Rabu, 21 Mac 2018

Dua alasan Pahang kalah kepada Selangor


ARKIB : 07/05/2009
KUANTAN - Jurulatih baru Pahang, Dollah Salleh memulakan langkah sumbang apabila gagal mengutip mata penuh dalam ujian pertamanya ketika Pahang tunduk kepada Selangor pada perlawanan Liga Super di sini, kelmarin, lapor YUSRI SAHAT.

Namun, Dollah mempunyai dua alasan kukuh mengapa Pahang tewas 1-2 kepada juara Piala FA itu.

Dua punca yang dikenal pasti ialah kecederaan teruk ketua pasukan, Mohd. Shukri Ismail yang menyebabkan pemain terbabit terpaksa diusung keluar padang sebelum menerima jahitan di bahagian dagu dan pipi.

Faktor kekalahan kedua apabila kegagalan pemain tengah, Razlan Oto menyempurnakan peluang di depan pintu gol yang dianggap meruntuhkan moral rakan sepasukan ketika Pahang mendahului 1-0.

''Apabila semangat pemain menurun, Selangor sebagai pasukan berpengalaman mengambil kesempatan untuk meledakkan dua gol dalam tempoh empat minit iaitu pada minit ke-65 dan 69.

''Selepas itu Selangor semakin yakin sekali gus menguasai permainan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pertemuan Pahang-Selangor di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Pada pertemuan tersebut, Pahang sempat mencuri perhatian apabila mendahului juara Piala FA itu 1-0 sebelum gawangnya dibolosi dua kali selepas itu.

Menurut Dollah, beliau secara peribadi berpuas hati dengan persembahan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama apabila berjaya mengikat pergerakan pemain lawan yang jauh lebih berpengalaman.

''Sebelum perlawanan, saya mengingatkan pemain supaya mengawasi setiap pergerakan lawan sehingga wisel penamat tetapi apabila kapten keluar, tiada yang siapa boleh mengambil alih tugasnya mengendalikan pasukan menyebabkan Selangor mengambil kesempatan," katanya.

Beliau juga berharap Mohd. Shukri dapat sembuh daripada kecederaannya menjelang perlawanan pada 16 Mei ini.

''Saya benar-benar memerlukan Mohd. Shukri kerana hanya dia yang boleh mengendalikan pasukan ketika di atas padang," ujarnya.

Beliau juga sedang merangka strategi bagi memastikan Pahang yang berada di tangga kedua tercorot tidak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Dollah mengambil alih tugas Tajuddin Nor selaku jurulatih selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) kecewa dengan prestasi skuad Tok Gajah yang bagaikan 'telur di hujung tanduk' musim ini.

Dollah kini memikul tugas berat untuk mengembalikan semula reputasi Pahang, sekurang-kurangnya dengan misi mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AOCSXsya
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 18 Mac 2018

Jurulatih kebangsaan: Dua 'D' jadi pilihan


ARKIB : 10/04/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menamatkan teka teki siapa pengganti B. Sathianathan sebagai jurulatih skuad bola sepak kebangsaan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya esok.

Siapa yang bakal dinamakan sebagai jurulatih baru masih rahsia, yang pasti ia bukan jurulatih asing.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berpendapat anak tempatan berkelayakan dan sama hebat dalam menggalas tugas memulihkan maruah bola sepak tempatan.

Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor), Dollah Salleh (Shahzan Muda) Wan Jamak Wan Hassan (Negeri Sembilan) dan K. Rajagopal (Harimau Muda) antara calon awal untuk kerusi panas itu.

Namun berdasarkan ramalan, daripada lima nama besar dalam sukan bola sepak tempatan itu, dua 'D' - Dollah Salleh dan Devan (K. Devan) dikatakan calon pilihan.

Pertamanya kerana calon lain, jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah dan pengendali Harimau Muda, K. Rajagopal dikatakan mempunyai komitmen terhadap pasukan masing-masing.

Mohd. Azraai mengakui dia belum dihubungi atau dilamar oleh FAM, sekali gus menggambarkan mustahil Mohd. Azraai menjadi pilihan walaupun dia memiliki rekod cemerlang membawa Kedah mencatat kejuaraan treble berganda.

Sekalipun jika dilamar pada saat-saat akhir, Azraai masih mempunyai kekangan dan syarat tertentu termasuk perlu mendahulukan majikannya iaitu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

"Sehingga kini saya masih belum dihubungi oleh FAM sama ada melamar atau memanggil saya bagi ditemu duga untuk jawatan berkenaan,'' katanya.

Rajagopal pula yang pada awalnya dilihat antara calon pilihan, seakan-akan menutup laluan mengendalikan skuad kebangsaan kerana komitmennya bersama Harimau Muda.

Tanggungjawabnya sama penting bersama Harimau Muda yang dilabel sebagai skuad masa depan yang kini diletakkan di bawah pengendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Atas alasan itu, maka Dollah dan Devan dilihat sebagai calon pilihan dan tepat.

Dollah, 45, merupakan bekas pemain kebangsaan, juga Selangor pada 1987 hingga 1990 sebelum menyertai Pahang dan bersara pada 1998 dengan Negeri Sembilan menjadi pasukan terakhir yang diwakilinya.

Sejurus menamatkan karier sebagai pemain, Dollah mencuba karier sebagai jurulatih pada 2003 dan pantas menjulang MPPJ sebagai pasukan berstatus kelab pertama memenangi Piala Malaysia pada tahun yang sama selain membawa Selangor kembali ke zaman kegemilangan dengan kejuaraan treble Liga FA Piala Malaysia dan Liga Super pada 2005.

Devan terkenal dengan sentuhan ajaib apabila pasukan bimbingannya pasti memahat kejayaan.

Pada 2006, dia membawa Negeri Sembilan memenangi Liga Super dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Musim lalu, Kuala Muda Naza (KM Naza) pula layak ke saingan Liga Super.

Bersama Selangor musim ini, Devan dilihat mampu menjulang pasukan itu yang kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan 24 mata, satu mata di belakang Perlis.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A9TTRZR6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dollah puji karakter pemain Tok Gajah

18 Mac 2018 11:23 AM
Para pemain Pahang meraikan kejayaan bersama jurulatih mereka selepas mengalahkan Kedah 1-0 pada per
 Para pemain Pahang meraikan kejayaan bersama jurulatih mereka selepas mengalahkan Kedah 1-0 pada per
Para pemain Pahang meraikan kejayaan bersama jurulatih mereka selepas mengalahkan Kedah 1-0 pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi.

KUANTAN - Ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menyifatkan disiplin kental anak buahnya antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasukan itu menyingkirkan juara bertahan Kedah daripada saingan Piala FA dalam pertemuan peringkat ketiga di Stadium  Darul Makmur, di sini malam tadi.

Sekalipun bermula baik, rentak permainan Pahang terjejas apabila penyerang importnya Francis Forkey Doe dikeluarkan pada minit ke-11 perlawanan selepas mengalami kecederaan.


"Apabila Forkey terpaksa dikeluarkan, persembahan kita menurun tetapi disiplin para pemain membolehkan Pahang mencatat kemenangan ini," kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pahang yang juga naib juara musim lalu  menang tipis 1-0 ke atas Kedah untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA.
SUMBER=KOSMO ONLINE 18 Mac 2018 11:23 AM

Sabtu, 17 Mac 2018

Dollah tabik Tok Gajah

Ahad, 18 March 2018 | 11:57am
 
PEMAIN Pahang, Matthew Davies (kiri) dikawal ketat oleh pemain Kedah, Muhamad Akhyar Abdul Rashid dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA Malaysia 2018 di Stadium Darul Makmur. -Foto MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
Dollah tabik Tok Gajah
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji disiplin tinggi ditunjukkan pemainnya selepas menewaskan juara bertahan, Kedah pada pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kejayaan skuad Tok Gajah layak ke suku akhir begitu bermakna sekali gus mencerahkan peluang untuk menjulang trofi berprestij itu.

Malah, katanya, kemenangan itu juga menebus kembali kekecewaan apabila tewas kepada skuad Helang Merah 2-3 pada aksi final musim lalu.

"Sudah pasti kemenangan ini menambah lagi keyakinan pasukan untuk menjulang kejuaraan musim ini kerana Piala FA antara piala yang diidamkan.

"Kami akan pastikan misi bergelar juara menjadi kenyataan," katanya sejurus tamat perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan tumpuan itu, jaringan pemain import Gambia, Mohamadou Sumareh pada hujung babak pertama memisahkan kedua-dua pasukan.

Mengulas kemenangan tipis 1-0 itu, Dollah mengakui ketiadaan Forkey Doe yang terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-10 memberi kesan terhadap percaturan pasukan.

Katanya, segalanya serba tidak menjadi dan skuadnya bermain di bawah keupayaan sebenar hingga lawan dilihat lebih mendominasi perlawanan.

"Bagaimanapun, saya beri kepujian kepada semua pemain kerana mereka dapat kekalkan disiplin dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Ketika kedudukan 1-0, saya akui tidak senang duduk kerana Patrick Cruz dan Sumareh juga mengalami kecederaan tapi masih mampu beraksi.

"Malah saya juga terpaksa berhati-hati untuk membuat pertukaran pemain kerana bimbang ia memberi kesan terhadap corak permainan," katanya yang berharap kecederaan Forkey Doe tidak serius.
SUMBER-BERITA HARAIN ONLINE Ahad, 18 March 2018 | 11:57am