MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Biarpun masih berpeluang
menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim ini, pengendali Pahang,
Dollah Salleh tidak mahu menanggung risiko menyenaraikan kesebelasan utama
apabila bertemu Kelantan, Ahad ini.
Bekas pemain kebangsaan itu
berkata, beliau rela mengorbankan misi berkenaan bagi memastikan pemain utama
pulih daripada kecederaan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang
berlangsung bulan hadapan.
“Saya bimbang apabila menurunkan
kesebelasan utama bertemu Kelantan Ahad ini, saya perlu menanggung risiko
tinggi jika ada pemain mengalami kecederaan dan perlu berehat panjang.
“Atas sebab itu, saya tidak
kecewa jika Pahang gagal menamatkan saingan. “Oleh itu, saya akan pastikan
pemain yang cedera tidak akan disenaraikan menentang Kelantan dan mengharapkan
pemain mengisi kekosongan itu dapat memberikan yang terbaik buat pasukan,”
katanya.
Ketika ini, pemain yang mengalami
kecederaan adalah kapten pasukan, Matthew Davies, Patrick Cruz dan Afif
Amiruddin.
Ketiga-ketiganya tidak
disenaraikan ketika Pahang menewaskan PKNS FC 1-0 Sabtu lalu, bagi memastikan
kecederaan mereka sembuh dan kembali memperkasakan skuad Tok Gajah pada saingan
Piala Malaysia.
Justeru, beliau tidak menolak
kemungkinan untuk menyenaraikan barisan pemain muda bertemu Kelantan dengan
mengharapkan keputusan positif diraih.
“Setakat ini, mereka yang
mempamerkan kesungguhan dan semangat tinggi dalam latihan akan disenaraikan
untuk membuktikan mereka juga layak berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
Dalam beberapa perlawanan sebelum
ini, Dollah turut memberi pendedahan kepada pemain muda seperti Shahrul Nizam
Nadzir dan Muhammad Zuhair Aizat untuk memperkasakan jentera tengah pasukan
itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 23 Julai 2018 @ 1:11 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan