ARKIB : 22/11/1998
NS bernafas Sabah kecewa
PERTAHANAN Perak, Khairul Anuar
Baharom bijak menyekat gerakan pemain Negeri Sembilan, B. Rajanikandh pada
perlawanan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi
semalam. Negeri Sembilan dan Perak seri 2-2.
KELEBIHAN beraksi di gelanggang
sendiri di dua gelanggang di Stadium Likas dan Tuanku Abdul Rahman di Paroi
semalam jelas tidak menyebelahi tuan rumah.
Sebaliknya harapan untuk
melakar suasana gembira bertukar duka.
Langkah awal di pusingan
separuh akhir pertama Piala Malaysia sekadar mencetuskan keriangan kepada
pelawat apabila Terengganu melenyapkan keutuhan Sabah hasil kemenangan 2-0 di
Likas.
Manakala Negeri Sembilan nyaris
rebah setelah ketinggalan 2-1 pada satu ketika bangkit menyamakan kedudukan
dengan keputusan 2-2.
Berbekalkan kemenangan 2-0
milik Terengganu menerusi jaringan Wan Ahmad Ridzuan (m-40) dan Samuel Chebli
(m-46), impian untuk mengapai kenangan silam layak ke perlawanan akhir pada
1982 hampir menjadi kenyataan.
Buat Negeri Sembilan kini
berdepan dengan ujian getir berdepan dengan Perak di gelangang lawan Sabtu
depan ketika Terengganu perlu mempertahankan kelebihan dua jaringan untuk
merealitikan impian layak ke akhir.
Di Stadium Likas, HARON SHAFIE
melaporkan, keunggulan Sabah bermain di gelanggang sendiri nyata tenggelam di
sebalik kehebatan Terengganu mencipta dua jaringan pada babak pertama dan kedua
sudah cukup melegakan untuk mengukir kemenangan awal.
Dalam tempoh 15 minit babak
berlangsung jelas pemain tuan rumah menguasai pentas saingan ketika Terengganu
tercari-cari rentak.
Wan Ahmad Ridzuan memulakan
jaringan awal Terengganu melakukan tolakan mudah selepas penjaga gol
berpengalaman Sabah, Khairul Azman Mohamad gagal menangkap kemas tandukan
kencang Samuel Chebli.
Gol awal itu nyata menggamamkan
seketika anak buah Ken Shelito. Sengat Saphou Lassy penjaring terbanyak Sabah
nyata tidak menjadi.
Sebaliknya Terengganu mengambil
kesempatan itu sebaik babak kedua berlangsung bekas pemain Perak, Samuel Chebli
meledakkan jaringan cantik buat kali kedua menewaskan Khairul.
SABAH: Khairul Azman Mohamad,
Veselin Kovacevic, Burhan Ajui, Andrew Majanggim, Mokhtar Dayoh, Dunian Sulog,
Henry Soimpon, Yap Wai Loon David Rocastle, Suharmin dan Saphou Lassy.
TERENGGANU: Zubir Ibrahim,
Azman Ismail, Annuar Jusoh, Syamsol Mohd Saad, Badrul Hisham Abdullah, Seidu
Issifu, Samuel Chebli, Wan Ahmad Ridzuan Hussin, Rosdi Talib, Jean Nyima dan
Roshadi Wahab.
Manakala di Stadium Tuanku
Abdul Rahman Paroi pula, MEOR HARMAN SHAKRI melaporkan, Negeri Sembilan hanya
berpuashati mampu mencatat keputusan seri 2-2.
Perak yang beraksi di hadapan
20,000 penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan
meskipun Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 pada satu ketika.
A. Ganeson muncul sebagai
penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89
untuk mengikat keputusan seri.
Perak memperoleh jaringan
pertama seawal minit kesembilan apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, V.
Saravanan menanduk bola umpanan Nagaraja dari sudut kanan padang.
Gol Saravanan yang disenaraikan
sebagai pelatih kebangsaan sekali gus membakar semangat skuad Seladang untuk
meneruskan corak permainan pantas.
Reda dengan tekanan pelawat
anak buah Karathu kembali mengatur gerakan dan pada minit ke-25 gol penyamaan
yang dicari disempurnakan oleh pemain veteran Dollah Salleh.
Dollah bijak melakukan hantaran
lambung selepas mendapat lorongan cantik Rosli Omar yang sudah cukup menewaskan
penjaga gol pelawat V. Murugan.
Gol Dollah memberikan inspirasi
kepada Negeri Sembilan untuk bermain dengan lebih konsisten.
Zami Mohd. Noor yang sering
mengucar-ngacirkan pertahanan Perak gagal melakukan penyudah yang sempurna pada
minit ke-27 dan 37 apabila tendangannya sering kali tersasar.
Perak terus berada pada
kedudukan selesa apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-53 menerusi Azrul
Amri Borhan.
Negeri Sembilan yang langsung
tidak bermain dalam keadaan sebenar hanya mampu bertahan.
Keyakinan Perak untuk membawa
buah tangan berharga apabila bertandang ke Ipoh tidak kesampaian apabila A.
Ganeson bertindak sebagai pemusnah menerusi jaringan penyamaan pada minit
ke-89.
Tendangan bebas Rosli Omar
hanya dikuis masuk oleh Ganeson yang berada pada kedudukan selesa di depan
pintu gol.
Perak dan Negeri Sembilan hanya
berpuas hati dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada
perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Paroi malam tadi.
Perak yang di hadapan 20,000
penyokong tuan rumah gagal menggunakan kesempatan mendahului lawan meskipun
Negeri Sembilan ketinggalan 1-2 .
A. Ganeson muncul sebagai
penyelamat apabila menjaringkan gol keramat Negeri Sembilan pada minit ke-89.
NEGERI SEMBILAN: Faizal Zainal,
B. Rajanikandh, Ching Hong Aik, Perdo Oliviera, Ahmad Shahrul, Rosli Omar,
Dollah Salleh, Zami Mohd. Noor, Khairil Zainal, A. Ganeson, Mohd. Yazid Yatim
PERAK: V. Murugan, Raja Azlan,
Chan Kok Heng, Khairul Anuar Baharom, M. Nagaraja, Gyorgy Takacs, Azrul Amri,
Chan Wing Hong, Lim Seng Kong, Janos Kreska, V. Saravanan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PVm0EDH7
© Utusan Melayu (M) Bhd