Dollah lega dua pemain import
pamer peningkatan
26 Mei 2018 12:27 PM
Issey Nakajima (kiri) berjaya
menyumbang satu gol ketika Pahang menewaskan KL 4-0 pada perlawanan Liga Super
di Stadium Darul Makmur malam tadi.
KUANTAN - Kemenangan selesa 4-0
Pahang ke atas Kuala Lumpur pada saingan Liga Super semalam, akan meningkatkan
motivasi dan tahap keyakinan pasukan terutama buat dua pemain import baharu
pasukan itu.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh
berkata, beliau gembira dengan persembahan Issey Farran Morgan Nakajima dan
Amamchi Augustine Iwuji kerana berjaya menjaringkan gol meskipun sudah
diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu.
"Persembahan dua pemain
import baharu berbeza iaitu kesungguhan ketika latihan dan aksi sebenar yang
dilihat tidak seberapa... tetapi kini mereka telah membuktikan keupayaan
sebenar kepada rakan sepasukan," katanya pada sidang media di Stadium
Darul Makmur di sini, malam tadi selepas perlawanan itu.
Meskipun mencatatkan kemenangan,
Dollah mengakui beliau masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan
yang ditunjukkan pasukan Tok Gajah dan berharap dapat ditingkatkan pada
perlawanan seterusnya.
Beliau juga mengakui agak lega
dengan perkembangan terbaharu itu setelah kehilangan tonggak utama, Patrick Dos
Santos Cruz yang terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan pada
perlawanan malam tadi.
"Saya jangka Patrik Cruz
tidak dapat diturunkan dalam tempoh dua atau tiga minggu dan mungkin dia
kembali pulih selepas cuti hari raya Aidilfitri," katanya.
Sementara itu, Amamchi berterima
kasih kepada Dollah dan rakan sepasukan yang tidak jemu memberi sokongan
untuknya bermain cemerlang.
"Jurulatih sering memberi
kata perangsang kepada saya untuk menghasilkan gol sebelum perlawanan bermula
dan kini saya bersyukur dapat melaksanakan tugas diberikan.
"Keadaan di Pahang amat
hebat dan saya mudah menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang mesra.
Penyokong juga sentiasa memberikan sokongan yang membuatkan saya mahu beraksi lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih
Kuala Lumpur Fabio Joaquim Maciel Da Silva berkata anak buahnya tewas kepada
Pahang kerana melakukan beberapa kesilapan yang menyebabkan mereka dihukum
dengan keputusan itu.
"Pada separuh masa pertama,
kita bermain dengan agak baik apabila mencipta beberapa peluang untuk
menghasilkan gol.
"Namun kita mensia-siakan
peluang itu dan membuat kesilapan sehingga membenarkan Pahang memperoleh empat
gol...sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah situasi ini kerana kami bermain
amat baik di tempat sendiri," katanya. - Bernama
SUMBER-KOSMO ONLINE 26 Mei 2018
12:27 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan