Khamis, 23 Mei 2019

Sultan Ahmad Shah tiada tolok bandingnya


DOLLAH SALLEH
22 Mei 2019 7:54 PM

KUALA LUMPUR 22 Mei - Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan dari 1984-1996 dan Pahang pada 1991-1996 berkata bola sepak tanah air kehilangan seorang pemimpin yang tiada tolok bandingannya.

“Kita kehilangan permata yang tidak boleh diganti. Saya dan rakan sepasukan, Zainal Abidin Hassan terutamanya mempunyai begitu banyak pengalaman bersama Tuanku. Baginda seorang individu yang baik,” katanya dengan nada sebak.


“Kadang-kadang Baginda akan datang jumpa kami (pemain) selepas perlawanan dan bergurau dengan kami,” kata bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Turut berkongsi kesedihan atas kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah adalah Ketua Jurulatih skuad Bawah-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, yang memuat naik gambar ketika Almarhum melawat pasukan Harimau Muda, di laman Instagram beliau.

“Tujuh tahun lalu selepas Harimau Muda tewas 1-5 kepada pasukan Hungary, Ferencvaros FC dalam aksi persahabatan, Presiden FAM ketika itu, Sultan Ahmad Shah datang melawat kami.

“Masih ingat kata-katanya - ‘Tidak mengapa tewas 5-1. Ini antara perlawanan dan pihak lawan yang kita perlu hadapi. Kita perlu terus lakukan perkara yang betul.’ Terima kasih untuk segalanya. RIP,” katanya.

Almarhum juga penerima anugerah “AFC Diamond of Asia 2011” sebelum dianugerah “FIFA Order of Merit” atas sumbangan sepanjang hayat baginda dalam arena bola sepak pada 2012.

Selain bola sepak, Almarhum turut menggemari polo, hoki, badminton dan golf, di mana kesungguhan baginda ketika bersama kontinjen negara pada Sukan Olimpik di Los Angeles, Seoul, Barcelona dan Atlanta adalah bukti kukuh baginda adalah sememangnya peminat sukan nombor satu negara. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan