Rabu, 9 November 2016

NS bernafas Sabah kecewa


 

ARKIB : 22/11/1998
NS bernafas Sabah kecewa
PERTAHANAN Perak, Khairul Anuar Baharom bijak menyekat gerakan pemain Negeri Sembilan, B. Rajanikandh pada perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam. Negeri Sembilan dan Perak seri 2-2.

KELEBIHAN beraksi di gelanggang sendiri di dua gelanggang di Stadium Likas dan Tuanku Abdul Rahman di Paroi semalam jelas tidak menyebelahi tuan rumah.

Sebaliknya harapan untuk melakar suasana gembira bertukar duka.

Langkah awal di pusingan separuh akhir pertama Piala Malaysia sekadar mencetuskan keriangan kepada pelawat apabila Terengganu melenyapkan keutuhan Sabah hasil kemenangan 2-0 di Likas.

Manakala Negeri Sembilan nyaris rebah setelah ketinggalan 2-1 pada satu ketika bangkit menyamakan kedudukan dengan keputusan 2-2.

Berbekalkan kemenangan 2-0 milik Terengganu menerusi jaringan Wan Ahmad Ridzuan (m-40) dan Samuel Chebli (m-46), impian untuk mengapai kenangan silam layak ke perlawanan akhir pada 1982 hampir menjadi kenyataan.

Buat Negeri Sembilan kini berdepan dengan ujian getir berdepan dengan Perak di gelangang lawan Sabtu depan ketika Terengganu perlu mempertahankan kelebihan dua jaringan untuk merealitikan impian layak ke akhir.

Di Stadium Likas, HARON SHAFIE melaporkan, keunggulan Sabah bermain di gelanggang sendiri nyata tenggelam di sebalik kehebatan Terengganu mencipta dua jaringan pada babak pertama dan kedua sudah cukup melegakan untuk mengukir kemenangan awal.

Dalam tempoh 15 minit babak berlangsung jelas pemain tuan rumah menguasai pentas saingan ketika Terengganu tercari-cari rentak.

Wan Ahmad Ridzuan memulakan jaringan awal Terengganu melakukan tolakan mudah selepas penjaga gol berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad gagal menangkap kemas tandukan kencang Samuel Chebli.

Gol awal itu nyata menggamamkan seketika anak buah Ken Shelito. Sengat Saphou Lassy penjaring terbanyak Sabah nyata tidak menjadi.

Sebaliknya Terengganu mengambil kesempatan itu sebaik babak kedua berlangsung bekas pemain Perak, Samuel Chebli meledakkan jaringan cantik buat kali kedua menewaskan Khairul.

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Veselin Kovacevic, Burhan Ajui, Andrew Majanggim, Mokhtar Dayoh, Dunian Sulog, Henry Soimpon, Yap Wai Loon David Rocastle, Suharmin dan Saphou Lassy.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Azman Ismail, Annuar Jusoh, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Rosdi Talib, Jean Nyima dan Roshadi Wahab.

Manakala di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pula, MEOR HARMAN SHAKRI melaporkan, Negeri Sembilan hanya berpuashati mampu mencatat keputusan seri 2-2.

Perak yang beraksi di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 pada satu ketika.

A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89 untuk mengikat keputusan seri.

Perak memperoleh jaringan pertama seawal minit kesembilan apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, V. Saravanan menanduk bola umpanan Nagaraja dari sudut kanan padang.

Gol Saravanan yang disenaraikan sebagai pelatih kebangsaan sekali gus membakar semangat skuad Seladang untuk meneruskan corak permainan pantas.

Reda dengan tekanan pelawat anak buah Karathu kembali mengatur gerakan dan pada minit ke-25 gol penyamaan yang dicari disempurnakan oleh pemain veteran Dollah Salleh.

Dollah bijak melakukan hantaran lambung selepas mendapat lorongan cantik Rosli Omar yang sudah cukup menewaskan penjaga gol pelawat V. Murugan.

Gol Dollah memberikan inspirasi kepada Negeri Sembilan untuk bermain dengan lebih konsisten.

Zami Mohd. Noor yang sering mengucar-ngacirkan pertahanan Perak gagal melakukan penyudah yang sempurna pada minit ke-27 dan 37 apabila tendangannya sering kali tersasar.

Perak terus berada pada kedudukan selesa apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-53 menerusi Azrul Amri Borhan.

Negeri Sembilan yang langsung tidak bermain dalam keadaan sebenar hanya mampu bertahan.

Keyakinan Perak untuk membawa buah tangan berharga apabila bertandang ke Ipoh tidak kesampaian apabila A. Ganeson bertindak sebagai pemusnah menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-89.

Tendangan bebas Rosli Omar hanya dikuis masuk oleh Ganeson yang berada pada kedudukan selesa di depan pintu gol.

Perak dan Negeri Sembilan hanya berpuas hati dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Paroi malam tadi.

Perak yang di hadapan 20,000 penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 .

A. Ganeson muncul sebagai penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89.

NEGERI SEMBILAN: Faizal Zainal, B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Perdo Oliviera, Ahmad Shahrul, Rosli Omar, Dollah Salleh, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, A. Ganeson, Mohd. Yazid Yatim

PERAK: V. Murugan, Raja Azlan, Chan Kok Heng, Khairul Anuar Baharom, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul Amri, Chan Wing Hong, Lim Seng Kong, Janos Kreska, V. Saravanan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PVm0EDH7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan