MyMetroNode
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak ada seorang pemain daripada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dipanggil menyertai skuad Pilihan Malaysia bagi aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil 24 Julai ini selepas jurulatih Dollah Salleh membuat kejutan mengetepikan 13 pemain kebangsaan.
Antara 13 pemain itu, sembilan pemain adalah daripada skuad Harimau Selatan termasuk kapten kebangsaan Safiq Rahim dan penyerang Amri Yahyah yang hanya diletakkan dalam senarai simpanan andai ada pemain mengalami kecederaan saat akhir.
Lima pemain tempatan baru yang tidak beraksi dalam skuad kebangsaan ketika seri 1-1 dengan Timor Leste dan kalah 0-6 di tangan Palestin dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2019 dan Piala Asia 2018 bulan lalu iaitu Zamir Selamat, Razman Roslan, Nazirul Naim Che Hashim, Baddrol Bakhtiar dan Norshahrul Idlan Talaha diberi peluang kali ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, keputusan terbaru Dollah itu dilihat sebagai usaha untuk menguji pemain lain yang tidak mendapat tempat sebelum ini.
“Dollah mahu menguji pemain dari pasukan lain kerana beliau tahu pemain Johor DT sudah mempunyai pengalaman dan kualiti, jadi tidak perlu untuk menguji mereka dalam perlawanan menentang Liverpool.
“Ini masanya untuk pemain lain menimba pengalaman bermain menentang kelab Liga Perdana Inggeris ini,” katanya yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan supaya pengurusan skuad kebangsaan tidak memanggil pemain Johor DT menyarung jersi negara berikutan ada pihak sentiasa menyalahkan pemain kelab itu apabila tewas.
Namun Hamidin menegaskan tindakan pengendali kebangsaan tidak memanggil pemain Johor DT kali ini tidak ada kaitan dengan saranan Tunku Ismail.
“Ia tidak ada kena mengena dengan kenyataan Tunku Ismail baru-baru ini malah Safiq dan Amri ada dalam senarai menunggu jika ada pemain lain yang cedera,” katanya.
Dollah turut memanggil lima pemain import untuk memperkuatkan pasukan Pilihan Malaysia termasuk penyerang Pahang Dickson Nwakaeme yang tiada dalam pasukan ketika menentang Tottenham Hotspur 27 Mei lalu di Stadium Shah Alam.
Selain ‘orang besi’ Nwakaeme, pemain perancang FELDA United Zah Rahan Krangar turut mendapat tempat selain Ashfaq Ali (PDRM), Robert Cornthwaite (Selangor) dan Thiago Junio Aquino (Perak) yang diturunkan ketika menentang Spurs.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 A
Tiada ulasan:
Catat Ulasan