Ahad, 6 November 2016

Dollah harap kebangkitan 2008


 
Oleh SHAHRIL NIZAM shahril@kosmo.com.my
Dollah Salleh

JURULATIH Selangor, Dollah Salleh (gambar) berharap permulaan tahun baru 2008 hari ini bakal membawa kejayaan tersendiri buat dirinya dan juga pemainnya.

Biarpun kecewa dengan prestasi anak buahnya ketika dibelasah 2-6 oleh Kedah kelmarin, Dollah bagaimanapun masih menyimpan hasrat agar kekalahan itu dapat ditebus pemainnya pada pertemuan dengan Perlis di Stadium Shah Alam malam ini.

Malah, bagi bekas pemain kebangsaan itu, andai kemenangan dapat dicipta malam ini, sudah pasti tahun 2008 ini bakal menyuntik semangat baru kepada anak buahnya dalam mengharungi cabaran Liga Super musim ini.

“Memang kekalahan kepada Kedah amat mengecewakan. Begitupun, kami perlu lupakannya dan tumpukan perhatian kepada pertemuan dengan Perlis esok (hari ini),” kata Dollah.

“Moral pemain juga saya lihat semakin baik setelah menerima suntikan motivasi daripada pengurus Datuk Satem Diman petang tadi (semalam) dan saya rasa mereka juga tidak sabar mahu membuktikan keupayaan sebenar.

“Jika menang malam esok, saya pasti ia bakal menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan cabaran pada tahun 2008 nanti,” kata Dollah semalam.

Begitupun, Dollah masih berteka teki mengenai barisan pemain yang akan diturunkannya pada pertemuan dengan Perlis malam ini.

“Memang terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan ketika tewas kepada Kedah dan kali ini saya mungkin akan membuat beberapa perubahan kecil dalam barisan pemain,” kata Dollah.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan di atas kekalahan kepada Kedah tempoh hari kerana bagi saya ia adalah nasib dan perjalanan kita masih lagi panjang.

“Bagi saya, Perlis pula sama hebatnya dengan Kedah dan walaupun mereka tewas pada perlawanan lepas, ia tidak bermakna kita boleh memandang mudah pada pertemuan ini nanti.

“Begitupun saya tetap berharap agar kemenangan dapat dilakar malam esok supaya ia terus menaikkan semangat pemain dalam pasukan ini,” ujarnya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4PDqjeK8L Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan