ARKIB : 26/12/1998
NS ikat 4 pemain KL, Johor dan
Kelantan
KESUNGGUHAN semi finalis Piala
Malaysia, Negeri Sembilan mahu memburu gelaran nampak ghairah apabila berjaya
menambat empat pemain bakal memperkuatkan cabaran musim 1999, lapor AMRAN
MULUP.
Empat pemain yang sudah
ditambat oleh Negeri Sembilan terdiri daripada tonggak pertahanan Perak,
Khairul Anuar Baharom, penjaga gol Kuala Lumpur, Azmin Azram, penyerang Johor,
Azmi Mohamad dan pemain tengah Kelantan, Tuan Kamree Tuan Yahya.
Di samping itu juga, Negeri
Sembilan juga turut menyambar pemain Selangor, Mohd. Rizal Hassan dan bekas
pelatih skuad bola sepak kebangsaan yang digugurkan, Affandy Lokman.
Menurut pegawai atasan
Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), kelima-lima pemain sudah
memberikan persetujuan menyertai Negeri Sembilan.
''Pada pertemuan singkat
sebelum ini, mereka sudah memberikan persetujuan dan rasanya tiada masalah yang
akan timbul selepas ini, tidak seperti mana yang berlaku ketika cuba mengikat
Azman Adnan awal tahun ini,'' kata sumber itu semalam.
Kata sumber itu lagi, beberapa
pemain dari negeri lain yang pernah mendapat tunjuk ajar Irfan ketika di bawah
bekas jurulatih kebangsaan dan Olimpik, Claude Le Roy turut melahirkan hasrat
untuk menyertai skuad Rusa.
Perak yang sebelum ini memberi
jaminan Khairul akan terus bersama skuad Seladang sebaliknya terpaksa menerima
hakikat terpaksa kehilangan tonggak pertahanan itu menghadapi kempen musim
depan.
Malah sewaktu pertemuan
pengurus pasukan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan pemain Perak yang
menjulang Piala Malaysia Edisi ke-32 di Ipoh kelmarin, hanya Khairul tidak
menampilkan diri.
Azmi Mohamad pernah menyarung
jersi Negeri Sembilan musim lepas tetapi kempen musim ini dia yang turut
dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan tetapi diketepikan
akibat kecederaan, kembali ke negeri asalnya, Johor.
Kontrak kesemua pemain itu
dijangka berakhir 31 Disember ini.
Bukan lagi terlalu asing buat
lima pemain itu bakal menyarung jersi Negeri Sembilan di bawah kendalian
jurulatih Irfan Bakti yang dilantik menggantikan M. Karathu menghadapi kempen
musim depan.
Kelima-lima pemain itu adalah
juga anak didikan Irfan sewaktu mengemudi skuad bawah 23 tahun apabila
dimahkotakan selaku juara Piala Kemerdekaan Bangladesh pada 1996.
Kehadiran lima pemain itu
dijangka akan memantapkan skuad Negeri Sembilan bakal menggegar persaingan
kempen Perdana Satu musim depan.
Sebelum ini, Negeri Sembilan
mengekalkan beberapa pemain utama antaranya ialah Mohd Yazid, Zami Mohd Noor,
Khairil Zainal, Faizal Zainal, B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Ahmad Shahrul
Azhar, A. Ganeson, Affendi Julaihi dan Dollah Salleh
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ph3Q8SVJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan