PEMAIN Pahang,
Saddil Ramdani berjaya melepasi halangan dua pemain Perak dalam aksi Liga Super
di Stadium Darul Makmur, malam tadi. - AHMAD ZAKKI JILAN
20 Mei 2019
1:58 PM
KUANTAN, 20
Mei - Skuad Pahang terlalu bergantung kepada penyerang import, Dickson Nwakaeme
sehingga ketiadaannya menjejaskan peluang untuk mencipta kemenangan, akui
jurulatihnya Dollah Salleh.
Perkara itu
juga menurut Dollah adalah penyebab mengapa Tok Gajah sekadar seri 0-0 semasa
bertemu Perak pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, malam
tadi.
“Perkara ini
perlu dielakkan kerana tidak mencerminkan Pahang sebagai pasukan yang terdiri
daripada pemain profesional. Kita sering mengingatkan mereka, tetapi pemain
masih tetap mengharapkan Nwakaeme untuk mencipta jaringan.
“Mereka perlu
sedar kita bukan bermain seorang atau secara individu tetapi turun dengan kesebelasan
utama di atas padang...kita melakukan pelbagai cara untuk mengatasinya termasuk
meletakkan Mohamadou Sumareh di posisi penyerang,” katanya selepas perlawanan.
Dollah
bagaimanapun mengakui perubahan posisi Sumareh dalam perancangan pasukan itu kini
mula menampakkan hasil positif meskipun belum sepenuhnya.
“Sumareh juga
nampak sudah semakin selesa bermain di posisi penyerang cuma kita belum
mendapat gandingan serasi untuknya. Ia berbeza apabila Sumareh berganding
dengan Nwakaeme kerana persembahan mereka nampak lebih mantap,” katanya.
Sementara itu,
pengendali Perak Mehmed Durakovic mengakui persembahan The Boss Gaurus pada
perlawanan itu tidak begitu baik kerana beberapa pemain baharu mereka belum
cergas sepenuhnya untuk berdepan Pahang.
“Para pemain
kami beraksi dalam kelas berbeza dan struktur permainan kami adalah baik.
Walaupun seri, ia masih baik memandangkan kami mendapat satu mata di tempat
lawan,” katanya. –BERNAMA
SUMBER UTUSAN
ONLINE 20 Mei 2019 1:58 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan