SUKAN»Bola
Khamis, 19 Julai 2018 | 12:28pm
DOLLAH Saleh. - Foto Owee Ah Chun
Pahang tetap intai tangga kedua
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Terikat 2-2 dengan Melaka
United malam tadi tidak menutup impian Pahang untuk mengakhiri kempen Liga
Super di tangga kedua musim ini.
Malah, ketua jurulatihnya, Dollah
Saleh jelas tidak cemas apabila pasukannya yang sebelum ini menghuni tangga
ketiga tergelincir satu anak tangga selepas mengumpul 31 mata, manakala PKNS
mengambil alih tempat Pahang dengan 32 mata hasil kejayaan mereka mengatasi
PKNP 1-0 malam tadi.
Bagi Dollah, peluang Pahang
meraih tangga kedua tetap terbuka kerana masih berbaki dua perlawanan walaupun
Perak kini kelihatan selesa untuk meraih kedudukan itu.
"Justeru, saya berharap
pemain hanya perlu fokus bagi aksi berdepan PKNS di gelanggang sendiri Sabtu
ini untuk menambah tiga mata, sekali gus memintas mereka yang hanya berbeza
satu mata," katanya.
Pahang akan bertemu Kelantan pada
aksi terakhir liga musim ini 29 Julai depan.
Mengulas aksi berdepan Melaka di
Stadium Hang Jebat, Dollah berkata, pemainnya berjaya menguasai hampir
keseluruhan permainan, namun kelekaan selepas menjaringkan gol pertama
membolehkan lawan menyamakan kedudukan dan mendahului 2-1 menerusi serangan
balas pantas.
"Apa pun saya tetap berpuas
hati selepas mereka menyamakan kedudukan dan terikat 2-2 dalam perlawanan itu,
malah jika tidak kerana ketumpulan jentera serangan sudah pasti kami mampu
membawa pulang tiga mata."
Gol Pahang dalam perlawanan itu
dihasilkan menerusi Issey Nakajima Farran (m-8) dan Austin Amutu (m-45),
manakala tuan rumah menerusi R Gopinathan (m-15) dan Yahor Zubovich (m-24).
SUMBER- BH ONLINE Khamis, 19 Julai 2018 | 12:28pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan