KUALA LUMPUR - Mahu pulihkan
maruah yang tercalar! Itu harapan jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh yang
meletakkan sasaran mahu membawa Pahang kembali ke kancah saingan Liga Super
pada musim 2013.
Biarpun tidak dibarisi pemain
berstatus bintang, Dollah melaungkan amaran kepada pencabar Liga Perdana lain
bahawa skuad pada tahun ini antara yang terbaik dikendalikannya sepanjang
bersama Pahang tiga tahun lalu.
Tambah bekas pemain Pahang dan
Selangor pada era 90-an itu, lima pemain yang dibawa masuk dari pasukan Shahzan
Muda bakal menjadi senjata rahsia Pahang dalam usaha memburu kejuaraan Liga
Perdana pada musim ini.
"Selepas gagal
mempertahankan kedudukan dalam Liga Super musim lalu, saya mahu memulihkan
kembali maruah pasukan Pahang yang tercalar dengan menjadi antara pencabar
utama kejuaraan Liga Perdana.
"Walaupun tiada pemain
ternama dalam pasukan ini, tetapi dengan beberapa muka baru yang dibawa masuk
terutama lima bekas pemain Shahzan Muda, saya lihat skuad ini menampakkan
perubahan besar dan paling mantap sepanjang saya jadi jurulatih Pahang.
"Kehadiran lima pemain
Shahzan banyak memberikan peningkatan dalam pasukan yang saya sedang bentuk
sekarang dan kehebatan mereka terbukti dengan membawa Pahang melangkah ke Piala
Emas Raja-Raja.
"Selain mereka berlima, enam
lagi pemain turut membantu Pahang dalam saingan Piala Emas Raja-Raja yang
menjadikan 11 pemain semuanya, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Lima pemain Shahzan Muda yang
dimaksudkan ialah Mohd. Fauzi Roslan dan Mohd. Hafiz Kamal yang bermain pada
posisi penyerang selain Khairul Azwan Awang Long di bahagian pertahanan.
Manakala dua lagi pemain, Abdul
Wafiy Abdul Ghafar dan Mohd. Hazuan Mohd. Daud bermain di bahagian tengah.
Menurut Dollah, walaupun sedar
laluan berliku yang akan ditempuh pada musim ini dengan kehadiran 'Manchester
City' Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilimpahi ramai pemain
bintang selain satu lagi pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC, dia tidak
gentar.
"ATM melakukan persiapan
agak rapi dengan membawa masuk ramai pemain berstatus bintang tetapi saya yakin
kami mampu bagi saingan," katanya.
Bagi memperkuatkan cabaran
Pahang, Dollah berharap khidmat seorang lagi pemain import, Sergey Ivanov dari
Rusia bakal mendapat pelepasan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
walaupun sedar ia kelihatan tipis selepas FAM bertegas menunggu April depan
bagi pendaftaran kali kedua.
"Sebenarnya status Ivanov
terdapat sedikit kekeliruan kerana dia memang beraksi dalam Divisyen Dua
(Rusia) tetapi dipinjamkan ke Divisyen Tiga buat seketika.
"Saya optimis FAM akan
benarkan Ivanov bermain selepas meneliti rayuan yang diberikan Persatuan Bola
Sepak Pahang (PBNP), " katanya, yang akan membawa skuad Tok Gajah
berkampung ke Kuala Lumpur selama beberapa hari bagi menjalani latihan mulai
esok.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan