28 NOVEMBER
2018
Foto: FB FAM
BEKAS
jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berharap skuad Harimau Malaya yang akan
turun berdepan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018
Sabtu ini mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang pernah dibuat
sehingga menafikan hasrat pasukan untuk menjulang kejuaraan.
Beliau berkata
kesilapan dilakukan pasukan bimbingannya pada edisi 2014 lalu membenarkan
Thailand menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit, semuanya kerana mereka
gagal mengekalkan fokus apabila perlawanan memasuki 10 minit terakhir.
“Bukan mudah
berdepan Thailand walaupun bermain di laman sendiri. Jadikan apa yang berlaku
pada edisi 2014 sebagai pengajaran. Kita bermain dengan baik untuk mendahului
3-0 tetapi apabila kita buat kesilapan sikit sahaja, mereka hukum dan segalanya
musnah,” katanya.
“Kali ini kita
tidak boleh buat silap lagi...pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus
usaha dan kekal fokus selama 90 minit permainan. Singapura yang saya kira
antara pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik dalam kempen kali ini
juga mudah dibolosi Thailand,” tambahnya.
Malaysia
berpeluang melakar nama sebagai juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua pada
edisi 2014 sebelum Thailand memusnahkan impian tersebut saat akhir dalam
pertemuan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada tahun berkenaan,
biarpun tewas 0-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala di
Bangkok, Harimau Malaya bangkit di laman sendiri mendahului 3-0 menerusi dua
jaringan Mohd Safiq Rahim diikuti gol oleh Indra Putra Mahayuddin menjadikan
kedudukan agregat 3-2 memihak Malaysia.
Namun berbaki
10 minit sebelum wisel penamat, pertahanan Malaysia tampak goyah dan skuad
‘Gajah Perang’ berjaya menyumbat dua gol sekali gus mendiamkan sorakan gemuruh
lebih 80,000 penyokong setia skuad kebangsaan.
Keputusan 3-2 itu
menyaksikan impian mengulangi pencapaian 2010 (muncul juara buat pertama kali)
terkubur selepas skuad yang dibimbing Dollah Salleh pada ketika itu tewas 3-4
berdasarkan keputusan agregat.
Sementara itu,
Dollah percaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe memiliki barisan penyerang terbaik
untuk mencipta kejutan pada perlawanan itu, namun berharap jentera tengah mampu
memainkan peranan lebih kreatif dalam melancarkan serangan.
“Bahagian
serangan kita kali ini memang ada ‘umphh’. Kita ada Sumareh, Zaquan, Mat Yo,
Safawi, Akhyar serta Eki (Shahrel Fikri) dan bila kita lihat balik nama-nama
ini kita boleh simpulkan bahagian serangan kita memiliki kualiti yang mantap.
“Cuma di
bahagian tengah berdasarkan beberapa perlawanan kita mungkin boleh
dipertingkatkan lagi. Apa yang saya dapat lihat kita tiada ‘penetration
passing’ dilakukan pemain tengah kita,” tambah beliau.
Dalam pada
itu, Dollah berkata, Malaysia perlu menang di Stadium Nasional Bukti Jalil
dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol sebagai bekalan untuk di bawa ke
Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua yang dijadual berlangsung pada 5
Disember.
Rekod dalam 10
pertemuan terdahulu berdepan Thailand menyaksikan Malaysia menang dua, seri dua
diikuti tewas enam kali. - Bernama
SUMBER-SINAR
HARIAN ONLINE 28 NOVEMBER 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan