Sabtu, 1 Disember 2018

Mental kena sentiasa fokus


28 NOVEMBER 2018
Mental kena sentiasa fokus
Foto: FB FAM
BEKAS jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berharap skuad Harimau Malaya yang akan turun berdepan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 Sabtu ini mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang pernah dibuat sehingga menafikan hasrat pasukan untuk menjulang kejuaraan.

Beliau berkata kesilapan dilakukan pasukan bimbingannya pada edisi 2014 lalu membenarkan Thailand menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit, semuanya kerana mereka gagal mengekalkan fokus apabila perlawanan memasuki 10 minit terakhir.


“Bukan mudah berdepan Thailand walaupun bermain di laman sendiri. Jadikan apa yang berlaku pada edisi 2014 sebagai pengajaran. Kita bermain dengan baik untuk mendahului 3-0 tetapi apabila kita buat kesilapan sikit sahaja, mereka hukum dan segalanya musnah,” katanya.

“Kali ini kita tidak boleh buat silap lagi...pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus usaha dan kekal fokus selama 90 minit permainan. Singapura yang saya kira antara pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik dalam kempen kali ini juga mudah dibolosi Thailand,” tambahnya.


Malaysia berpeluang melakar nama sebagai juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua pada edisi 2014 sebelum Thailand memusnahkan impian tersebut saat akhir dalam pertemuan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada tahun berkenaan, biarpun tewas 0-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, Harimau Malaya bangkit di laman sendiri mendahului 3-0 menerusi dua jaringan Mohd Safiq Rahim diikuti gol oleh Indra Putra Mahayuddin menjadikan kedudukan agregat 3-2 memihak Malaysia.

Namun berbaki 10 minit sebelum wisel penamat, pertahanan Malaysia tampak goyah dan skuad ‘Gajah Perang’ berjaya menyumbat dua gol sekali gus mendiamkan sorakan gemuruh lebih 80,000 penyokong setia skuad kebangsaan.

Keputusan 3-2 itu menyaksikan impian mengulangi pencapaian 2010 (muncul juara buat pertama kali) terkubur selepas skuad yang dibimbing Dollah Salleh pada ketika itu tewas 3-4 berdasarkan keputusan agregat.

Sementara itu, Dollah percaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memiliki barisan penyerang terbaik untuk mencipta kejutan pada perlawanan itu, namun berharap jentera tengah mampu memainkan peranan lebih kreatif dalam melancarkan serangan.

“Bahagian serangan kita kali ini memang ada ‘umphh’. Kita ada Sumareh, Zaquan, Mat Yo, Safawi, Akhyar serta Eki (Shahrel Fikri) dan bila kita lihat balik nama-nama ini kita boleh simpulkan bahagian serangan kita memiliki kualiti yang mantap.

“Cuma di bahagian tengah berdasarkan beberapa perlawanan kita mungkin boleh dipertingkatkan lagi. Apa yang saya dapat lihat kita tiada ‘penetration passing’ dilakukan pemain tengah kita,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dollah berkata, Malaysia perlu menang di Stadium Nasional Bukti Jalil dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol sebagai bekalan untuk di bawa ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua yang dijadual berlangsung pada 5 Disember.

Rekod dalam 10 pertemuan terdahulu berdepan Thailand menyaksikan Malaysia menang dua, seri dua diikuti tewas enam kali. - Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 28 NOVEMBER 2018

Isnin, 30 Julai 2018

DOLLAH Salleh.


Sabtu, 28 Julai 2018 | 1:21pm
 
DOLLAH Salleh.
Pahang turunkan pemain muda
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh bakal mempertaruhkan barisan kedua apabila bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Ahad ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, percaturan itu lebih kepada memastikan pemain utama yang cedera dan masih dalam proses pemulihan benar-benar cergas sebaik kempen Piala Malaysia bermula.

"Apa yang boleh saya katakan bahawa pasukan ini tidak akan menyenaraikan kesebelasan utama berdepan Kelantan bagi mengelakkan kecederaan.

"Saya percaya pemain yang bakal menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan itu dapat mempamer prestasi terbaik dan membuktikan mereka juga bagus.

"Oleh itu, saya mengharapkan keputusan positif dan ia juga persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bulan depan," katanya.

Difahamkan, pemain yang dijangka tidak disenaraikan adalah kapten pasukan Matthew Davies, Helmi Eliza Elias, Nor Azam Azih dan Afif Amiruddin.

Antara pemain yang bakal menggantikan posisi berkenaan adalah penjaga gol kedua, Remezey Che Ros serta pemain junior iaitu Shahrul Nizam Nadzir dan Muhammad Zuhair Aizat.

Ditanya peluang mengutip tiga mata bertemu The Red Warriors (TRW) malam esok, Dollah berkata, kemenangan tetap menjadi keutamaan biarpun tanpa kesebelasan utama.

"Kemenangan akan membantu pemain untuk berdepan cabaran besar pada kempen Piala Malaysia musim ini," kata bekas jurulatih kebangsaan itu.
SUMBER- BERITA HARIAN  ONLINE Sabtu, 28 Julai 2018 | 1:21pm

Khamis, 26 Julai 2018

Dollah pening


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
DOLLAH Salleh berdepan situasi sukar untuk memilih kesebelasan utama Pahang menjelang pertembungan getir menentang  Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Ketua jurulatih skuad Tok Gajah itu berkata, setakat ini dua pemain utama iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Tambah memeningkan bekas pemain kebangsaan itu apabila pemain tengah, Mohamadou Sumareh demam panas manakala Norshahrul Idlan Talaha pula hanya dapat bersama pasukan esok kerana isterinya keguguran.

"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan keputusan sama ada Davies, Safuwan, Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul) dapat beraksi atau tidak hanya diketahui esok.

“Bagaimanapun, saya tetap membawa mereka ke Larkin. Jika mereka tidak dapat beraksi, saya tiada pilihan lain, sebaliknya mengharapkan pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugas masing-masing," katanya hari ini.

Dolah berkata, berdasarkan keputusan seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama lalu, beliau berharap ia akan mendorong skuad itu untuk mempamerkan prestasi yang terbaik di Larkin sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Malah, beliau menegaskan peluang untuk menewaskan JDT sekali lagi di suku akhir trofi berprestij itu tetap ada walaupun skuad Tok Gajah berdepan situasi sukar termasuk kecederaan tetapi ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemain.

"Saya kini mengharapkan keajaiban sebelum bertemu JDT untuk memastikan Pahang layak ke separuh akhir," katanya.

SUMER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 7:04 PM

Dollah enggan tanggung risiko


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KUANTAN: Biarpun masih berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu menanggung risiko menyenaraikan kesebelasan utama apabila bertemu Kelantan, Ahad ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau rela mengorbankan misi berkenaan bagi memastikan pemain utama pulih daripada kecederaan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang berlangsung bulan hadapan.

“Saya bimbang apabila menurunkan kesebelasan utama bertemu Kelantan Ahad ini, saya perlu menanggung risiko tinggi jika ada pemain mengalami kecederaan dan perlu berehat panjang.

“Atas sebab itu, saya tidak kecewa jika Pahang gagal menamatkan saingan. “Oleh itu, saya akan pastikan pemain yang cedera tidak akan disenaraikan menentang Kelantan dan mengharapkan pemain mengisi kekosongan itu dapat memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.


Ketika ini, pemain yang mengalami kecederaan adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Patrick Cruz dan Afif Amiruddin.

Ketiga-ketiganya tidak disenaraikan ketika Pahang menewaskan PKNS FC 1-0 Sabtu lalu, bagi memastikan kecederaan mereka sembuh dan kembali memperkasakan skuad Tok Gajah pada saingan Piala Malaysia.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan barisan pemain muda bertemu Kelantan dengan mengharapkan keputusan positif diraih.

“Setakat ini, mereka yang mempamerkan kesungguhan dan semangat tinggi dalam latihan akan disenaraikan untuk membuktikan mereka juga layak berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Dollah turut memberi pendedahan kepada pemain muda seperti Shahrul Nizam Nadzir dan Muhammad Zuhair Aizat untuk memperkasakan jentera tengah pasukan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:11 PM


Selasa, 24 Julai 2018

Helmi sanjung jasa Dollah


SUKAN»Bola
Selasa, 24 Julai 2018 | 2:24pm
 
PENJAGA gol Pahang, Helmi Eliza Elias. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmi sanjung jasa Dollah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias berterima kasih kepada Dollah Salleh yang percaya dengan kemampuannya mengawal benteng terakhir skuad itu musim ini.

Helmi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan berkata, kepercayaan yang diberikan jurulatih Tok Gajah itu memberi motivasi untuknya beraksi pada tahap terbaik.

"Bagi saya, beliau bukan saja sebagai jurulatih, tapi ayah dan kawan yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk beraksi hingga kembali berada pada prestasi terbaik.

"Apabila saya diberi peluang untuk mengawal gawang pasukan musim ini, sebagai pemain berpengalaman, saya memberikan segalanya.

"Saya bersyukur kepercayaan itu dibalas dengan pencapaian menjuarai Piala FA musim ini dan sedia melaksanakan tanggungjawab pada kempen Piala Malaysia nanti," katanya.

Ditanya sama ada bersedia jika dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan, Helmi tidak akan menolaknya kerana kali terakhir mewakili negara pada 2008.

"Dengan pengalaman yang ada biarpun kali terakhir menyarung jersi negara pada kejohanan AFF di Thailand 2008, saya sedia kembali jika diberi kepercayaan," kata pemain berumur 35 tahun itu.

Musim ini, Helmi yang juga bekas penjaga gol Kedah menjadi taruhan utama Dollah untuk mengawal gawang skuad Tok Gajah.

Helmi menyertai skuad Tok Gajah pada 2016 dan memulakan kerjaya bersama Kedah dari 2002 hingga 2012, diikuti Felda United FC (2013), Polis Diraja Malaysia (2014) dan Negeri Sembilan (2015).
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 24 Julai 2018 | 2:24pm

Isnin, 23 Julai 2018

Dollah enggan tanggung risiko


Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KUANTAN: Biarpun masih berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim ini, pengendali Pahang, Dollah Salleh tidak mahu menanggung risiko menyenaraikan kesebelasan utama apabila bertemu Kelantan, Ahad ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau rela mengorbankan misi berkenaan bagi memastikan pemain utama pulih daripada kecederaan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang berlangsung bulan hadapan.

“Saya bimbang apabila menurunkan kesebelasan utama bertemu Kelantan Ahad ini, saya perlu menanggung risiko tinggi jika ada pemain mengalami kecederaan dan perlu berehat panjang.

“Atas sebab itu, saya tidak kecewa jika Pahang gagal menamatkan saingan. “Oleh itu, saya akan pastikan pemain yang cedera tidak akan disenaraikan menentang Kelantan dan mengharapkan pemain mengisi kekosongan itu dapat memberikan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

Ketika ini, pemain yang mengalami kecederaan adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Patrick Cruz dan Afif Amiruddin.

Ketiga-ketiganya tidak disenaraikan ketika Pahang menewaskan PKNS FC 1-0 Sabtu lalu, bagi memastikan kecederaan mereka sembuh dan kembali memperkasakan skuad Tok Gajah pada saingan Piala Malaysia.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan barisan pemain muda bertemu Kelantan dengan mengharapkan keputusan positif diraih.

“Setakat ini, mereka yang mempamerkan kesungguhan dan semangat tinggi dalam latihan akan disenaraikan untuk membuktikan mereka juga layak berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Dollah turut memberi pendedahan kepada pemain muda seperti Shahrul Nizam Nadzir dan Muhammad Zuhair Aizat untuk memperkasakan jentera tengah pasukan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:11 PM

Khamis, 19 Julai 2018

Pahang tetap intai tangga kedua


SUKAN»Bola
Khamis, 19 Julai 2018 | 12:28pm
 
DOLLAH Saleh. - Foto Owee Ah Chun
Pahang tetap intai tangga kedua
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Terikat 2-2 dengan Melaka United malam tadi tidak menutup impian Pahang untuk mengakhiri kempen Liga Super di tangga kedua musim ini.

Malah, ketua jurulatihnya, Dollah Saleh jelas tidak cemas apabila pasukannya yang sebelum ini menghuni tangga ketiga tergelincir satu anak tangga selepas mengumpul 31 mata, manakala PKNS mengambil alih tempat Pahang dengan 32 mata hasil kejayaan mereka mengatasi PKNP 1-0 malam tadi.

Bagi Dollah, peluang Pahang meraih tangga kedua tetap terbuka kerana masih berbaki dua perlawanan walaupun Perak kini kelihatan selesa untuk meraih kedudukan itu.

"Justeru, saya berharap pemain hanya perlu fokus bagi aksi berdepan PKNS di gelanggang sendiri Sabtu ini untuk menambah tiga mata, sekali gus memintas mereka yang hanya berbeza satu mata," katanya.

Pahang akan bertemu Kelantan pada aksi terakhir liga musim ini 29 Julai depan.

Mengulas aksi berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat, Dollah berkata, pemainnya berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan, namun kelekaan selepas menjaringkan gol pertama membolehkan lawan menyamakan kedudukan dan mendahului 2-1 menerusi serangan balas pantas.

"Apa pun saya tetap berpuas hati selepas mereka menyamakan kedudukan dan terikat 2-2 dalam perlawanan itu, malah jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan sudah pasti kami mampu membawa pulang tiga mata."

Gol Pahang dalam perlawanan itu dihasilkan menerusi Issey Nakajima Farran (m-8) dan Austin Amutu (m-45), manakala tuan rumah menerusi R Gopinathan (m-15) dan Yahor Zubovich (m-24).
SUMBER- BH ONLINE  Khamis, 19 Julai 2018 | 12:28pm

Ahad, 15 Julai 2018

Mat Yo buat Dollah tersenyum


Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my
 
IPOH: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mampu tersenyum lebar kerana penyerangnya Norshahrul Idlan Talaha sudah mendapat kembali rentak sejak kebelakangan ini.

Pemain kelahiran Terengganu yang lebih dikenali sebagai Mat Yo sebelum ini tenggelam dan hampir dilupakan peminat tempatan tetapi kini mula menyerlahkan aksi bertenaga.

"Saya gembira untuk Mat Yo apabila sudah mendapat kembali sentuhannya sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini," kata Dollah.

Pemain itu yang tampak lebih cergas dan memiliki susuk tubuh lebih kecil berbanding sebelum ini menunjukkan kehebatannya dengan menyumbang gol pembukaan Pahang ketika seri 1-1 dengan Perak, malam tadi.

Malah Mat Yo hampir meledak gol kemenangan Tok Gajah pada minit ke-83 tetapi rembatannya dari sudut sukar terkena tiang selepas menggelecek benteng Perak termasuk penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Menurut Dollah, kata-kata nasihat dan perangsang diberikannya kepada bekas penyerang kebangsaan itu berjaya mengembalikan keyakinan Mat Yo.

"Dia bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan diri dan keupayaannya. Kerja kerasnya nyata berbaloi dan saya berharap dia dapat mengekalkan persembahan cemerlangnya ini," katanya. Dollah berkata, penjaga gol, Helmi Eliza Elias juga menunjukkan keyakinan diri tinggi. Menurutnya, setakat ini dia belum dapat menurunkan kesebelasan utama kerana pemain seperti Azmi Muslim, Faisal Rosli dan Patrick Cruz masih mengalami kecederaan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 5:55 PM

Jumaat, 6 Julai 2018

Dollah tabik Tok Gajah


BERNAMA
IPOH: Disiplin tinggi ketika bertahan dan melancarkan serangan merupakan faktor utama yang membantu Pahang menewaskan PKNP FC 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata meskipun pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke gawang gol Pahang, namun anak buahnya kekal fokus selain berjaya menjaringkan dua gol.

“Pada awal permainan babak pertama kita nampak selesa dalam penguasaan bola daripada pihak lawan dan kita berjaya mendahului PKNP.

“Masuk separuh masa kedua, kita sekali lagi dapat jaringkan gol namun selepas itu pemain sedikit hilang fokus hingga PKNP berjaya rapatkan kedudukan,” katanya ketika ditemui pada siwASDdang media sejurus perlawanan.

Pada perlawanan berkenaan, Pahang berjaya menjaringkan dua gol hasil sumbangan Austine Amutu pada minit ke-32 dan Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit ke-75.

PKNP FC pula mendapat gol sagu hati pada minit ke-80, hasil sepakan penalti pemain import, Franklin Anzite selepas bola terkena tangan pertahanan Pahang dalam kotak penalti.

Dollah berkata beliau turut memuji aksi yang ditampilkan para pemain muda PKNP kerana berjaya mengimbangi corak permainan Pahang.

“PKNP nampak lebih tersusun, teratur dan nampak mereka menyerang cuma terlepas banyak peluang. Bagaimanapun, saya turut berbangga dengan pemain saya kerana berdisiplin dalam meraih kemenangan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim berkata, kegugupan selain terlalu menghormati Pahang antara punca kegagalan anak buahnya mencipta sejarah untuk pertama kali layak ke pentas final Piala FA.

Bagaimanapun beliau akur dengan keputusan tersebut selain berpuas hati dengan keseluruhan persembahan yang ditonjolkan anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 3:32 PM

Sabtu, 26 Mei 2018

Dollah lega dua pemain import pamer peningkatan


Dollah lega dua pemain import pamer peningkatan
26 Mei 2018 12:27 PM
 Issey Nakajima (kiri) berjaya menyumbang satu gol ketika Pahang menewaskan KL 4-0 pada perlawanan Li
Issey Nakajima (kiri) berjaya menyumbang satu gol ketika Pahang menewaskan KL 4-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.

KUANTAN - Kemenangan selesa 4-0 Pahang ke atas Kuala Lumpur pada saingan Liga Super semalam, akan meningkatkan motivasi dan tahap keyakinan pasukan terutama buat dua pemain import baharu pasukan itu.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, beliau gembira dengan persembahan Issey Farran Morgan Nakajima dan Amamchi Augustine Iwuji kerana berjaya menjaringkan gol meskipun sudah diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu.


"Persembahan dua pemain import baharu berbeza iaitu kesungguhan ketika latihan dan aksi sebenar yang dilihat tidak seberapa... tetapi kini mereka telah membuktikan keupayaan sebenar kepada rakan sepasukan," katanya pada sidang media di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi selepas perlawanan itu.

Meskipun mencatatkan kemenangan, Dollah mengakui beliau masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan yang ditunjukkan pasukan Tok Gajah dan berharap dapat ditingkatkan pada perlawanan seterusnya.

Beliau juga mengakui agak lega dengan perkembangan terbaharu itu setelah kehilangan tonggak utama, Patrick Dos Santos Cruz yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan malam tadi.

"Saya jangka Patrik Cruz tidak dapat diturunkan dalam tempoh dua atau tiga minggu dan mungkin dia kembali pulih selepas cuti hari raya Aidilfitri," katanya.

Sementara itu, Amamchi berterima kasih kepada Dollah dan rakan sepasukan yang tidak jemu memberi sokongan untuknya bermain cemerlang.

"Jurulatih sering memberi kata perangsang kepada saya untuk menghasilkan gol sebelum perlawanan bermula dan kini saya bersyukur dapat melaksanakan tugas diberikan.

"Keadaan di Pahang amat hebat dan saya mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang mesra. Penyokong juga sentiasa memberikan sokongan yang membuatkan saya mahu  beraksi lebih cemerlang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Fabio Joaquim Maciel Da Silva berkata anak buahnya tewas kepada Pahang kerana melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan mereka dihukum dengan keputusan itu.

"Pada separuh masa pertama, kita bermain dengan agak baik apabila mencipta beberapa peluang untuk menghasilkan gol.

"Namun kita mensia-siakan peluang itu dan membuat kesilapan sehingga membenarkan Pahang memperoleh empat gol...sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah situasi ini kerana kami bermain amat baik di tempat sendiri," katanya. - Bernama
SUMBER-KOSMO ONLINE 26 Mei 2018 12:27 PM

Dollah tabik Amutu, Nakajima


SUKAN»Bola
Sabtu, 26 Mei 2018 | 1:44pm
 
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Dollah tabik Amutu, Nakajima
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji Austin Amutu dan Issey Nakajima, masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu skuad itu membelasah Kuala Lumpur 4-0 malam tadi.

  Bekas pemain kebangsaan itu berkata, penampilan kedua mereka dalam saingan Liga Super menyaksikan kedua-dua pemain import itu memberi keputusan positif buat pasukan selepas tewas 0-2 kepada Kedah, 22 Mei lalu.

  "Saya gembira kerana Amutu dan Nakajima menjaringkan gol selepas mereka gagal memberi impak ketika tewas kepada Kedah. Tetapi, keputusan ini amat menggembirakan saya.

  "Walaupun mereka tidak beraksi seperti diharapkan, sekurang-kurangnya jaringan itu menambah lagi keyakinan mereka untuk memberi lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.

  Mengulas kemenangan besar ke atas Kuala Lumpur, beliau berkata, secara keseluruhannya, skuad kendaliannya itu belum mencapai prestasi terbaik.

  Namun, katanya, selepas merekodkan satu seri dan dua kekalahan dalam tiga perlawanan, tiga mata yang diraih itu mengembalikan keyakinan untuk terus memberi saingan kepada pasukan teratas liga.

  "Fokus utama adalah untuk meningkatkan kualiti permainan pada perlawanan selepas ini dan tidak lagi keciciran mata," katanya.

  Pada perlawanan itu, empat gol skuad Tok Gajah, masing-masing satu dijaringan Muslim Ahmad pada minit ketujuh, diikiti Safuwan Baharudin (m-41), Nakajima (m-52) dan Amutu (m-88).
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 26 Mei 2018 | 1:44pm

Rabu, 23 Mei 2018

Dollah kecewa trio Pahang buntu depan gol


SUKAN»Bola
Rabu, 23 Mei 2018 | 1:29pm
PEMAIN pertahanan Pahang, Mohd Faisal Mohd Rosli mengekang penyerang Kedah, Andik Vermansah (kiri) pada saingan Liga Super 2018 di di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto BERNAMA
Dollah kecewa trio Pahang buntu depan gol
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh kecewa denan jentera serangan baharunya 'tidak menjadi' dan 'lambat panas' selepas Skuad Tok Gajah tewas 0-2  kepada Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Malah jentera pertahanan Kedah berjaya mengawal barisan serangan Pahang sehingga pergerakan mereka terbatas dan kurang aksi penyudah.

"Malam ni kita 'tak menjadi' terutama di bahagian jentera serangan kerana apa yang diharapkan daripada Austin Amutu, Patrick Cruz dan Issey Nakajima nampaknya tidak memberi impak di bahagian itu.

"Saya nampak Amutu dan Issey pada perlawanan pertama malam ini ada kekurangan dari segi tahap kecergasan yang ketara.

"Apa yang mereka lakukan dalam latihan sebelum ini, mereka tak dapat lakukan seperti yang dirancang dalam perlawanan pada malam ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Dollah juga mengakui pemain sensasi, Mahamadou Sumareh yang tidak dapat beraksi pada malam tadi turut memberi kesan pada corak serangan Pahang pada kali ini.

"Memang jika kebiasaan ada Sumareh, corak perlawanan kita akan berbeza kerana dia akan bawa bola sampai ke kotak penalti dan ketiadaannya (Sumareh) ada kesan pada prestasi perlawanan pada malam ini tetapi saya tidak boleh bergantung pada dia sahaja.

"Impak kemasukan pemain baharu iaitu Amutu dan Nakajima sewaktu latihan nampak begitu 'menjadi' cuma pada malam ini mungkin perlawanan pertama dan kedua-dua pemain itu agak kurang dari segi tahap kecergasan dan pergerakan mereka juga dilihat agak terbatas," katanya.

Ujar Dollah untuk perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur nanti, beliau yakin kedua dua pemain akan tampil berbeza selain akan dapat keserasian dalam tempoh 90 minit permainan
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu, 23 Mei 2018 | 1:29pm

Isnin, 7 Mei 2018

Dollah akur sekadar seri

Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
Pengendali Pahang Dollah Salleh kecewa dengan prestasi dipersembahkan skuad itu selepas diikat Kedah 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan itu memadam misi Tok Gajah untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Pada perlawanan ini (malam tadi), segalanya serba tidak menjadi terutama pada separuh masa pertama kerana pemain terlalu mengikut rentak permainan lawan walaupun masih mampu menjaringkan dua gol,” kata Dollah.

"Apabila gagal beraksi dengan baik, kita banyak lakukan kesilapan ketika misi utama pasukan adalah meraih tiga mata untuk mengekori JDT.

"Pada separuh masa kedua pula, kita cuba untuk melakukan kebangkitan tetapi gol awal lawan pada minit ke-49 mengganggu rentak permainan pasukan."

Dollah berkata, pada baki 30 minit perlawanan, skuadnya berusaha untuk mendapatkan gol ketiga tetapi Kedah berjaya mempertahankan kubu mereka sehingga wisel penamat.

Katanya, jentera serangan yang diketuai Patrick Cruz bersama Mohamadou Sumareh juga tidak dapat bantuan daripada jentera tengah hingga memberi kesan terhadap prestasi pasukan.

"Tidak dinafikan bahawa untuk mengatasi Kedah yang memiliki barisan pemain berpengalaman bukannya senang kerana mereka konsisten sejak beberapa musim lalu.

"Tetapi, musim ini prestasi mereka yang agak terumbang-ambing, bagaimanapun dengan pengalaman yang dimiliki Kedah mampu mengutip satu mata.

"Bagi saya, keputusan seri ini lebih baik jika dinilai daripada segi prestasi, di mana pasukan tidak beraksi seperti yang dipersembahkan pada tiga perlawanan sebelum ini termasuk ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:36 PM

Ahad, 22 April 2018

DOLLAH diharap mampu ulangi kejayaan musim lalu

Pahang intai final Piala FA
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang optimis skuad kendalian Dollah Salleh mampu mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu selepas membenam pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 di suku akhir, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Suffian menegaskan pemain perlu mengekalkan komitmen dan semangat tidak mengenal erti putus asa biarpun berdepan pelbagai masalah terutama kecederaan seperti yang diperagakan ketika membaham Harimau Selatan di laman keramat mereka.  

Katanya, apa yang lebih penting skuad Tok Gajah dan tidak memandang rendah kemampuan PKNP FC yang akan ditemui di separuh akhir, 23 Jun nanti.

"Saya berterima kasih kepada semua pemain yang dapat melalui 90 minit perlawanan di Larkin dengan mempamerkan corak permainan yang mantap dan bertenaga. 

"Kejayaan ini membuktikan mereka mampu melakar kemenangan jika dapat beraksi dengan baik dan pada masa sama mengikut percaturan jurulatih. 

"Sebenarnya, tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan dan saya percaya kejayaan ini pasti menjadi tonik terbaik menghadapi separuh akhir menentang PKNP sekali gus mengulangi pencapaian mara ke final musim lalu," katanya.

Pada aksi suku akhir kedua Jumaat lalu, hatrik Patrick Cruz memastikan Pahang melangkah ke separuh akhir dan kemenangan itu juga melebur rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak 2014.

PKNP pula mara selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana, FELDA United FC 2-1 di Stadium Tun Razak, Jengka, untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus layak berdasarkan jaringan di gelanggang lawan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  Ahad, 22 April 2018 | 12:20pm

Sabtu, 21 April 2018

Pahang cari pengganti Forkey Doe

Shahrulanoor Ishak
19 April 2018 3:00 AM
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam saingan Piala FA bulan lalu.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan menggantikan Francis Forkey Doe dengan penyerang setara atau lebih baik menerusi jendela perpindahan yang akan dibuka pada Mei depan.

Ketika ini, Forkey Doe terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) ketika membantu Pahang menyingkirkan Kedah pada pu­singan ketiga Piala FA 2018 di Kuantan pada 17 Mac lalu.


“Saya pun ada rasa macam itu (mencari pengganti Forkey Doe). Tak dinafikan, ketiadaan Forkey Doe memang beri masalah kepada pasukan terutama semasa berada di depan pintu gol.

“Kalau perlu pengganti Forkey Doe, kita kena tunggu jendela perpindahan Mei nanti,” ujar Dollah mengulas perancangan pasukan itu selepas terikat tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Ketiadaan Forkey Doe jelas memberi masalah kepada skuad Tok Gajah untuk melancarkan serangan secara berkesan, sekali gus merencatkan usaha Pahang untuk mencipta peluang.

Corak serangan tanpa hantaran tepat daripada pemain import Liberia itu juga memberi kesulitan kepada penyerang kelahiran Brazil, Patrick Cruz untuk melakukan jaringan.

“Selain Forkey Doe, beberapa pemain lain juga ada masalah kecergasan dan ini menyukarkan kita untuk menyusun kesebelasan terbaik,” ujar Dollah.

Ketika aksi terikat tanpa jaringan dengan JDT di Kuantan pada 4 April lalu, Cruz serta pemain tengah, Nor Azam Azih masing-masing menghadapi masalah kecergasan akibat kecederaan kaki yang dialami sebelum ini.

Ia sekali gus meletakkan kawasan tengah skuad Tok Gajah berada dalam situasi kucar-kacir serta tidak tersusun terutama ketika melancarkan serangan dan semasa menghadapi asakan JDT pada aksi tersebut.

“Saya harap, pemain-pemain kembali cergas sepenuhnya dan mendapat keyakinan yang lebih baik untuk bermain pada suku akhir kedua Piala FA di Johor Bahru (esok),” tambah bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 19 April 2018 3:00 AM