Isnin, 7 Mei 2018

Dollah akur sekadar seri

Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
Pengendali Pahang Dollah Salleh kecewa dengan prestasi dipersembahkan skuad itu selepas diikat Kedah 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan itu memadam misi Tok Gajah untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Pada perlawanan ini (malam tadi), segalanya serba tidak menjadi terutama pada separuh masa pertama kerana pemain terlalu mengikut rentak permainan lawan walaupun masih mampu menjaringkan dua gol,” kata Dollah.

"Apabila gagal beraksi dengan baik, kita banyak lakukan kesilapan ketika misi utama pasukan adalah meraih tiga mata untuk mengekori JDT.

"Pada separuh masa kedua pula, kita cuba untuk melakukan kebangkitan tetapi gol awal lawan pada minit ke-49 mengganggu rentak permainan pasukan."

Dollah berkata, pada baki 30 minit perlawanan, skuadnya berusaha untuk mendapatkan gol ketiga tetapi Kedah berjaya mempertahankan kubu mereka sehingga wisel penamat.

Katanya, jentera serangan yang diketuai Patrick Cruz bersama Mohamadou Sumareh juga tidak dapat bantuan daripada jentera tengah hingga memberi kesan terhadap prestasi pasukan.

"Tidak dinafikan bahawa untuk mengatasi Kedah yang memiliki barisan pemain berpengalaman bukannya senang kerana mereka konsisten sejak beberapa musim lalu.

"Tetapi, musim ini prestasi mereka yang agak terumbang-ambing, bagaimanapun dengan pengalaman yang dimiliki Kedah mampu mengutip satu mata.

"Bagi saya, keputusan seri ini lebih baik jika dinilai daripada segi prestasi, di mana pasukan tidak beraksi seperti yang dipersembahkan pada tiga perlawanan sebelum ini termasuk ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1," katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 1:36 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan