bersama skuad Seladang sebaliknya terpaksa menerima hakikat terpaksa kehilangan tonggak pertahanan itu menghadapi kempen musim depan.
Malah sewaktu pertemuan pengurus pasukan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan pemain Perak yang menjulang Piala Malaysia Edisi ke-32 di Ipoh kelmarin, hanya Khairul tidak menampilkan diri.
Azmi Mohamad pernah menyarung jersi Negeri Sembilan musim lepas tetapi kempen musim ini dia yang turut dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan tetapi diketepikan akibat kecederaan, kembali ke negeri asalnya, Johor.
Kontrak kesemua pemain itu dijangka berakhir 31 Disember ini.
Bukan lagi terlalu asing buat lima pemain itu bakal menyarung jersi Negeri Sembilan di bawah kendalian jurulatih Irfan Bakti yang dilantik menggantikan M. Karathu menghadapi kempen musim depan.
Kelima-lima pemain itu adalah juga anak didikan Irfan sewaktu mengemudi skuad bawah 23 tahun apabila dimahkotakan selaku juara Piala Kemerdekaan Bangladesh pada 1996.
Kehadiran lima pemain itu dijangka akan memantapkan skuad Negeri Sembilan bakal menggegar persaingan kempen Perdana Satu musim depan.
Sebelum ini, Negeri Sembilan mengekalkan beberapa pemain utama antaranya ialah Mohd Yazid, Zami Mohd Noor, Khairil Zainal, Faizal Zainal, B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Ahmad Shahrul Azhar, A. Ganeson, Affendi Julaihi dan Dollah Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan