MyMetroNode
Daripada Aziman Rosdi di Singapura
aziman@hmetro.com.my
SKUAD Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan dengan menyumbat dua gol pada minit akhir perlawanan untuk menewaskan juara bertahan, Singapura 3-1, pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF, di Stadium Nasional, Kallang, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh itu mara ke separuh akhir bertemu juara Kumpulan A, Vietnam pada aksi timbal balik iaitu 7 Disember di Shah Alam manakala 11 Disember di gelanggang lawan.
Malaysia juara 2010 yang hanya mengumpul satu mata selepas seri 0-0 dengan Myanmar dan tewas 2-3, di tangan pendahulu Thailand perlu menang untuk mara ke separuh akhir manakala pasukan tuan rumah perlu bertahan untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata ke pusingan seterusnya.
Dollah yang membuat rombakan dengan meletakkan kapten Shukor Adan bergandingan bersama Muslim Ahmad di pertahanan tengah turut membawa masuk Gary Steven Robbat untuk menjana bahagian tengah dengan Safiq Rahim.
Aksi agak hambar dipamerkan pada babak pertama dengan Singapura juara empat kali yang tidak pernah tewas kepada Harimau Malaya di laman sendiri sejak 2002 lebih gemar bertahan.
Satu-satunya percubaan terbaik Malaysia hadir pada minit ke-42, menerusi penyerang kontroversi Mohd Safee Sali yang terkena tiang.
Namun, Safee yang dikritik hebat penyokong tempatan kerana prestasi buruk serta isu gambar dia sedang menghisap rokok di sebuah restoran di Singapura membalas kritikan itu dengan menyumbat gol pertama pada minit ke-60 dengan rembatan deras dalam kotak penalti.
Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila skuad Singa berjaya menyamakan kedudukan 1-1, menerusi tolakan penyerang Khairul Amri Mohamad Kamal selepas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat gagal menangkap kemas bola sepakan percuma Safuwan Baharudin pada minit ke-82.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi pasukan negara apabila pengadil dari Oman Ahmed Abu Bakar Said menghadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Amri Yahyah dikasari pertahanan lawan.
Pemain tengah Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan penalti itu menewaskan penjaga gol Singapura Hassan Sunny pada minit ke-90.
Ketika Singapura ghairah memburu gol penyamaan mereka dihukum dengan serangan pantas Malaysia dengan penyerang gantian Indra Putra Mahayuddin menyepak bola ke gawang terbuka selepas Hassan naik ke atas untuk menyerang.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 10:37 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan