Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
Khairy Jamaluddin (barisan kedua,
tiga dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil
Salleh (lima dari kiri), Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkeples Embong (dua dari
kiri) dan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff (empat dari kiri)
bergambar kenangan bersama pasukan Piala Thomas negara pada majlis panyampaian
Shakam dan berbuka puasa bersama atlet negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur
semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah sambil menaruh harapan
tinggi kepada Dollah Salleh atas pelantikannya sebagai ketua jurulatih skuad
bola sepak negara pada 28 Jun lalu.
Beliau turut bersetuju dengan
keputusan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai
pelantikan itu, sekali gus menolak khidmat jurulatih asing yang dianggapnya
tidak berbaloi dengan kemampuan pemain negara sedia ada.
"Kalau itulah keputusan FAM,
saya ucapkan tahniah buat Dollah dan menaruh harapan tinggi kepada beliau.
"Saya setuju FAM lantik
jurulatih tempatan dan tidak berapa setuju kalau cari jurulatih luar negara
sebab saya rasa tidak berbaloi dengan skuad kebangsaan yang sedia ada.
"Memadailah kita gunakan
khidmat jurulatih tempatan dan beliau akhirnya boleh buat persiapan rapi untuk
menghadapi Kejohanan AFF (November ini)," katanya selepas majlis
penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada skuad naib juara
badminton Piala Thomas di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Skuad Piala Thomas yang dibarisi
oleh Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Darren, Goh Soon Huat, Tan Boon
Heong, Hoon Thien How, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Lim Khim Wah dan Chang Peng
Soon menerima ganjaran Shakam sebanyak RM8,000 seorang atau keseluruhannya,
RM80,000.
Bagi barisan jurulatih, Rashid
Sidek, Tey Seu Bock, Pang Cheh Chang dan Jeremy Gan, mereka menikmati RM16,000
di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR) dan RM8,000 buat Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) di bawah Skim Kecemerlangan Pengurusan Sukan (Sikap).
"Walaupun naib juara, kita
tidak lupa untuk berikan insentif dengan harapan mereka dapat melakukan yang
lebih baik dalam Sukan Komanwel Glasgow (akhir bulan ini) dan Sukan Asia
Incheon (September)," kata Khairy.
Sementara itu, ketua jurulatih
negara, Rashid berkata, mereka akan cuba memenangi empat pingat emas Sukan
Komanwel untuk mengatasi sasaran dua emas oleh MSN iaitu menerusi perseorangan
lelaki (Chong Wei) dan berpasukan campuran.
"Memang saya tahu sukar
dapatkan empat emas malah MSN cuma sasar dua emas tetapi kalau boleh, nak lebih
daripada itu termasuk menerusi beregu lelaki dan beregu campuran,"
katanya.
Bagi Sukan Asia katanya,
persaingan di Incheon bakal mirip Piala Thomas dengan kehadiran Indonesia,
Jepun, China dan Korea Selatan.
"Saingan ini memang yang
pa-ling sengit dan macam main Piala Thomas. Sebelum ini (Guangzhou 2010) kita
juga kalah suku akhir berpasukan dan Chong Wei hanya dapat perak
individu," katanya.
RUJUKAN-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140702/su_02/FAM-bertindak-tepat-lantik-Dollah-bimbing-Harimau-Malaya#ixzz36Il7OqDv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan